30.5.09

JIKA SUDI...

Ketika melihat kembali dokumen dalam komputer riba, saya temui sebuah fail yang saya sediakan dahulu yang berjudul “Ucapan Persaraan”. "Ucapan" ini saya sediakan 3 hari sebelum tarikh persaraan. Dokumen ini, ingin saya jadikan posting kali ini.

Jika sudi dan ada kesempatan, bacalah……
.....................

Terima kasih Pengerusi Majlis…
Yang Berbahagia Tuan Pegawai Pendidikan Daerah ......, Puan Hajah Rokiah Bt Mat Yaman,

Yang saya hormati Yang Dipertua PKPSM ......, Encik Hashim Bin Puteh.

Yang saya hormati pengetua-pengetua bakal pesara,

Yang saya hormati Semua pengetua Ahli-ahli PKPSM .....,

Yang saya hormati pegawai-pegawai dari PPD .....,

Guru-guru Penolong Kanan

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh
Salam sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak khususnya PKPSM .....kerana menjemput saya dan keluarga pada malam ini, dalam majlis sempena persaraan pengetua-pengetua Daerah.......

Tuan-tuan dan Puan-puan
Beberapa hari yang lalu, seorang sahabat berkata kepada saya. Katanya: “Masa berlalu terasa amat pantas. Terasa kita lebih cepat menjadi tua.
Lebih cepat juga tiba waktu bersara” Kata-kata itu telah memberikan banyak pengertian kepada diri saya, seorang bakal pesara.

Lebih 30 tahun yang lalu, ketika saya meninggalkan pintu pagar maktab perguruan, pada masa itu saya merasa amat bersedia, yakin dan teruja untuk mengharungi gelora lautan pendidikan ini. Selama lebih 30 tahun selepas itu, saya menghadapi pelbagai rentetan peristiwa ketika menjalani kehidupan sebagai seorang guru.

Ada waktunya saya merasa amat gembira, ada ketikanya saya menghadapi masalah yang tidak diduga, dan semuanya itu menjadikan saya manusia yang menghargai ketidakpastian hari-hari berikutnya dalam melayari badai dunia pendidikan itu. Walau bagaimanapun saya sentiasa tidak lupa untuk menghargai masa kini untuk mengikuti segala perubahan menghadapi alam persaraan.

Sepanjang perjalanan hidup mengharungi kancah pendidikan ini, saya menggarap banyak pengalaman, sampai kadang-kadang terasa 24 jam sehari itu tidak mencukupi. Dunia pendidikan ini sebenarnya amat mengasyikkan.

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian
Apabila ada rakan mengetahui bahawa saya akan bersara dalam waktu terdekat, ada yang tidak percaya. Dan di antara mereka ada yang berkata “Apa seronoknya nak bersara jika tidak bersiap sedia “. Itu kata-kata mereka. Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk bersara dan sudah mula merasai akan keseronokannya.

Mereka seringkali bertanya, apa persediaan untuk bersara? Sebenarnya, tidak pasti sama ada sudah saya temui jawapannya. Tetapi waktu-waktu terakhir perkhidmatan ini, minda saya meminta saya supaya memperlahankan langkah saya melalui lebuhraya pendidikan ini, di samping memberi saranan supaya saya memupuk minat yang lain dalam kehidupan. Sekarang, saranan itu sudah mula saya lakukan. Saya fikir apabila nanti tertulis perenggan dan baris terakhir dalam karier perguruan saya, saya akan merasa terkilan jika hasilnya hanyalah sebuah cerita pendek atau cerpen, atau lebih parah dan terus terkilan, jika bab terkhir karier pendidikan saya itu hanya sebuah novel picisan semata-mata untuk hiburan. Saya mahu pengakhiran karier pendidikan ini lebih bermakna daripada itu.

Terima kasih kerana ramai juga sahabat yang memberi cadangan: Bersara nanti bolehlah memulakan perniagaan. Ada yang mencadangkan supaya berehat saja dan menjaga kesihatan. Tak kurang juga yang memberi cadangan supaya lebih kerap ke surau atau masjid menambah bekalan. Tak kurang juga rakan-rakan yang suka berjenaka supaya saya menambah cawangan. Ada juga rakan-rakan menyarankan supaya saya menulis buku pendidikan atau menjadi penceramah atau menyampaikan motivasi pendidikan.

Apapun, terima kasih atas segala cadangan. Saya percaya bahawa semua rakan-rakan mendoakan supaya waktu persaraan saya itu penuh kesejahteraan.

Hadirin yang saya hormati,
Sebagai persediaan, sekarang lebih banyak masa saya luangkan untuk bersama keluarga. Lebih banyak masa saya gunakan untuk melaksanakan kegemaran / hobi yang saya minati, atau nanti mengikuti satu atau dua kursus pendek dalam bidang-bidang yang saya minati. Dan yang pentingnya, saya lebih banyak meluangkan masa secara lebih produktif bersama keluarga dan teman-teman yang berada di sekeliling saya, seperti anda semua.

Hanya masa akan menentukan sama ada saya sudah cukup bersedia untuk menempuhi alam persaraan. Tetapi untuk saat ini, saya ingin terus melihat masa hadapan dan memperluaskan segala peluang dan kesempatan. Saya bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik. Bersyukur kerana isteri dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan, bersyukur kerana ada rakan-rakan yang sentiasa memberikan kegembiraan dan bersyukur kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman damai untuk meneruskan kehidupan seperti yang saya ingini.

Beberapa tahun bersama rakan-rakan seperjuangan, anda sekalian telah memberikan banyak gelak ketawa dan rasa kegembiraan. Keadaan ini telah dapat juga membantu meringankan beban tugas pendidikan. Saya gembira pada waktu-waktu kita bersama, bermuafakat dan bermesyuarat, makan bersama, meskipun hanya secara buffet misalnya, di resot atau hotel tiga bintang tempat kita bermesyuarat dan berbengkel, ataupun ketika kita sama-sama bersantai, atau membuat lawatan penandaarasan.. Sesungguhnya kita saban hari telah bersama-sama merasakan susah senangnya berada dalam dunia pendidikan ini.

Hadirin sekalian,
Apa saja yang saya capai selama lebih 30 tahun dalam dunia pendidikan, sebenarnya adalah sebahagian daripada semangat kerja berpasukan. Saya tidak pernah merasakan diri saya sebagi seorang guru yang terasing dan diasingkan.

Apa saja program atau projek atau tugasan, sentiasa ada saja orang yang memberi bantuan, dan anda sekalian adalah sebahagian daripada orang-orang itu. Ada yang menasihatkan. Ada yang memberi sokongan.

Ada yang memberi bantuan. Ada yang memberikan keyakinan dan harapan. Dan tidak kurang juga yang menghargai kejayaan. Kerja sepasukan inilah yang memberikan kejayaan dan kenangan yang amat manis. Dan kalaupun ada sedikit perselisihan, maka itu hanyalah sekadar asam garam kehidupan untuk mendapatkan persefahaman.

Bekerja bersama kalian, memberi makna bahawa ada sahabat yang memberi perhatian ketika saya menghadapi kesulitan. Tanpa disedari, kalian juga banyak memberi sumbangan kepada kehidupan saya dan keluarga, Terima kasih untuk itu semua. Dan tanpa rasa bangga diri, mungkin saya juga secara tidak langsung telah memberi sumbangan kepada kehidupan anda sebagai pendidik, walaupun hanya sedikit.

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian,
Keseronokan bersara barangkali akan terasa apabila teringat kepada rakan-rakan yang lebih muda, yang masih terus berjuang, yang masih mampu tersenyum ceria dalam ruang pendidikan yang pelbagai ini.

Bersyukur kerana saya tidak perlu lagi mengharungi pahit getir dunia pekerjaan yang penuh dengan ketidakpastian ini. Kadang-kadang memang merasa tidak pasti. .Bolehkah saya laksanakan?, Bolehkah berjaya?. Bolehkah siap pada tarikh yang diperlukan? Tidak pasti. Cadangan ini bolehkah diterima? Tidak pasti. Adakah peruntukan kewangan?. Juga tidak pasti. Akan selesaikah kes ini? Masih tidak pasti. Ke mana pula akan ditukarkan selepas ini. Juga tidak pasti. Bagaimana markah nilai prestasi? Lagi tidak pasti. Yang ini betulkah berlaku atau hanya sedapnya mulut menabur fitnah secara melulu? Orang lain juga tidak pasti. Melaksanakan tugas kita ini, sebagai seorang guru seolah-olah berada dalam sebuah dunia kecil yang penuh dengan ketidakpastian.


Sahabat-sahabat sekalian,
Waktu bersara nanti , barangkali ketika saya di pantai, ketika memancing, ketika memasang umpan, ketika mengangkat joran, melontar pancing ke dasar lautan, barangkali akan teringat kembali kata-kata YB Menteri tentang dasar-dasar pendikan, kata-kata Dato pengarah supaya kita sentiasa memartabatkan pendidikan, Teringat juga kata kata pegawai-pegawai bijakpandai supaya PKKP jangan diabai.

Barangkali akan saya ingati kembali kata-kata rangsang setiap orang bahawa kita memang boleh menjadi cemerlang! Mungkin teringat juga akan kata-kata amaran bahawa yang tidak berjaya akan diminta memberi laporan. Akan mengimbau kembali kata-kata Tuan PPD yang dikutip sepanjang perjumpaan dan mesyuarat, yang ulang berulang kali mengambil peluang mengingatkan tentang tanggungjawab dan peranan yang berat. Dan ingatan serta nostalgia akan segala kata-kata itu tidak mungkin lagi akan saya anggap sebagai arahan. Mungkin juga teringat akan rakan seperjuangan yang selalu menjeritkan slogan. Atau rakan-rakan yang diam membisu kerana hati terkilan akan sesuatu. Atau yang low-profile itu dikatakan jumud dan beku. Betulkah yang high-profile itu dikatakan tangkas dan bersemangat jitu?. Itu semua hanya akan menjadi kenangan dalam alam persaraan.

Hadirin yang dihormati,
Walaupun saya mempunyai pelbagai rancangan selepas persaraan, tetapi saya rasa memang sukar untuk melupakan kalian. Betapa tidaknya. Ada rakan-rakan yang lucu dengan cerita jenaka, walaupun ketika itu sedang berlangsung mesyuarat dengan agenda utama. Ada rakan-rakan yang hilang punca walaupun masalahnya kecil sahaja. Ada yang nampak tenang sahaja tetapi setiap kerja beres belaka. Ada yang macam harimau berantai, tapi hatinya macam pinang kotai. Ada yang kegemarannya membawa pen-drive untuk menghimpun khazanah dan koleksi peribadi, kalau-kalau akan berguna suatu hari nanti.

Ada rakan yang mulanya langsung tidak yakin tetapi akhirnya kelebihan yakinnya hingga hilang sasaran. Macam-macam ada. Kita hanyalah manusia. Tetapi, segalanya itu telah memberikan semacam pengajaran dan sempadan, yang tidak terhingga memberikan tambah nilai kepada kerjaya profesional yang pernah saya lalui. Dan itu semua akan menjadi kenangan manis yang abadi dalam alam persaraan ini.

Sekalian yang dihormati,
Selain merasa amat gembira kerana pernah bersama anda sekalian, saya tidak mahu merasa kesal menghadapi waku persaraan ini. Saya mengharapkan ketenangan. Saya akan merasa tenang kerana tidak ada lagi guru yang muncul di pintu pejabat pada waktu pagi dengan wajah mencuka kerana masalah rumahtangga dan datang meminta penyelesaian dan keputusan segera.

Akan rasa tenang kerana tidak ada lagi ibu bapa datang bertandang membawa masalah anak bukan kepalang, atau datang dengan wajah garang kerana anaknya dikatakan dituduh berbuat apa yang dilarang. Akan rasa tenang tanpa kunjungan nazir dan pegawai yang datang dengan semangat berkobar-kobar kerana taksub kepada berita buli tersiar di akhbar, yang sensasi dan tidak semuanya benar. Semoga saya sentiasa dalam ketenangan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
Sebelum saya mengundur diri, Kepada Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah serta tuan-tuan dan puan-puan, uru-guru dan murid-murid sekalian yang pernah bersama saya dalam apa-apa suasana dan keadaan sekalipun, saya pohon ampun dan maaf atas apa jua kesilapan, kecuain dan keculasan yang pernah saya lakukan. Kepada Allah saya berserah.

Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang ada bersama saya untuk kemeriahan majlis ini. Budi baik tuan sekalian amat disanjung tinggi.

Barangkali pada 17 Januari nanti, iaitu hari pertama melangkah ke dunia persaraan, saya akan menjadi orang baru dengan kehidupan yang baru pula.

Sekian, terima kasih. Wassalamualakum warahmatullahhi wabarakatuh
.

27.5.09

TAK MACAM DULU....SEHARI SEBELUMNYA.

Sudah tak macam dulu. Tak sama. Dari jemput sampailah jamunya, semua dah tak sama.


(Banyaknya terima kad jemputan. Dari dekat, dari jauh. Maklumlah, cuti sekolah.)


Saya nak cerita. Nak gambarkan pada anak-cucu. Mereka tak dapat rasa. Pengalaman saya masa dulu-dulu di kampung.


Masa saya budak-budak. Umur 10 - 11 tahun. Kenduri kahwin ni memang meriah. Bukan selalu ada kenduri kawin di kampung. Setahun sekali atau dua kali saja.


Jemput:


Sebulan sebelum kenduri kahwin, dah jemput. Ibu-bapa bakal pengantin (perempuan) datang ke rumah. Biasa lepas isyak (siang kerja, ke laut atau ke sawah). Datang jemput. Taklah ada kad macam sekarang ni. Jemput seluruh keluarga (bukan jemput suami isteri saja). Bagi tau tarikh langsung.


(Zaman sekarang jemput, bukan saja guna kad, tapi jemput pakai e-mel, e-kad dan guna blog juga).


Sebelumnya:


Beberapa minggu sebelum, bantu tuan rumah siapkan kayu api (sesiapa yang ada masa lapang). Kayu getah atau kayu ru atau apa-apa kayu yang sesuai buat kayu api. Dua atau tiga hari sebelum jamuan, tolong buat bangsal. Bangsal jamuan, bangsal masak. Budak-budak macam saya, tolonglah apa yang terdaya.


Pada masa tu bukan ada khemah. Perkataan kanopi pun tak pernah dengar. Buat meja panjang dengan papan. Tempat duduk buat dengan papan panjang dan tiangnya buat dengan batang kelapa yang dikerat-kerat. Kalau ada atap zing, atap zinglah, atap nipah, atap nipahlah. Kalau ada kanvas atau plastik, boleh juga. Ikut apa yang ada.


Kaum ibu bergotong royong buat kuih baulu atau kuih kering. Siapkan bunga telur sekali.


Periuk belanga, kawah, pinggan mangkuk, dulang, sudu senduk, cerek, gelas, pinjam dari masjid. (Masa tu tak ada pun istilah ‘catering’)


Sehari Sebelum Kenduri.


Masa ni yang seronoknya. Gotong royong. Sambil kerja sambil minum kopi o dengan biskut dan kuih baulu..


Pagi-pagi jiran tetangga dah sampai. Setiap keluarga bawa keperluan untuk disampaikan kepada tuan rumah. Biasanya bawalah seekor atau dua ayam kampung. Ikut ramai ahli keluarga. Berilah seikhlas hati kepada tuan rumah. Hari ni giliran dia. Nanti giliran kita pula. Ada juga yang bawa serbuk kopi dan gula. Kalau ada telur ayam, boleh bawa juga. Nanti bolehlah tuan rumah akan bagi 'telur merah' yang dicucuk dengan bunga telur. Buah tangan bawa balik.


(Sebelum bawa ayam, saya kena hambat, kejar, tangkap ayam. Mana yang dapat, itulah yang dibawa. Itulah yang jadi korban).


Tuan rumah tak perlu sediakan lauk. Cuma sedia bawang lada dan rempah ratus.


Ayam dahpun terkumpul dalam sangkar. Tukang sembelih (biasanya pak imam kampung) dah sedia dengan pisau tajam. Mengelupurlah ayam. Kadang-kadang saya tolong pegang ayam yang nak disembelih. Bukanlah kerja berat. Bangga juga dapat menolong.


Kaum ibu membantu ‘menebuk’ ayam unuk dibuang isi perut yang tak berguna. Hati, pedal dan jantung diasingkan.


Tukang masak sudah menyediakan kawah berisi air panas untuk celur ayam. Mudah nak cabut bulu ayam. Masa ni seronok jugak ramai-ramai mencabut bulu ayam sampai togel. Sambil tu sudah tersedia unggun api. Ayam togel di”bakar”. Untuk buang baki bulu roma.


Tukang siang ayam dah sedia dengan pisau dan parang. Ikutlah nak belah enam atau belah lapan. Sesuai dengan jenis masakan dan saiz ayam.


Riuh-rendah, sambil gotong royong, sambil gurau senda, minum kopi, makan kuih, hisap rokok, usik-usik, erat hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga.


Menjelang maghrib, lampu-lampu pam (lampu gasolin) sudah tersedia di pasang 'mentol' dan diisi minyak. (Masa tu di kampung saya, mana ada elektrik!) Malam nanti terang benderanglah. Suasana jadi lebih ceria. Budak-budak riuh-rendah main kejar-kejar di laman. Di rumah, riuh rendah, bila ada yang mengusik orang latah.


Gotong royong berlarutan sampai siap, sehingga tengah malam. Yang seronoknya selepas maghrib. Makan. Nasi lauk gulai nangka atau umbut kelapa. Juga ikan gelama dan tamban kering dan sayur lemak labu kuning, panas-panas memang sedap. Sayur kacang panjang goreng campur hati dan pedal ayam.


Berseleranya makan lepas letih gotong-royong. Makan ramai-ramai satu dulang. Empat atau lima orang. Budak-budak dan orang tua tak kisah. Makan sama.


Menjelang tengah malam, segala yang perlu untuk sedia juadah jamuan dah siap. Dan menjelang tengahari esok, hmm…jamu selera…


Keesokannya:


Jamuan: Ada kesempatan, akan saya cerita lagi untuk anak cucu…. Memang berbeza….



24.5.09

ORANG MAKAN ORANG


Entri kali ini berkaitan cannibalism.(di katakan berlaku pada zaman dahulu). Saya masukkannya sebagi pengetahuan di samping mengingatkan saya tentang kegiatan “orang makan orang (OMO)” yang memang banyak berlaku sekarang. Dalam kehidupan zaman ini, kegiatan OMO ini banyank terjadi sama ada dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

“Cannibalism ialah amalan makan spesis sendiri. Jika ia merujuk kepada manusia, amalan ini dipanggil anthrophagy.

Jika berlaku dalam kalangan manusia, para saintis tidak pasti sama ada amalan ini berlaku secara meluas ataupun tidak. Terdapat penyakit tertentu , seperti ‘sleeping disease’ yang merebak jika makan tisu manusia, terutamannya bahagian otak’.

Dalam kalangan spesis bukan-manusia, cannibalism adalah sesuatu yang biasa, misalnya jengking dan lelabah. Spesis jantan akan dimakan oleh spesis betina selepas selesai mengadakan hubungan sex. “ (Sumber daripada Wiki)


Sebagai manusia, pernahkan anda “dimakan”?

18.5.09

Tercapaikah O.......nya?

Mulanya saya nak masukkan entri ni pada 16 Mei, tapi rasa tak sesuai. Macam ‘kacau daun’. Mood sambutan hari guru sedang hangat.


Nak tulis sebelum 16 Mei, macam nak “mengajar” pulak.


Saya percaya sehingga hari ni hari guru tahun ini masih dirayakan. Macam2 acara diadakan di sekolah. Perutusan, nyanyian, ikrar, sukaneka, acara pentas, perarakan, hadiah, jamuan dan sebagainya. Ini biasalah. Tak ada acara macam ni, mana seronoknya hari guru.


Kalau cadangkan yang bukan-bukan, siapa yang setuju. Sesekali cikgu-cikgu nak seronok ‘beraya’ apa salahnya.


Maka saban tahun, itulah perayan dan sambutannya. Seronok juga!

(Teringat satu ketika dulu, saya cadangkan Kelab Guru buat forum hari guru dengan menjemput ibu-bapa – tak maunya).


Cuma kadang-kadang masa nak rancang sambutan hari guru, terlupa pula nak rujuk objektif hari guru yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran. Masa nak rancang sambutan tahun depan, mungkin boleh rujuk objektifnya.


Kalau nak baca objektif hari guru, di bawah ni. Lepas tu check balik, tercapai tak objektifnya sambutan tahun ni:-


Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.


Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.


Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.


Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.


Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.


Semoga sambutan/ perayaan hari guru lebih meriah, tahun depan.


15.5.09

"Saya tak nak jadi guru yang...."

Tulisan ini sempena sambutan hari guru. Tidak saintifik. Tidak juga ilmiah. Tulisan ini hanya catatan pengalaman.


Saya pernah mengajar selama tiga puluh tahun. Menjadi guru sekolah di bandar. Juga di luar bandar. Sekolah harian biasa juga sekolah berasrama penuh. Sekolah lama. Juga sekolah baru. Sekolah terpencil maupun sekolah terpilih.


Pernah mengajar murid sekolah rendah dan murid sekolah menengah. Pernah juga mengajar kelas tambahan bagi guru-guru yang mengambil peperiksaan STP secara persendirian. Entah berapa ribu jumlah murid saya.


Saya menjadi guru hanya kaya dengan pengalaman, tidak kaya wang. Setiap tahun dapat pengalaman baru. Masuk kelas baru, jumpa pelajar baru dan kadang-kadang mengajar subjek baru. Jumpa guru baru. Saya sentiasa jadi orang “kaya” baru.


Saban tahun saya kena buat yang baru. Kaedah baru, alatan baru, rancangan baru. Prinsip saya: yang saya gunakan pada tahun lepas tidak sesuai lagi untuk tahun ini. Murid baru. Kelas baru. Setiap tahun saya rasa saya guru baru. Saya juga beli baju baru, pakai kasut baru. Cuma tak beli kereta baru (sewaktu jadi guru, lebih banyak tinggal dalam kawasan sekolah).


Setiap tahun sentiasa berubah. Sebab itu 30 tahun terasa sekejap. Tak pernah jemu. Saban waktu sentiasa berfikir tentang “seni mengajar”. Bagaimana saya nak sampaikan pelajaran dengan cara terbaik.


Di mana-mana pun saya bertugas, sentiasa saya temui guru-guru yang bagus. Pengajarannya bagus. Mereka saya jadikan contoh. Saya selalu bertanya diri sendiri. Mengapa mereka bagus? Mereka ada gaya (mengajar). Personaliti yang baik. Jelas matlamatnya. Ada pola-pola tertentu yang mereka amal, bijak berinteraksi dengan murid-murid. Semua itu jadi ilmu. Saya contohi mereka. Akhirnya jadi pengalaman bila dapat juga saya amalkan.


Saya lihat setiap guru yang bagus itu ada kebitaraan tersendiri. Perawakan dan perwatakan mereka memang bagus . Cara mereka bercakap, beraksi dan berkomunikasi memang bagus. Itu kemahiran mereka yang unik. Mereka bijak menguruskan kelas. Mereka memang disayangi murid-murid. Saya sentiasa mahu jadi macam mereka.


Menilai keadaan itu, tahulah saya, kerja mengajar bukanlah semata-mata bersifat teknikal. Ia lebeh bersifat mendidik. Ya, mendidik sebenarnya!


Selalu saya minta pendapat murid-murid bagaimana yang dikatan guru yang bagus. Ada pelbagai pendapat. Tetapi ada suatu persamaan pendapat: Mereka suka guru yang prihatin, yang ambil berat, yang mempunyai hubungan yang rapat dengan mereka, menyayangi, menasihati, memberi teladan baik, seperti ayah, seperti ibu, memahami masalah pembelajaran mereka- (panjang senarainya…) Itu mendidik, sebenarnya.


Apabila menilai guru yang baik, selalunya dikira kriteria keberkesanan, kualiti pengajaran, teknik mengajar, sukatan pelajaran dan penyampaian. Namun saya temui juga guru yang mempunyi pengetahuan yang mendalam, mempunyai kelulusan cemerlang tentang sesuatu subjek, tetapi gagal menyampaikannya, - murid jadi bosan dan kecewa. Guru yang bagus melebihi jangkauan penilaian itu.


Memang, bukan tak ada guru yang tidak bagus yang saya jumpa. Ada. Memang ada. Tapi itu pun berguna juga untuk dibuat ukuran dan perbandingan.


Secara jujurnya saya katakan, kalau saya nak mengajar dengan bekesan, banyak bergantung pada sikap saya. Sikap saya terhadap matapelajaran yang saya ajar. Sikap saya terhadap tugas. Sikap terhadap murid-murid, sikap terhadap rakan-rakan guru. Sikap! Ya, sikap! Pengetahuan berlambak dan teknik terkini belum tentu bermanfaat jika sikap saya tidak betul.


Saya selalu fikir, sebagai guru, umumnya saya patut baik dalam semua perkara (pengajaran). Tetapi secara khususnya saya mesti baik dalam sesuatu perkara khusus. Sebagai guru, banyak perkara khusus jadi keutamaan. Saya kena faham apa yang pelajar saya harapkan, dan saya mesti rancang macam mana nak penuhi apa yang mereka perlu. Mereka mesti kuasai subjek yang saya ajar.Malah sebagai keperluan, mereka mesti lulus peperiksaan. Jadi saya selalu kena fikir apa yang patut saya lakukan dan ajar mereka apa yang patut mereka buat. Saya tak nak jadi guru yang biasa-biasa saja!


Saya letak harapan yang tinggi bagi setiap kelas yang saya ajar. Saya kena faham, banyak faktor penghalang kejayaan pelajar-pelajar saya. Tapi saya kena bina keyakinan dalam diri saya. Keyakinan itu mesti terpancar dan diyakini oleh murid-murid saya, supaya mereka juga tanam sifat yakin dalam diri.. Saya tidak mahu murid-murid saya anggap saya lepas tangan, sikap tidak peduli. Saya tahu murid-murid saya akan hidu sikap tak komitment saya itu. Mereka pasti akan putus asa.


Kadang-kadang timbul rasa tidak puas, tidak selesa dan rasa penatnya mengajar. Memang penat pun! Bila timbul keadaan macam tu, saya perlu soal diri saya: Sudahkah saya buat apa yang patut saya buat? Tercapai atau tidak objektif saya? Selalunya saya dapat menjawab soalan ini dengan tepat. Bila dah dapat cari jawapannya, esoknya saya akan masuk kelas dengan rasa lebih gembira, boleh senyum dan lebih selesa.


Banyak kali saya lalui cabaran. Cabaran besar saya rasa bila murid tak dapat jawab soalan mudah yang saya tanya (secara lisan atau bertulis) selepas sesi pengajaran. Risau saya melihat wajah mereka yang macam tak tau apa-apa. Tetapi akhirnya saya faham keadaan ini, sebab murid saya dapat juga menjawab dengan baik dalam peperiksaan akhir. Barulah terasa masa dan tenaga saya berbaloi, tak terbuang begitu saja.


Ketika mengajar, kadang-kadang tak dapat saya duga kemampuan murid-murid. Tetapi saya tidak risau kerana saya yakin saya dah buat persiapan rapi. Saya percaya saya guna kaedah yang sesuai. Saya dah letakkan harapan yang tinggi dan berusaha mencapainya. Jangka panjangnya, saya percaya murid saya akan berjaya.


Berpuluh tahun saya mengajar Kesusasteraan Melayu dan Pendidikan Seni. Itu opsyen saya. Subjek mudah? Mudah sebab ramai lulus? Oh, cabaran sangat hebat. Murid-murid saya dianggap ‘low-achievers’. Itu cabaran utama. Sebab itu mereka di kelas sastera, tidak di kelas sains atau perdagangan. Memang benar mereka malas membaca. Malas! Tak pandai melukis!


Buku teks sastera pun tidak dibaca. Warna dan kertas lukisan pun tidak ada! Kalau teks tidak dibaca, bagaimana nak menguasainya? Saya mengajar, tetapi murid tidak belajar! Ini dilema. Saya selalu kena guna strategi baru. Kena guna kaedah baru. Kena buat apa saja asalkan murid belajar.


Gembiranya bila ada tanda-tanda positif. Sampai waktunya ramai murid saya yang sudah membawa teks sastera di tangan ke sana ke mari di kawasan sekolah. Ada waktu luang, mereka baca semukasurat atau dua. O k lah tu, sebagai permulaan. Ada tanda-tanda positif apabila sofbod di dinding belakang kelas sudah dipenuhi dengan lukisan yang berwarna warni!


Yang lebih penting, mereka terdidik dengan nilai-nilai murni melalui pembelajaran ke dua-dua matapelajaran tersbut!


Murid-murid tidak boleh dibiar tanpa diselia. Setiap hari! Sebagai guru kelas, saya kena sentiasa “kelihatan” oleh murid-murid saya. Saya mesti “bersama” mereka setiap hari. Kalau tak dibuat begitu, murid-murid akan jauhkan diri. Akan putus hubungan mereka dengan proses p & p. Masalah disiplin pun boleh timbul. Bagaimana saya boleh “menjalinkan hubungan” dengan mereka jika saya selalu “hilang” dan “tiada”?


Selalu saya ingatkan diri supaya jujur dan berterusterang dengan murid-murid. Ini mudahkan saya selesai masalah yang timbul dalam kelas. Saya ingatkan diri tentang kesan dan pengaruh pengajaran saya terhadap murid-murid. Kesan buruk dan kesan baiknya. Saya guru!. Besar pengaruhnya. Inilah satu cara saya menilai diri. Nilai untuk saya buat perubahan yang perlu untuk hadapi cabaran tahun-tahun berikutnya.


Bertahun-tahun menjadi guru, saya ‘enjoy’ dengan tugas saya. Saya enjoy dengan murid-murid saya. Murid-murid saya menjadi ‘sahabat’ saya. Dengan itu saya sentiasa rasa bermotivasi, bertenaga dan terus menjana kreativiti saya sebagai guru. Yang paling saya bimbang ialah saya menjadi guru yang “burn-out” atau “dead wood”, jadi macam tunggul yang hangus atau kayu yang reput.


Saya mesti sedar enjoy dengan tugas dan enjoy dengan murid-murid, sebenarnya dua hal yang berbeza. Saya dan murid mesti rasa enjoy mengajar dan belajar. Tapi kalau terlalu menekan, terlalu mendesak ketika mengajar menyebabkan murid, stres, letih, bosan dan macam-macam lagi. Boleh timbul masalah disiplin.. Saya kena berpada-pada sesuai dengan kemampuan mereka. Tetapi saya juga tidak boleh terlalu enjoy dengan murid-murid. Nanti mereka jadi manja. Mereka hilang arah, hilang halatuju. Kenalah saya imbang antara enjoy dengan tugas dan enjoy dengan muri-murid. Ini ambil masa dan perlu perhatian.


Sepanjang tempoh menjadi guru, di luar bilik darjah, di luar sekolah lebih banyak peristiwa yang berlaku. Membentuk suka-duka dalam kehidupan. Itu semua mempengaruhi kerjaya saya sebagi guru.


Tiga puluh tahun bersama “sekolah” sesuatu yang enjoy dan gembira. Kejayaan melebihi kegagalan. Kepuasan itu masih terasa, walaupun kini sudah bersara. Dan saya masih juga dipanggil “Cikgu”.


"SELAMAT HARI GURU”!


13.5.09

GELINTAR MAYA MENCARI CINTA

Seketika menggelintar maya mencari kata cinta:-
Sekuntum bunga mawar, disebut dalam bahasa apa sekalipun mempunyai keharuman yang sama. Demikian juga “I love You”.

