10.7.08

SEBUNGKUS NASI LEMAK SECAWAN KOPI

1) Pagi tadi ketika makan nasi lemak, saya teringat akan bekas anak-anak murid saya (entah di mana mereka, entah berapa ribu ramainya). Sudah bersarapankah mereka? Diharapkan tidak seorangpun daripada mereka dan keluarga masing-masing yang lapar kerana ketiadaan makanan.

2) Alhamdulillah. Saya masih dapat membeli nasi lemak yang dijual RM 1 sebungkus. Memadai bagi saya bersarapan bersama secawan kopi.

3) Ada penjual nasi lemak yang menjual RM1 walaupun ramai yang menjual dengan harga RM1.50 maupun RM2.00. Memang demikianlah harga akan tetap naik mengikut harga minyak, kata mereka. Alasan yang paling logik pada masa ini.

4) Ada penjual yang mempunyai falsafah begini:" Biar harga murah, asalkan ramai pembeli". Ada falsampah lain: "Biar tidak habis kerana sudah banyak untung!"

5) Sekarang ramai yang merungut, semua keperluan melibatkan wang, harganya naik.

6) Bagi saya, apa-apa pun keadaannya, tetap mempunyai hikmahnya tersendiri.

7) Di jalanraya, kenderaan tidak sesibuk dahulu. Penjimatan minyak. Kemalangan pun berkurangan. Pandu 80 hingga 100 kmj sudah memadai. Jimat petrol. Lambat 5 minit saja. Yang memandu laju, memang kaya raya.

8) Nasi lemak dan roti canai, kuantitinya dikurangkan. Tidaklah terlalu banyak mengambil makanan berminyak dan berlemak. Dapat menjaga kesihatan.

9) Teh tarik pun sudah kurang manisnya. Mengurangkan pengambilan gula. Kurang risiko kencing manis. Dulu ramai ke unit kecemasan (kencing masam?) hospital, kerana kencing manis.

10) Mula-mula susah juga nak sesuaikan diri dengan keadaan, lama kelamaan, boleh juga.

11) Anak-anak sekolah, dulu bapa hantar atau naik bas. Sekarang naik basikal. Sihatkan badan juga. (Ibubapa kena perihatin, nanti ada anak yang ponteng sekolah).

12) Pembelian makanan ringan (jajan) sudah berkurangan. Jaga kesihatan anak-anak. Jangan diberikan banyak gula-gula.

13) Cuti hujung minggu, kurang makan angin. Lebih baik bersantai di rumah bersama keluarga. Tetapi janganlah asyik mengadap TV sahaja.

14) Pendekkata, kenaikan harga minyak , ada juga manfaatnya. Banyak lagi lah kalau nak dicatatkan.

15) Di bandar, di kampung, di bandaraya, di felda lain caranya, lain manfaatnya. Lain padang, lain belalangnya. (Tapi janganlah jadi nujum pak belalang: Siapa jadi PM nanti, turunlah harga petrol !)

16) Kalau nak catat tentang beban kewangan dan keperitan hidup sekarang ini …… lagilah banyaknya…

No comments: