30.11.08

Shah Jahan menangis, cintanya hancur berderai...



Bersemaraknya cinta Shah Jahan kepada permaisurinya Mumtaz. Kukuh, teguh, tersergam Taj Mahal, lambang sejarah cintanya terbina di bumi Agra.


Jika Shah Jahan masih hidup, bersama Mumtaz, terus bersemaraklah sejarah cintanya. Taj Mahal berada di mana-mana, terpinjam dan terukir namanya. Taj Mahal menjadi jenama dan ikon, lambang sejarah nafas cintanya.


Dan jika Shah Jahan, bersama Mumtaz, hari ini, masih hidup, runtuh luluh bahagianya, melihat sungai darah di bumi Mumbai. Bedilan peluru dan bom meledak, api benci menggelegak. Mayat bergelimpangan, hancur berkecai. Nafsu permusuhan sudah memuncak.


Bisik Shah Jahan kepada Mumtaz : “Roh cinta kita tiada lagi di sini”.

29.11.08

Demonstrasi bogel / telanjang (bulat) - pornorama baru Malaysia



Itu Gerakan Reformasi Rakyat mahu bikin demonstrasi telanjang (bulat ?) Bercadang diadakan di Negeri Selangor, Disember ini.

Itu lintasan fikiran pencadangnya. Jadi atau tidak jadi?. Dalam fikiran, memang sudah terjadi. Fikiran yang sudah diliwat oleh sang Iblis.

Jika jadi, ayuh ramai-ramai kita saksikan. Ini nanti jadi bahan porno rakyat Malaysia yang suka akan reformasi begini.

Bayangkan bagaimana "bayi-bayi tua" itu terkinja-kinja melaung suara protes, sambil mengikat bendera reformasi pada 'anu' masing-masing.

Nanti ramai yang amat bangga seraya melaung suara melihat demonstrasi telanjang bulat:

"Ini reformasi rakyat!", Sambil mengangkat tangan yang mengenggam semangat.
............................................................................................................
"Oh, ada pornorama baru di Malaysia! Itu abang saya!. Itu bapa saya!. Itu anak saya!. Itu datuk saya!. Itu saudara saya!. Itu kawan saya!. Itu jiran saya!. Itu guru saya!. Itu rakan blogger saya!. Itu bangsa saya!. Itu rakyat saya!. Itu seagama dengan saya!. Dan itu saya sendiri yang juga telanjang bulat!".

Lalu sang iblis bertanya:"Itu siapa di sana?"

"Itu kakak saya? Itu adik saya?.Itu ibu saya? Itu nenek saya? Itu rakan saya berlainan bangsa?. Berlainan agama?". Mereka juga dijemput menjadi saksi.

27.11.08

YOGA


Kecoh jadinya jika ramai yang tidah faham.

Petikan daripada:
http://www.islam.gov.my/portal/yoga_Bm.php

1. "Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga.

2. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

3. Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

4. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.

5. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

6. Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(i) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(ii) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
(iii)perbuatan.

7. Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis.


Jika kita baca ulasan oleh orang persaorangan atau organisasi tentang fatwa berkaitan Yoga yang disiarkan di akhbar dan blog, terbukti bahawa masih ramai yang tidak faham. Atau sengaja buat-buat tidak faham?

26.11.08

Q, (queue),Jangan Tunggu Lama-Lama




Tadi, ketika melintasi Pejabat Pos, terlihat ramai yang berbaris sehingga ke kaki lima. Menunggu giliran. Agaknya ada kaunter yang kosong. Mungkin pegawai bercuti. Atau ada kaunter yang mengiklankan notis “Sila Ke Kaunter Sebelah”. Demikianlah Pejabat Pos; lumrahnya bilangan kaunter melebihi bilangan pegawai bertugas.


Huruf Q melintasi fikiran. Abjad Rumi ke-17 itu istimewa juga, rupanya. Kita gunakan Q sebagai akronim yang bermaksud “berbaris panjang menunggu giliran untuk mendapatkan sesuatu”. Tentunya diambil daripada bahasa Inggeris “queue”. Di Britain akronim QC merujuk kepada “Queen’s Council”; penasihat Ratu atau Permaisuri. (Di negara kita, QC bermaksud “Queen Control”). Dalam matematik, Q.E.D memberi makna “ sesuatu yang perlu dibuktikan, sudah dibuktikan”. Dalam perkhidmtan, akronim Q.C.C (Quality Control Circle ?) selalu digunakan / (diamalkan?). Mungkin ada yang lain lagi? Q Haidar?


Berbaris panjang menunggu giliran sudah membudaya dalam masyarakat kita. Baguslah begitu. Suatu kesan pendidikan nilai-nilai murni di sekolah. Sejak hari pertama masuk sekolah, murid-murid sudah dilatih beratur /berbaris.

­


Sekarang ini budaya berbaris sudah diganti dengan budaya duduk dan menanti panggilan.(nombor giliran dicetak di kupon, tunggu sehingga terpapar di skrin digital). Apakah budaya berbaris dan beratur di sekolah nanti akan diganti juga?. Ada sekolah yang sudah mengajar murid-muridnya menggunakan “kad kredit” untuk membuat bayaran di sekolah! Budaya berhutang?


Teknologi memudahkan kehidupan manusia!. Yang masih menjadi rungutan di kaunter perkhidmatan ialah, karenah manusia. Tentu ramai yang telah merasai pengalaman berhadapan dengan karenah manusia ini.


(Iklan: Robot ASIMO yang boleh berjalan dan berlari serta mencetuskan inspirasi; sudah mula digunakan di Jepun – bagi saya teknologi canggihnya itulah. Robot anak dinosaur yang peka kepada persekitaran juga telah menjadi teman kanak-kank!). Janganlah kita pula yang menjadi robot!


Sudah lama saya tidak Q di Pejabat Pos. Sesekali Q di bank. Di Pasaraya, memang Q lah. Urusan bayaran bil, transaksi wang dan lain-lain yang berkaitan dengannya, dibuat dari rumah sahaja. Sudah banyak perkhimatan on-line. Bank on-line, Pos On-Line dan banyak perkhidmatan lain – tidak perlu lagi Q di kaunter!


Q, queue, berbaris maupun menunggu giliran, bukan hanya untuk perkhidmatan di kaunter sahaja. Dalam hidup, tiada siapa pun yang tidak pernah menunggu giliran. Apakah yang sedang anda tunggu sekarang ini? Menunggu gaji ?, naik pangkat?, naik haji? menjadi calon? anak pertama? menunggu disuruh? makan tengahari? menunggu rumah baru siap? Banjir reda?. Tunggulah apa-apa sahaja yang patut ditunggu. Kita memang berhak menunggu. Tetapi jangan tunggu lama-lama…

20.11.08

e-mail

Petang tadi saya mendapat input yang bagus melalui e-mail yang dikirim oleh seseorang. Walaupun penulisnya tidak saya ketahui (tetapi mungkin telah saya kenali), ingin saya ucapkan ribuan terima kasih.


Antara lain yang ditulis ialah:


1. Dia selalu log masuk membaca posting dan comments di blog cikgu wahab.


2. Katanya dia tidak mahu menulis comment di blog cikgu wahab kerana bimbang saya “kecik hati”.


3. Isu untuk posting, katanya, bagus tetapi kadang-kadang sukar difahami kerana saya menggunakan bahasa yang berat. Katanya, ada ketikanya tulisan saya membosankan.


4. Dia memberikan beberapa cadangan: Gunakan bahasa yang mudah sahaja. Misalnya, bagi perkataan dua sukukata, pendekkan menjadi satu sukukata sahaja. Jika tiga sukukata, jadikan dua sahaja. Dia memberikan contohnya. Lebih mudah gunakan tak atau x, nak, jom, mau, gi, (untuk menggantikan perkataan tidak, hendak, marilah, mahu dan pergi). Bagi perkataan tiga sukukata, dia memberi contoh supaya gunakan perkataan: saja, tahu, sorang (menggantikan: sahaja, mengetahui, seseorang). Tujuannya ialah untuk menjimatkan masa, ruang dan tenaga.


5. Dia cadangkan supaya saya gunakan ayat yang pendek-pendek sahaja.

Saya tidak membalas e-mailnya itu. Saya harap dia membaca posting ini.


a) Terima kasih kerana sudi menjengah blog saya.


b) Terima kasih juga kerana memberi panduan bagaimana menulis posting dengan bahasa yang sesuai untuk blog.


c) Jika dapat saya ikuti panduannya, mungkin saya dapat menjimatkan masa, ruang dan tenaga.

Penulis e-mail itu juga memberi ilmu kepada saya. Tahulah bahawa saya perlu mengambil kira siapa pembaca blog saya. Tidak semua orang faham apa yang saya tulis, seperti yang saya harapkan. Fahaman orang lain mungkin berbeza.


Soal “kecik hati” tidak timbul. Setiap ilmu wajar dihargai. Setiap teguran ikhlas wajar diterima.

19.11.08

I NEED YOU

Terkejut saya.

Tiba-tiba saja dia kata: "I need you. I'm proud of you".

Apa saya nak jawab. Tak terkata apa-apa. Saya tak kenal pun suara tu.

Nasib baik, lepas tu dia kata: "Sorry, wrong number".

Macam-macam manusia ni...

18.11.08

ISU SENSITIF: BABI


Semua orang tahu agama Islam mengharamkan babi.

Tetapi islam tidak melarang orang bukan Islam menternak atau makan daging babi.


Di negara kita, isu yang berkaitan dengan babi memang sensitif. Berkaitan ini, sensitiviti orang Melayu memang diketahui oleh rakyat Malaysia yang lain.


Bagi orang Melayu, babi memang najis dan jijik. Sedangkan melihat gambar babi sudah meloyakan apatah lagi jika melihat daging babi , bangkai babi atau isi-perut babi..


Tetapi bagaimanpun jijik dan loyanya, orang Melayu tetap memyembunyikan rasa jijik dan loya mereka kerana “menjaga hati” rakan-rakan mereka rakyat Malaysia yang makan daging babi. Barangkali kerana itu juga, perkataan babi itu, suatu ketika dahulu ditukar kepada khinzir; bimbang sebutan perktaan babi itu menjadi sensitif kepada pendengaran orang lain.


Barangkali ini juga dikatakan toleransi budaya antara kaum di negara kita.

Tetapi sesetengah rakyat Malaysia masih belum cukup diajar tentang sesitiviti orang Melayu tentang babi ini. Malah ada yang sengaja menduga sensitiviti orang Melayu dengan tindakan-tindakan yang provokatif menggunakan babi sebagai alatnya..


Semoga tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini hanya kerana babi.

BELUM SELESAI ISU PPSMI

Isu PPSMI belum selesai; mungkin tidak akan selesai.


Ada pendapat yang pro dan kontra. Sesiapa sahaja boleh memberi pandangan, bergantung kepada penilaian dan persepsi masing-masing.


Saya ada pendapat juga:


Perancangannya: Cetusan idea PPSMI bermula Oktober, 2002. Perancangaan agak mendadak. Kurang penelitian.


Pelaksanaannya: Mula dilaksanakan pada Januari 2003. Terlalu awal selepas cetusan idea. Semua belum bersedia.


Keberkesanan Proses Pelaksanaannya: Perbezaan ketara antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar. Banyak masalah di semua peringkat.


UPSR: Analisis yang belum lengkap. Agak tergesa-gesa. Analisis bukanlah bukti keberkesanan pelaksanaan PPSMI.


PPSMI diteruskan? Boleh diteruskan dengan "overhaul" serta perubahan perancangan dan strategi.


PPSMI dibatalkan? Boleh dibatalkan dengan syarat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus dan syarat pensijilan pada peringkat UPSR, PMR, SPM dan STPM. Ini dilaksanakan setelah dibuat perancangan yang teliti.

15.11.08

ALI, ABU DAN AMINAH

Ali, Abu dan Aminah, nama biasa orang Melayu.

Masa saya di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, sepanjang tempoh persekolahan saya, tidak ada seorang
pelajar yang sama sekelas dengan saya yang bernama Ali, Abu atau Aminah.

Tetapi sepanjang persekolahan saya,
guru Bahasa Melayu yang mengajar saya, selalu menggunakan nama Ali, Abu dan Aminah ketika mengajar. Jika cikgu menulis contoh ayat di papan hitam, nama Ali, Abu dan Aminah selalu digunakan. Jika bercerita, Ali, Abu dan Aminah menjadi wataknya.

Kenapa begitu ya? Mungkin namanya ringkas, mudah ditulis dan disebut. Tetai nama
Aminah ada enam huruf dan tiga sukukata, berbanding Ali dan Abu, masing-masing tiga huruf dan dua sukukata.

Kenapa tidak Ali, Abu dan
Ani sahaja?

Mungkin Ali, Abu dan Aminah boleh dikaitkan dengan
pengaruh Islam?

Atau, itu hanya kebetulan sahaja!

13.11.08

RELEVAN ATAU TIDAK?

Sejauh manakah keputusan UPSR itu dapat dijadikan bukti / kayu ukur /penanda aras tentang keberkesanan / kejayaan / kemajuan program PPSMI?

2 ISU MELAYU

[1]

Kebelakangan ini banyak isu berkaitan politik, sosial dan ekonomi bangsa

Melayu dibangkitkan melalui media masaa.

Apakah itu meberi petanda bahawa orang Melayu semakin hilang nilai-nilai positif bangsa yang gah suatu ketika dahulu.

Tampaknya, semakin hilang budaya kerjasama, tolak ansur, percaya mempercayai, hormat menghormati, rajin. sabar dan lain-lain.

Apakah budaya positif inilah sebenarnya menjadi penghalang kepada kemajuan, politik, ekonomi dan sosial orang Melayu?


[2]

Laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan statistik pendapatan rakyat Malaysia pada tahap bawah RM 2000:

Melayu : 1,277,500

Cina : 389,200

India : 154,300

11.11.08

Kartunis dan Etika: Pengajarannya.


Banyak yang ingin saya tulis. Tapi pagi ini ingin saya imbas kembali cerita tentang "kartunis".
Kita masih ingat tentang kartunis Denmark yang menghina dan mempersenda Nabi Muhammad s.a.w. suatu ketika dahulu.

Atas nama kebebasan bersuara, kartun-kartun tersebut disiarkan ke seluruh dunia melalui akhbar dan blog.

Beberapa akhbar di negara kita juga digantung penerbitannya dan diberi amaran.
Penyiaran kartun-kartun menghina itu menimbulkan rusuhan sehingga memakan korban.
Itu kisah lama yang sudah berlalu. Namun bagi saya ia banyak memberi pengajaran.

Pengajaran pertama, memang ironis, umat Islam amat mudah memberi maaf. Yang bersalah hanya memohon maaf secara terbuka dan berikrar untuk tidak mengulangi. Sesungguhnya Islam ialah agama perdamaian dan keselamatan. Ada tersirat hikmah di sebalik peristiwa itu.

Pengajaran kedua, walaupun mendapat kebebasan bersuara, kebebasan itu tidak boleh saya gunakan sewenang-wenangnya sehingga melewati sempadan dan hak asasi orang lain.

Pengajaran ketiga, ia memberi peringatan kepada saya bahawa sebagai pemberita mahupun blogger, jika tidak berhati-hati dan jika tidak beretika, boleh mengundang padah.

Pengajaran keempat, peristiwa tersebut mengajar saya supaya tidak menulis posting atau entri ketika berada dalam suasana tidak gembira atau sedang dirundung masalah. Ini akan mempengaruhi tulisan dan secara tidak langsung pengunjung dan pembaca blog akan menerima tempiasnya.

Pengajaran Kelima, peristiwa itu juga memberi ingatan kepada saya supaya telus, jujur dan adil dalam mengumpul, melapor dan menafsir maklumat. Saya tidak boleh menulis entri atau posting dengan dipengaruhi oleh adanya agenda tersembunyi dan kepentingan diri.
Akhirnya ingin saya petik tulisan seorang blogger, Jason @ calcanis.com, 18 November 2004:

"Etika adalah sesuatu yang tidak boleh ditapis. Tiada siapa boleh menyatakan anda tidak boleh menulis apa yang anda kehendaki. Isunya di sini ialah anda berkomunikasi dengan orang awam yang mempunyai etika dan piawai kemasyarakatan tertentu." (Terjemahan daripada teks asal)

10.11.08

Sejarahnya begitu (Rokok)


Posting sazilimohdnor tentang sikap dan tabiat berkaitan merokok, mendorong saya mencatat sedikit maklumat berkaitan”sejarah” rokok, yang saya kumpulkan berdasarkan bacaan daripada beberapa laman web yang saya layari. Kesan negatif rokok memang sudah banyak kita ketahui.

-----------------------------------

Penyelidik telah menemui bukti tentang rokok di Amerika Tengah. Sekitar abad ke-9, rokok digunakan dalam bentuk buluh halus dan tiub hisapan. Orang-orang Maya dan Aztecs, menghisap tembakau dan dadah psikoaktif dalam upacara keagamaan. Gambarannya terdapat pada ukiran di dinding-dinding rumah berhala dan juga pada tembikar. Rokok dan cerut sangat popular di Caribbean, Mexico, dan Amerika Selatn sehinggalah ke hari ini.

Rokok tidak dikenali di negara-negara penutur Bahasa Inggeris sebelum Perang Crimean, sehinggalah askar-askar British mula mencontohi orang-orang Turki Ottoman yang menjadi sekutu mereka; yang menggulung tembakau dengan kertas suratkhabar.