1. English - I love you
2. Latin - Te amo
3. Pig Latin - I-yea Ove-lea Ou-yea
4. Hindi - Main tumse muhabbat karta hoon
5. Punjabi - Main tainu pyar karna
6. Bengali - Aami tomaake bhaalo baashi
7. Gujarati - Tane Prem Karoo Choo
8. Tamil - Naan Unnai Kadhalikiren
9. Telugu - Nenu Ninnu Premisthunnanu
10. Sri Lankan - Mama oyata arderyi
11. Kapangpangan - Kaluguran daka
12. Farsi - Tora dost daram
13. Arabic - Ana ahebik
14. Turkish - Seni seviyorum
15. Kurdish - Ez te hezdikhem
16. Lebanese - Bahibak
17. Japanese - Kimi o ai shiteru
18. Chinese - Ngo oi ney
19. Mandarin - Wo ai ni
20. Taiwanese - Gwa ai lee
21. Korean - Dangsinul saranghee yo
22. Cambodian - Kh'nhaum soro'lahn nhee'ah
23. Hmong - Kuv Hlub Koj
24. Laon - Khoi hak jao
25. Filipino - Mahal ka ta
26. Bahasa Melayu - Aku cinta pada mu
27. Thai - Chan raak ther
28. Indonesian - Saya cinta padamu
29. Javanese - Aku terno kowe
30. Burmese - Chit pa te
31. Bisaya - Nahigugma ko nimo
32. French - Je t'aime
33. German - Ich liebe dich
34. Bavarian - I mog di narrisch gern
35. Swiss-German - Ch'ha di ga"rn
36. Spanish - Te adoro
37. Madrid lingo - Me molas, tronca
38. Basque - Nere maitea
39. Catalan - T'estim
40. Esperanto - Mi amas vin
41. Creole - Mi aime jou
42. Lojban - mi do prami
43. Portuguese - Eu amo te
44. Italian - Ti amo
45. Greek - S'ayapo
46. Macedonian - Te ljubam
47. Albanian - Te dua
48. Dutch - Ik hou van je
49. Flemish - Ik zie oe geerne
50. Vlaams - Ik hou van jou
51. Friesian - Ik bin fereale op dy
52. Luxembourgish - Ech hun dech ga 'r
53. Gaelic - Tha gaol agam ort
54. Welsh - Rwy'n dy garu di
55. Irish - Taim i' ngra leat
56. Maltese - Inhobbok
57. Icelandic - Eg elska thig
58. Greenlandic - Asavakit
59. Danish - Jeg elsker dig
60. Norwegian - Jeg elsker deg
61. Swedish - Jag a lskar dig
62. Finnish - rakastan sinua
63. Polish - Kocham cie
64. Hungarian - Szeretlek
65. Bulgarian - Obicham te
66. Romanian - Te iubesc
67. Yugoslavian - Ja te volim
68. Czech - Miluji te
69. Slovak - Lubim ta
70. Bosnian - Volim te
71. Croatian - Volim te
72. Serbian - Volim te
73. Russian - Ya tyebya lyublyu
74. Ukrainian - Ya tebe kokhayu
75. Estonian - Mina armastan sind
76. Latvian - Es tevi milu
77. Lithuanian - Tave myliu
78. Armenian - Yes kez si'rumem
79. Assyr - Az tha hijthmekem
80. Kazakh - Men seny jaksy kuremyn
81. Yiddish - Ikh hob dikh lib
82. Bicol - Namumutan ta ka
83. Berber - Lakh tirikh
84. Amharic - Afekrishalehou
85. Moroccan - Kanbhik
86. Tunisian - Ha eh bak
87. Somali - Waan ku gealahay
88. Kenyan - Aheri
89. Lingala - Nalingi yo
90. Ugandan - Nkwagala Nyo
91. Zulu - Mena tanda wena
92. Ndebele - Niyakutanda
93. Hausa - Ina sonki
94. Shona - Ndinokuda
95. Swahili - Nakupenda
96. Afrikaans - Ek is lief vir jou
97. Vulcan - Wani ra yana ro aisha
98. Tahitian - Ua here au ia oe
99. Hawaiian - Aloha wau ia oi
100. Samoan - Ou te alofa outou
101. Brazilian - Eu te amo
102. Bolivian - Qanta munani
103. Hokkien - Wa ai lu
104. Apache - Sheth she 'n zho 'n
105. Cheyenne - Ne mohotatse
106. Chickasaw - Chiholloli
107. Hopi - Nu' umi unangw'ta
108. Mohawk - Konoronhkwa
109. Navajo - Ayor anosh'ni
110. Sioux - Techihhila
111. Zuni - Tom ho' ichema
112. Eskimo - Nagligivaget
113. Arab - uħib:ukato / ana baħibbik
Bahasa isyarat (sign language) mungkin sama...

KERETA DIBAKAR; USUNG MAYAT.


Ada kereta kena bakar. Gaduh. Bunuh.

Bapa saudara di KL telefon. Awal pagi. Tengahari, macam2 berita dah tersebar.


Di bandar kecil tempat saya tinggal (Mersing), ada pergaduhan di pasar. Ada kaitan.


Di KL, darurat dan perintah berkurung, kata bapa saudara saya.


Pagi ini teringat saya kepada 13 Mei 1969 itu.

Masa tu umur saya 18 tahun.

Dengar radio. Banyak cerita dan berita. Berarak bawa mayat pun ada. Yang terjadi di KL itu, bukan peristiwa kecil!


Masa tu, terlintas ingatan saya pd apa yg saya nampak seminggu dua sebelum pilihanraya dan sebelum peristiwa tu.


Di tempat saya ada sebuah kedai jual tayar. Tapi, hairan, ada kerja-kerja ‘tukang besi’ dalam kedai tu. Saya ternampak masa saya lalu kat depan kedai tu.


Dlm kedai tayar tu ada beberapa orang sedang mengetuk besi panjang. Nampak bentuk macam nak buat lembing dan parang je.


Apa pun 13 Mei itu sudah berlaku. Sudah berlalu. 40 tahun dulu.Tetapi saya masih rasa impaknya dalam pelbagai tafsiran, makna dan ruang.


Semoga tak berlaku lagi. Namun, kata orang bijakpandai, sejarah boleh berulang.

10.5.09

Penuh

_______ kita penuh dengan ______________.

Untuk berjaya mesti_________________.

(Isikan di tempat kosong dengan perkataan-perkataan yang anda fikir sesuai).

5.5.09

RINGKAS

Ringkas saja posting ni. 3 perkara. Tak hurai:

1. "Guru Pembina Negara Bangsa".

2. "Standard Kualiti Guru Malaysia" (SKGM).

3. " Kalau ada pekerjaan di dunia ini suatu pengorbanan dan kejujuran serta kelapangan hati suatu di antaranya ialah pekerjaan guru" - HAMKA