31.1.09

PUTAR-PUTAR


Ada orang yang tak sedar & tak pernah berubah. Masih hidup & bergerak.. Tapi tak ke mana pun. Berputar-putar dalam suatu lingkaran! Mamai berputar . Sebenarnya tak berubah.


Dulu kalau nak dengar lagu, guna ‘piring hitam’ Masa tu belum ada tape, cakera padat atau ‘gadget’ lain. Alat hiburan cepat berubah dan semakin canggih. Manusia bagaimana?


Masa saya budak-budak dulu, selain radio, piring hitam dan rekod player sudah dianggap barang mewah.


Saya masih ingat bila piring hitam rosak, putarannya tak sempurna. Suara penyanyi dah jadi tak betul. Parau. Lagu dah berubah Sebaris atau dua baris lirik berulang-ulang. Jarum rekod player tersangkut dalam satu jalur pada piring hitam.. Bunyi lagunya menjadi aneh. Bukan lagi hiburan, malah melucukan. Lagu sedih pun boleh jadi lucu.


Demikianlah juga jika ada manusia yang ‘tersangkut” dalam putaran yang tidak berubah! Manusia boleh ‘tersangkut’ dalam pelbagai putaran dan pelbagai keadaan. Ada juga manusia yang tidak pernah ‘merdeka’!.

30.1.09

RELAX WITH MATH

IF:
A=1,B=2,C=3,D=4,E=5,F=6,G=7,H=8,I=9,J=10,K=11,L=12,M=13,N=14,O=15,
P=16,Q=17,R=18,S=19,T=20,U=21,V=22,W=23,X=24,Y=25,Z=26 (%)

LUCK
= L+U+C+K = 12+21+3+ = 47 (%).
LOVE = L+O+V+E = 12+15+22+ 5 = 54 (%).
MONEY = M+O+N+E+Y = 13+15+14+5+25 = 72 (%).
KNOWLEDGE= K+N+O+W+L+E+D+G+E = 11+14+15+23+12+5+4+7+5 =96(%).
LEADERSHIP= L+E+A+D+E+R+S+H+I+P = 12+5+1+4+5+18+19+8+9+16=
97(%).
HARDWORK = H+A+R+D+W+O+R+K = 8+1+18+4+23+15+18+11 = 98 (%)
ATTITUDE = A+T+T+I+T+U+D+E = 1+20+20+9+20+21+4+5 = 100 (%)

ATTITUDE!

28.1.09

HIPOTESIS ANAK REMAJA MENJADI DEWASA


Pada kali ini ingin saya tulis tentang persekitaran tempat belajar dan pengaruhnya kepada guru.

Suatu ketika selepas mesyuarat PPD bersama GB dan Pengetua, seorang sahabat menyatakan sesuatu tentang tingkahlaku dan gelagat ahli-ahli ketika bermesyuarat pada hari itu.

Saya tidakiah mengiyakan pendapat sahabat saya itu. Bagi saya pendapatnya itu belum tentu benar.

Memahami maksud sahabat saya itu, saya dapat membuat hipotesis sahaja; bukan rumusan. Untuk menentukan kebenarannya dan rumusannya, hipotesis ini perlu kajian dan pembuktian.

Hipotesis I: Guru-guru di sekolah rendah berkelakuan "keanak-anakan" kerana dipengaruhi oleh persekitaran murid-murid (kanak-kanak) yang diajar oleh mereka.

Hipotesis II: Guru-guru di sekolah menengah berkelakuan "keremajaan" kerana dipengaruhi oleh persekitaran murid-murid (remaja)yang diajar oleh mereka.

Hipotesis III: Tenaga pengajar di IPT berkelakuan "kedewasaan" kerana dipengaruhi oleh persekitaran penuntut-penuntut (dewasa) yang diajar oleh mereka.


Benarkah persekitaran tempat tugas mempengaruhi gelagat dan tingkahlaku kita?

26.1.09

KODOK REBUS


'Post’ kali ini bertajuk “Kodok Rebus” . Kodok Rebus bukanlah apa-apa jenis makanan. Boleh jadi ia hanyalah sebuah tajuk cerita yang mengandung pengajaran. Atau lebih hebat ”Kodok Rebus” ialah sebuah cadangan, gagasan atau sebuah teori.


Dalam kursus yang pernah saya hadiri di Institut Aminuddin Baki (IAB) suatu ketika dahulu, seorang pensyarah telah menyampaikan kuliah tentang teori “Kodok Rebus “ ini.


Teori “Kodok Rebus” menjelaskan bahawa seekor kodok (katak) boleh direbus hidup-hidup jika air merebus itu dihangatkan dengan amat perlahan. Nampaknya mudah, tetapi pelaksanannya bagaimana? Tetapi ia memberi andaian bahawa jika sang kodok diletakkan ke dalam bekas air panas, ia akan melompat keluar. Tetapi jika sang kodok diletakkan ke dalam bekas berisi air sejuk dan dihangatkan dengan perlahan, sang kodok akan selesa dan tidak akan melompat keluar.


Sebenarnya Teori “Kodok Rebus” ini boleh dikaitkan dengan tugas kita di sekolah. Misalnya. Ia boleh dikaitan dengan implementasi dan kemajuan sesuatu sistem atau sesuatu perubahan atau penyelesaian yang ingin dilakukan. Saya fikir ini suatu pendekatan yang boleh digunapakai di sekolah.


Misalnya, sesuatu perubahan yang ingin kita lakukan di sekolah, boleh dibuat secara “perlahan-lahan” dan “sedikit demi sedikit” . Buat perubahan kepada kumpulan yang kecil dan dalam skala yang kecil dahulu. Apabila perubahan itu sudah dapat diterima, ada dua pilihan tindakan seterusnya yang boleh diambil. Pertama, teruskan perluasan perubahan itu atau kedua, buat perubahan kepada kumpulan kecil yang lain pula..


Untuk berjaya ada prasyaratnya: Permulaan pelaksanaannya mesti “betul” dan “berjaya”, meskipun dalam skala yang kecil. Ini akan memberikan keyakinan, kepercayaan dan penerimaan.


Lambat? Lompatlah seperti sang kodok yang kepanasan!

21.1.09

ISTERI MENJERIT SELEPAS ISYAK


Selepas solat Isyak, saya terdengar isteri saya menjerit di dapur. Dia terperanjat. Saya bergegas ke dapur. Isteri saya menggeletar dah.

Tidaklah besar sangat. Lebihkurang dua kaki. Hitam. Entah dari mana datangnya. Mungkin waktu petang, ketika pintu dapur masih terbuka dan masuk bersembunyi di celah mesen basuh. (Petang tadi ada orang menebas semak yang bersempadan dengan pagar belakang rumah saya).

Saya pun takut juga. Jangan buat main dengan ular tedung ni. Kepalanya kembang dah tu. Nak halau dengan penyapu, takut juga sebab penyapu pendek. Nahas kalau dipatuknya.

Ular tu saya tengok tak dapat bergerak laju sebab lantai jubin yang licin. Saya teringat di tepi almari bilik anak saya ada kayu, tiang bendera hari kebangsaan dulu, lebih kurang sepuluh kaki. Bolehlah guna.

Saya kuis ular tu jauh daripada pintu, supaya saya dapat buka pintu belakang. Melawan juga ular ni. Mengeliat-geliat. Mendengus-dengus bunyinya.

Saya tolak ular tu keluar dengan pangkal kayu tiang bendera. Tapi diam je tak mau beredar. Melawan. Aksen pulak tu, tunjuk kepala yang kembang tu. Bunyi dengusannya makin kuat.

Isteri saya suruh bunuh je ular tu. Bimbang nanti mematuk sesiapa. Dalam kasihan dan takut saya tu, maut juga ular tu saya kerjakan.

17.1.09

TIGA TAHUN SUDAH...

Hari ini genap tiga tahun saya bersara.
Namun kenangan waktu bertugas dulu masih segar...

12.1.09

GAZA: APAKAN DAYA, MAMPUKAH ANDA?

KEMANUSIAAN
Ini tulisan saya yang pertama berkaitan tragedi di Semenanjung Gaza. Sama ada saya menulis atau pun tidak, saya tidak akan mampu untuk mengubah keadaan. Bukan saya tipis rasa kemanusiaan, tetapi apalah kuasa yang saya ada.

GAZA
Sudah hampir tiga minggu saya mengikuti berita dan komentar berkaitan tragedi di Palestin. Terbaur perasaan sedih, simpati, kasihan, ngeri, benci, geram, marah.

GHAIRAH
Agensi berita di seluruh dunia amat gairah memaparkan berita tragis (dijadikan sensasi, hangat dan barangkali juga mempunyai peluang komersil) itu. Apabila kegairahan beransur hilang, pemberitaan tentangnya menjadi pudar, meskipun keganasaan terus berlaku dan mangsa terus menderita sepanjang hayatnya.

DAYA
Apalah daya saya. Jika berdoa, saya doakan, jika solat hajat, saya sertai juga, jika boikot barangan israel dan sekutunya, amerika; saya boikot juga. Jika orang boleh menderma mengisi tabung, saya juga boleh. Jika diminta memberi sokongan moral, saya sokong juga. Itulah yang terdaya.

IRONIS
Ironisnya, 300 juta bangsa Arab di 32 buah negara tidak bersatu, tidak peduli, membiarkan bangsanya dihancurlebur, dihirup darah mereka oleh nafsu serakah puak zionis. Apakah ini memang semulajadi watak bangsa Arab ini? Sudah tentu, amerika dengan senyum sinis melihat kebaculan dan kecutnya bangsa Arab ini.

KAGUM
Kagum saya dengan tindakan berani Venezeula mengusir duta israel dan kakitangan kedutaan israel di Venezeula sebagai tanda protes tindakan puak zionis itu.

STRATEGI
Barangkali, Palestin tidak akan mampu melawan dengan senjata. Justeru perlu ada strategi “lain”. Perang Saraf dan Melumpuhkan Ekonomi Israel (oleh semua yang tidak bersetuju dengan keganasan israel) barangkali boleh memberi tekanan.

SUN TZU
Beberapa tahun yang lalu saya pernah membaca buku Sun Tzu The Art Of War. Sebuah buku yang berkaitan dengan Falsafah, Strategi dan Taktik Klasik peperangan orang-orang cina (dahulu) menentang musuh-musuhnya. Antaranya dikatakan bahawa, jika musuh sedang ghairah menyerang, yang diserang tidak dapat menyaingi kekuatan musuh, gunakan strategi lain untuk melumpukan musuh yang sedang ghairah itu.

Hanya Allah Maha Mengetahui.

8.1.09

TIADA UDANG SI SEBALIK BATU

Sebagai pemimpin pendidikan, cuba kita ingati kembali, hari ini sewaktu kita menjalankan tugas, atau sesuatu telah terlaksana, manakah yang lebih banyak yang kita beri : pujian atau kritikan? (yang positif atau negatif?)

SEMANGAT

Pengiktirafan dan pujian sesungguhnya pembakar semangat. Apabila kita menerima pujian yang tulus, jiwa terasa bersemarak, hangat, rasa keajaiban akan mencetuskan sebuah senyuman. Terasa kita ingin terus membuktikan kemampuan kepada orang yang memberikan pujian yang ikhlas itu. Perasaan ini penting. Jika perasaan seumpama ini tidak penting bagi kita, maka tidaklah akan terus kita simpan segala penghargaan berupa cenderamata, hadiah, pingat, sijil-sijil, dan apa jua bentuk penghargaan yang telah kita terima selama ini.

LOKEK

Kita tahu bahawa penghargaan dan pujian yang tulus ikhlas adalah faktor utama dalam perhubungan kita dengan ahli organisasi yang kita pimpin. Namun ramai pemimpin pendidikan yang ’lokek’ untuk menyatakan penghargaan dan pujian kepada bakat dan sumbangan yang diberikan..

SUKAR

Ada peminpin merasakan bahawa memberi pujian amat sukar untuk dilakukan – sama ada di khalayak apatah lagi secara peribadi. Dalam kehidupan kita, pujian bukanlah suatu budaya yang nyata. Kadang-kadang pujian boleh sahaja disalahtafsir sebagai mengampu,membodek ataupun “ada udang di sebalik batu”.

KEMAHIRAN

Jika memuji itu bukanlah sesuatu yang mudah, maka tentulah ada kemahiran yang perlu dipelajari untuk memberi pujian (tentunya dengan ikhlas).

Mungkin kemahiran-kemahiran ini boleh dipelajari.

PUNCA

Jika anda memang sukar memberi pujian, buat analisis apakah punca sebenar masalah ini. Jika masalahnya kerana anda bimbang akan ‘memalukan’ orang yang dipuji; tahukah anda bahawa orang yang paling pemalu sekalipun akan merasa seronok membaca di khalayak ramai surat pengharagaan yang diterimanya.

KEKANGAN

Kadang-kadang hasrat memberi pujian tertangguh kerana kekangan masa. Memang banyak perkara yang mahu diselesaikan oleh pemimpin . Jika inilah cabarannya, cuba anda susun kembali senarai keutamaan anda. Bukanlah susah sangat untuk berkata: “Saya hargai segala usaha, tenaga dan masa untuk menyempurnakan tugas ini. Ia mengkagumkan. Terima kasih”. Ini mengambil masa 10 saat sahaja.

LUPUT

Pujian ada “tarikh luput”nya (best before…) Jangan tunggu hingga mesyuarat akhir tahun untuk memberi pujian. Jika anda dapati ada sesuatu yang patut diberi pujian, lakukanlah pada ketika itu juga.

BIJAK

Biarlah perkataan yang anda gunakan untuk pujian itu sesuatu yang khusus berkaitan dengan apa yang telah dicapai. Tidak ramai orang yang mahu mengingati “Ini bagus” jika dibandingkan dengan “Ini memang bijak” . Pujian tidak perlu meleret-leret. Yang penting ikhlas.

NILAI

Jika anda singgah di tempat ‘anak-buah’ dengan tujuan memberi pujian secara peribadi, jangan pula ia dilanjutkan dengan perbualan tentang tugas atau program yang sedang dilaksanakan. Sampaikan pujian dan beredar dari tempat itu. (Datang kemudian jika mahu membincangkan perkara lain). Ini akan memberikan pujian itu “detik penghargaan” dan “ tinggi nilai” dari pandangan penerima.

SUMBANGAN

Barangkali, penghargaan dan pujian sebenarnya ialah memberi maklum kepada orang bahawa kerja yang dilaksanakannya amat penting kepada organisasi tidak kira apa jawatannya. Ia berkaitan dengan “rasa kepunyaan” dan membantu mereka memahami bahawa apapun tugasnya, tetap memberi sumbangan kepada kemajuan organisasi.

Kecemerlangan melibatkan semua. “Tidak ada udang di sebalik batu”.

Hard and Smart


“Don’t Work Harder, Work Smarter”
: Ken Blancard

Common sense but not common practice...This will be the shortest speech in history because it's easy to be successful. All you have to do is work half a day. You can work the first twelve hours or the second...We have seen this sign:


"Don't just sit there, do something!"
The best advice I ever received was to redo the sign to read:
"Don't just do something, sit there!"

6.1.09

Mari Kita Mesyuarat

Pemimpin / (Pengerusi ?) seringkali terlepas pandang perkara penting berkitan pengurusan mesyuarat.

Sesuatu proses mesyuarat bergantung kepada jenis mesyuarat yang hendak dijalankan, misalnya mesyurat kakitangan, mesyuarat perancangan, mesyuarat penyelesaian masalah dan sebagainya. Walaupun demikian, terdapat peraturan asas yang sama bagi kebanyakan mesyuarat.

Yang saya catatkan di sini hanyalah ringkasan dan perkara asas sahaja.


MEMULAKAN MESYUARAT:

Mulakan mesyuarat pada masa yang tepat, bagi menghormati ahli mesyuarat yang hadir pada masa yang ditetapkan dan mengingatkan mereka yang lewat hadir bahawa ketepatan masa itu amat penting.

Berikan ucapan aluan dan terima kasih kerana ahli dapat meluangkan masa untuk hadir.

Semak agenda pada setiap permulaan mesyuarat, memberi peluang ahli untuk memahami semua perkara-perkara penting.

