2.11.08

NYATA DIBIAR, SEMBUNYI DICARI

Hari minggu: Pagi beriadah bersama rakan-rakan. Tengahari membaca akhbar. Biasanya, pada hari minggu membaca sekurang-kurangnya dua akhbar mingguan.

Hari ini, ada rencana menarik yang saya baca.

"Kita cari yang tersembunyi. Kita biar yang nyata". Itulah rumusan rencana setengah mukasurat yang saya baca, ditulis oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis.

Rencana tersebut berjudul "Bila yang nyata dibiar, yang tersembunyi dicari".
Kandungannya, antara lain, penulis mengkritik tentang orang-orang tertentu yang sengaja mengintip dan mendedahkan aib dan rahsia peribadi orang lain. Kata penulis, akhirnya hasil daripada sikap suka mengintai dan mendedahkan perkara dalam 'kain orang lain' sekalipun pelakunya cuba menyembunyikannya, maka penyakit ini merebak dalam pelbagai sektor kehidupan.

Katanya, sesetengah media memang suka berita sensasi tentang maruah orang lain untuk dielong. Namun Islam menentang cara yang demikian.

Amat dukacita bagi masyarakat kita, katanya, jika kita sibuk mendedahkan maksiat yang tertutup yang disuruh oleh prinsip Islam agar kita tidak membukanya, dalam masa yang sama kita membiarkan berleluasa maksiat yang terbuka yang dilakukan atas pentas, dalam filem dan dijual dengan harga yang mahal.

Katanya lagi, amatlah dukacita jika penguatkuasa agama ada masa yang cukup untuk pergi mengintip sampai sanggup tunggu pukul 2, 3 pagi mengintip pasangan berkhalwat tetapi tidak cukup masa untuk membantah majalah-majalah yang terang-terang siang dan malam dijual yang mempamerkan aksi-aksi panas pasangan yang tidak berkahwin.

Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata ...

No comments: