1. Dulu, air batu. Sekarang, ais. Tetapi sejuknya sama saja!
2. Masa saya masih budak-budak (pada akhir tahun 1950-an), tinggal di kampung, sesekali berbuka puasa dengan minuman sejuk yang dicampur air batu. Wah! enaknya. Sesekali! Di kampung tidak ada elektrik dan sudah tentu tidak ada peti sejuk.
3. Sekarang ais bukanlah sukar ditemui. Malah ais boleh dibuat sendiri. Majoriti rumah, ada refrigerator atau ice-box. Ais bukanlah sesuatu yang luar biasa.
4. Ketika kecil, di kampung sepanjang bulan puasa, dapatlah dua atau tiga kali minum air batu ketika berbuka.
5. Penjaja air batu datang ke kampung menjual ketulan air batu. Seketul air batu sebesar batu-bata berharga 10 sen.
6. Penjaja menggunakan basikal carrier besar membawa ketulan air batu di dalam tong kayu. Air batu dalam tong ditimbus habuk kayu (gergaji ) dan ditutup dengan guni supaya air batu tidak cepat cair.
7. Harga seketul sepuluh sen itu berserta dengan habuk kayu (gergaji ) itulah!
8. Beli air batu seketul sudah cukup untuk sekeluarga 8 orang. Tetapi air batu perlu disimpan supaya tidak cair menjelang waktu berbuka puasa.
9. Supaya tidak cair, balut ketul air batu dengan kain dan ditanam dalam tanah di bawah pokok yang teduh. Tahanlah, tidak cepat cair.
10. Hampir waktu berbuka, keluarkan air batu yang ditanam, basuh, pecahkan kepada ketulan kecil, letak dalam air sirap limau nipis, air kelapa muda atau kopi-o. Emmmmmmm… enaknya, berbuka puasa.
11. Sekarang ini ada pelbagai pilihan jenis minuman untuk berbuka puasa. Kalau suka, dan jika tidak memudaratkan, setiap hari boleh sediakan minuman berais…