Perkataan “cigarette” mula digunakan pada abad ke-18. Peminta sedekah di Seville memungut sisa-sisa dan puntung rokok yang dicampak oleh senoritos (orang muda yang kaya). Peminta sedekah itu membalut sisa tembakau dan menghisapnya. Gambaran tentang tabiat ini dapat dilihat melalui lukisan-lukisan oleh Francisco de Goya tercipta pada abad ke-18 seperti :La cometa (Layang-layang), La merienda en el Manzanares (Perkelahan di tepi Sungai Manzanares) dan El juego de la pelota a pala (Permainan bola dan pendayung).

George Bizet melaksanakan Opera Carmen.pada tahun 1930-an di Sepanyol. Watak utama Carmen itu asalnya ialah seorang pekerja di kilang rokok.

Penggunaan tembakau dalam bentuk rokok menjadi semakin popular selepas Perang Crimen. Keadaan ini dibantu oleh pengeluaran tembakau yang sesuai dijadikan rokok.Ketika Perang Dunia I dan Perang Dunia II, rokok dibekalkan kepada anggota tentera.

Pada fasa ke-2 abad ke-20, kesan negatif rokok terhadap kesihatan sudah diketahui secara meluas. Amaran bertulis tentang bahaya merokok mula tercetak di kotak-kotak rokok. Amerika Syarikat dan Negara-negara Bersekutu, belum lagi meletakkan amaran bahaya merokok secara grafik yang dikatakan lebih berkesan. Kanada, Australia dan New Zealand, bagaimanapun telah memaparkan amaran bahaya merokok dalam bentuk teks, grafik dan paparan imej. Antara lain yang dipaparkan ialah kesan-kesan pemusnahan anggota badan disebabkan penggunaan tembakau.

---------------------------------------------

Jika ditanya kepada perokok apakah faedah-faedah merokok, sudah tentu mereka dapat memberikan seribu jawapan.

Nasi Lemak O Nasik Lemak

Syukur Alhamdulillah, harga minyak turun. Ramai yang lega. Tetapi ramai lagi peniaga yang tidak pernah merasa lega.
Pagi tadi saya membeli nasi lemak yang sudah siap dibungkus. Kuih-muih untuk sarapan memang banyak dijual di situ. Pembuat kuih menghantar kuih.. Peniaga mengambil dalal.
Nasi lemak sebungkus, seringgit. Sebut seringgit, ramai yang kata murahlah.
Bagi saya yang menentukan murah mahalnya ialah kualiti dan kuantitinya.
Saya bukan berkira sangat. Tapi nasi lemak sebungkus yang pagi ini memang tidak memuaskan hati. Melihatkan kuantitinya, sebelum makan sengaja saya sukat.
Nasinya: 5 sudu (tentunya beras paling murah) . Sambalnya: lebihkurang setengah sudu. Ikan Bilis: Seekor belah empat. Ada 6 (Ertinya- satu ekor setengah). Timun: setengah hiris (Sekeping dibelah dua). Telur: Satu perempat biji.(Tentunya Gred C - Mujurlah tak ada gred D).
Mahal atu murah?
Nasi lemak yang pagi ini tidak terasa sedapnya. Tidak terasa nasinya. Tidak terasa lemaknya!
Kalau nelayan nak turun ke laut, nak makan nasi lemak, berapa bungkus nak dimakan?

9.11.08

7.11.08

SUDAH HAMPIR SIAP


Tumpang gembira bila lihat dewan besar SMK Rompin sudah hampir siap. Membinanya pun sudah makan masa setahun lebih.

Sebelum itu sudah tiga tahun menunggu selepas membuat permohonan. Jadinnya, hampir lima tahun barulah dapat gunakan dewan. Itu pun
belum tentu. Memang lambat. Tak tahu kenapa.

Harap-harap tidaklah akan tergendala. Adanya dewan besar di SMK Rompin itu, nanti akan banyak membantu proses pendidikan di sekolah itu.
Tegaknya dewan besar tersebut, kawasan sekitarnya kelihatan agak sempit. Tambahan pula pada masa yang sama, berhampirannya dibina juga sebuah blok tiga tingkat. Tidaklah menghairankan. Di mana-manapun, lebih-lebih lagi di bandar, ruang lapang sudah banyak yang hilang ditelan bangunan.