Setiausaha mesyuarat akan mencatat minit mesyuarat dan maklumkan kepada ahli bahawa minit mesyuarat akan diedarkan segera selepas mesyuarat.

Nyatakan harapan dan penyertaan ahli agar mesyuarat mencapai objektifnya.

Nyatakan peranan anda (pengerusi) dalam mesyuarat tersebut.


TENTUKAN PERATURAN MESYUARAT:

Anda tidak perlulah menetapkan peraturan mesyuarat pada setiap kali bermesyuarat. Bagaimanapun, adalah penting diadakan beberapa peraturan asas yang boleh digunakan untuk mesyuarat yang dijalankan.

Ada empat peraturan asas: 1. Ambil bahagian. 2. Fokus. 3. Kekalkan momentum. 4. Bekerjasama.

Senaraikan peraturan asas tersebut.


PENGURUSAN MASA

Memang sukar untuk menguruskan masa mesyuarat. Selalu masa pantas berlalu sebelum agenda selesai. Cabaran terbesar ialah untuk mengekalkan momentum supaya proses mesyuarat berjalan lancar.

Jika masa yang ditetapkan tersasar, minta input ahli bagaimana keadaan dapat diperbaiki.


BAIKI PROSES:

Banyank orang merungut kerana mesyuarat hanya membuang masa – tetapi rungutan ini hanya diluahkan selepas mesyuarat selesai!

Sepatutnya ketika bermesyuarat, pengerusi perlu mendapat maklumbalas, supaya proses mesyuarat segera diperbaiki.

Sudah terlambat untuk memberi tindakbalas kepada maklumbalas ahli, jika menilai proses keberkesanan mesyuarat hanya dibuat selepas mesyuarat selesai.


MENILAI:

Ambil masa 5-10 minit untuk menilai keseluruhan mesyuarat: selalaunya bahagian ini tidak diberi perhatian.

Minta setiap ahli mesyuarat memberi skala dari 1 – 5, (5, tertinggi), dan ahli boleh menyatakan sebab memilih nilai skala tersebut (ikut kesesuaian masa).


MEGAKHIRI MESYUARAT:

Sentiasa akhiri mesyuarat tepat pada masa yang ditetapkan dan dengan kata-kata dan saranan yang positif.

Pada akhir mesyuarat, teliti/nyatakan kembali intisari tugasan dan tindakan yang perlu diambil, dan tentukan masa bagi mesyuarat berikutnya dan mengharapkan komitment ahli mesyuarat.

Jelaskan bahawa minit mesyuarat akan diedarkan kepada ahli mesyuarat dalam tempoh seminggu.

5.1.09

Hardware, Software dan Wetware.

TERKEJUT

Saya terkejut apabila seorang rakan menelefon bertanya tentang hardware dan software komputer. Sahabat saya ini amat kuat berpegang pada apa-apa prinsip yang diyakininya. Pada tahun 80-an, saya bertugas di sebuah sekolah menengah bersama sahabat saya ini.


PRINSIP

“Aku tak nak belajar komputer. Menyusahkan.Kalau kita pandai komputer, kerja kita akan bertambah banyak”. Itu prinsip pegangan sahabat saya ini. Ketika itu komputer baru “masuk” sekolah.


UPAH

Sepanjang kariernya dalam bidang pendidikan, sahabat saya ini memang tidak pernah menggunakan komputer. Dia sangat setia dengan mesen taipnya. Jika ada tugas yang melibatkan penggunaan komputer, dia sanggup mengupah orang lain. Sahabat saya ini sudah bersara dua tahun yang lalu.


LAPTOP

Saya terkejut kerana selepas bersara, dia mahu menggunakan komputer. Katanya, dia mahu menggunakan kemudahan internet kerana dia mendapat tahu bahawa banyak urusan boleh dibuat dari rumah sahaja jika menggunakan internet. Dia sudahpun membeli sebuah laptop. Nampaknya dia amat berminat.



Saya tidaklah pandai sangat untuk mengajar sahabat saya ini. Walaupun saya sudah menggunakan komputer sejak era “ cakera liut” dan skrin tanpa warna lagi, saya tidak pernah megikuti pengajian formal tentang komputer.