Teringat saya ketika pemeriksaan tapak di buat untuk "meletak" dewan itu. Pegawai JKR yang datang berbincang dengan saya "mengecek" untuk membangunkan dewan dan blok tiga tingkat di padang bola sekolah.
Apapun pandangan dan hujah pegawai JKR tersebut, padang bola dapat saya "selamatkan". Saya tetap dengan pandangan saya betapa padang bola itu "jangan disentuh".

Saya bukan pandai sangat tentang membina bangunan. Saya bukan engineer. Tetapi "mengecek" padang itu tampaknya macam "nak mudah" sahaja.
Saya masih ingat; entah betul, entah tidak saya katakan bahawa jika padang itu diambil, sampai bila-bila pun SMK akan kehilangan padang permainan. Untuk meyakinkan mereka, saya buat "lagak tahu" tentang membina bangunan di kawasan sekolah. (Padahal tak tau pun).

Saya katakan apabila membina bangunan dewan dan blok baru di kawasan yang saya pilih itu (bukan di padang bola), beberapa perkara saya sarankan..Kedudukan dewan dan bangunan itu nanti, jangan sampai masuk cahaya
matahari, nanti menganggu pelajar-pelajar. Oleh sebab Rompin letaknya di kawasan pantai, arah tiupan angin juga kena ambil kira. Seharusnya nanti, bila siap tidak ada gangguan persekitaran. (Saya cuma bercakap berdasarkan pengalaman menjadi guru). Saya tidak tahulah sama ada pegawai JKR itu menerima pandangan itu atau tidak. Mungkin itu sudah ada dalam perkiraannya.

Dia diam sahaja, barangkali tidak setuju, atau tidak mahu melayan "kebebalan saya".

Apapun, syukur
Alhamdulillah, dewan sudah hampir siap.


.

6.11.08

BUNGA




Di samping mencatat pengalaman di blog, cikgu WARUNA juga meminati bunga kertas dan bunga orkid.

Bacalah catatan cikgu WARUNA di
http://waruna-catatanku.blogspot.com/

5.11.08

MENGGODA

Selepas membeli barang di pasaraya, terus pulang. Tinjau blog. Ada entry nak saya masukkan dalam blog ini.

Tadi, sampai di tingkat dua pasaraya, terkejut juga melihat gelagat pekerja di pasaraya tersebut. Nak ditegur, nanti dikata "busy-body", jaga tepi kain orang atau cemburu.

Wah, bukan main lagi pekerja-pekerja perempuan (Remaja/Melayu/Islam) melayani, bermesra, menggoda "mat bangla" dan "mat nepal" yang turut bekerja di situ !. Agaknya kalau boleh, mereka tu nak duduk atas riba "mat bangla" dan "mat nepal" tu. Tak ada rasa segan-silu kepada pengunjung. Cuit-cuit, sentuh-sentuh, pegang-pegang sambil gelak ketawa dah jadi mainan. Pekerja perempuan tu nampak macam "kebulur" sangat.

Itu yang dapat dilihat. Yang tidak dapat dilihat, entah macamana.

Kalau dah macam tu, tak dapatlah nak menyalahkan guru yang mendidik (masa mereka tu bersekolah dulu).

Teringat saya berita tentang gadis-gadis remaja yang dilarikan oleh "mat indon" ke Lombok, Indonesia.

4.11.08

CELUPARNYA ANGGOTA PARLIMEN


Telah dianjurkan Kempen Budi Bahasa bagi anggota Parlimen. Anjuran ini sudah tentu bersebab. Di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kedapatan ahli parlimen berkelakuan keterlaluan termasuk menggunakan kata-kata kesat. Keceluparan anggota Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang disiarkan secara lansung melalui tv amat memalukan. Kelihatannya Rukun Negara (kesopanan dan kesusilaan) terlupa dihayati oleh yang terlibat.

Sesungguhnya amat memalukan, apatah lagi di galeri awam, dipenuhi
pelajar dan orang awam. Ini memberi gambaran negatif; apatah lagi yang bersidang itu adalah “orang-orang terpilih.”

Mereka yang terpilih ini diberi
mandat dan diharapkan bertanggungjawab. Kita tidak fikir keceluparan mereka itu terhalal atas nama menegakkan kebenaran kerana ingin membuktikan kebertanggungjawaban. Malah cara sebegini hanyalah memperlihatkan teladan buruk dan kebebalan.

Bukannya tidak
ada garis panduan dan Peraturan Mesyuarat. Tetapi peraturan-peraturan ini tampaknya belum dapat mendisiplinkan sesetengah anggota Parlimen.

Apakah akan timbul
kesedaran dan perubahan setelah Kempen Budi Bahasa dilaksanakan?