SELF TAUGHT

Saya memahami komputer hanyalah melalui “self-taught” , belajar sendiri. Tahulah saya serba sedikit tentang hardware dan software komputer.


MAHAL

Dulu harga komputer agak mahal, tidak sepadan dengan komponen dan kelengkapannya. Jadi, saya beli komponen-komponen utama dan pasang sendiri. Saya boleh jimat kos sehingga 40 %. Setelah diinstall softwarenya, komputer boleh digunakan untuk memudahkan kerja. Printeryang digunakan ketika itu hanyalah menggunakan ribbon tape sebagai dakwatnya.


MUDAH

Sekarang, segalanya menjadi lebih mudah. Jika ada wang, kita boleh mendapatkan komputer secanggih mana yang kita mahu.


GEMBIRA

Saya cadangkan sahabat saya itu belajar dengan anaknya. Saya berilah apa-apa ilmu perkomputeran yang sahabat saya itu perlukan. Saya gembira kerana sahabat saya yang kuat peganagan prinsipnya ini sudah mula menggunakan komputer.


RUGI

Saya percaya di sekolah ramai guru yang menggunakan komputer hanya untuk “menaip” sahaja! Alangkah ruginya.


WETWARE

Sekarang ini ada software dan hardware Mungkin nanti akan ada wetware pula. Kita tidak mahu terus ketinggalan.

3.1.09

MESYUARAT Di Tengah HUJAN

HUJAN


Sejak subuh hujan mendesah, melebarkan ruang genangan. Ada tanda-tanda hujan akan berhenti menjelang tengahari; angkasa sebelah timur sudah sedikit cerah.

------------------------------------------------------

SIBUK


Sekolah akan “dibuka” semula beberapa hari lagi, melebarkan rasa sibuk.

Semuanya sedang menyempurnakan kehendak dan kelengkapan.

------------------------------------------------------

AZAM


Di sekolah, Pengetua, Guru Besar, GPK, Guru-guru, Kakitangan Sokongan, dan seluruh warga sekolah, mengazamkan hasrat, memantapkan semangat awal tahun baru.

------------------------------------------------------

HASRAT


Ada hasrat dan cita-cita yang terlafaz dalam mesyuarat. Ada percambahan fikiran. Ada pendapat yang terselisih (tentunya dengan niat yang positif). Barangkali juga ada yang masih kekontangan idea kerana masih “baru”.

-------------------------------------------------------

BARU:


Awal tahun baru, banyak yang baru. Yang baru tidak akan semerta menjadi lama.Wajar menggarap pengalaman orang lama. Jangan malu bertanya. Orang lama jangan sombong. Berilah bantuan.

-------------------------------------------------------

MESYUARAT


Jika selepas mesyuarat ada bisik-bisik dan cakap-cakap di belakang, tentunya ada yang tidak kena. Ada yang terkilan. Ada yang tidak mendapat atau tidak diberi peluang. Bersabarlah ketika bermesyuarat.

Saya teringat pula akan kata-kata seorang motivator: “Mesyuarat yang baik tidak akan berlarutan melebihi satu jam. Dan kehadiran ideal untuk mesyuarat ialah 2 orang sahaja; dan salah seorannya tidak hadir!” Barangkali kata-kata itu hanya selitan unsur kecindan; bukan untuk mesyuarat di sekolah.

-------------------------------------------------------

PENGERUSI


Jika pengerusi mesyuarat tidak bijaksana, jadilah bak kapal hilang haluan; akan ada maklumat yang cair, tumpah hanyut di luar alur komunikasi.Ada halangan maklumat; tersekat. Yang positif boleh sahaja menjadi negatif. Pengerusi mesti tahu “membaca” [tentunya ‘close reading’] kehendak dan keperluan semua kemudiannya disesuaikan dengan keperluannya untuk dijadikan keputusan.

-------------------------------------------------------

SELAMAT


Selamat Tahun Baru.

Selamat bertugas!

Jangan “hangat-hangat tahi ayam, setelah dingin, membeku dan dihanyuti banjir! “

Didoakan semoga anda semua sentiasa berjaya.