19.1.10

Namimah – Adu Domba Dan Laga



Saban hari melayari internet, saya merasai bahawa saya memerlukan perisai dan penangkis. Betapa tidaknya, saya temui sekian banyaknya terbitan berkaitan perbuatan khianat, fitnah memfitnah, maki hamun, mencela, mencerca, hasutan, gelaran liar, umpatan, mengaibkan orang lain dan melakukan namimah. 

Namimah maksudnya adu domba. Mengadu domba bermakna memperlagakan sesaorang dengan yang lain. Adu domba biasanya berkaitan hal-hal yang tidak disukai, sama ada oleh orang yang mengadu domba, diadu domba atau orang yang menjadi objek adu domba. Adu domba boleh mengakibatkan, perkelahian, pergaduhan, dendam dan permusuhan.


Selain secara lisan, adu domba dilakukan melalui penulisan. Juga dilakukan melalui isyarat. Mungkin pada zaman dahulu adu domba dilakukan melalui perantaraan “tersembunyi” seperti hantu dan jin. Tetapi kini medium pengantaranya lebih luas, malah lebih canggih melalui rangkaian teknologi. 

Saya tidak ingat sama ada saya pernah mengadu domba orang lain. Mungkin pernah tanpa saya sedari. Saya harap saya tidak pernah. Tidak pernah terlintas di hati saya untuk mengadu domba sesiapa. Dulu, sekarang maupun masa akan datang. Minta dijauhkan.

Dalam hidup, kita pernah berhadapan dengan orang-orang yang suka melakukan namimah (adu domba) ini. Kadang-kadang dilakukannya dengan tidak sengaja. Kadang-kadang dalam gurau senda. Atau kadang-kadang memang disengajakan!. 

Bagaimana kalau kita sendiri yang menjadi mangsa adu domba? 

Janganlah diterima perkhabaran yang dibawa oleh si pengadu domba. Si pengadu domba barangkali orang fasik. 

Jika jelas si fasik pengadu domba ini membawa berita mencela dan melaga-lagakan orang lain, nasihatilah mereka. Janganlah ditambah minyak pada api yang marak. Nasihati mereka supaya menghentikan perbuatan itu kerana tidak mendatangkan faedah, malah melebarkan permusuhan. 

Perbuatan mengadu domba amat dibenci Allah SWT. Wajiblah kita menjauhi perbuatan itu. Lebih elok kita berprasangka baik kepada orang lain. Barangkali yang diperkatakan dalam adu dombanya itu belum tentu benar. 

Jika kita menjadi mangsa adu domba, tidak perlulah menceritakan apa yang kita alami itu. Apabila kita bercerita bahawa sesaorang telah mengadu domba kepada kita, bererti kita memperkatakan keburukan orang yang melakukan adu domba itu. Kita pula yang mendapat dosa.

Dapatkah perlakuan adu domba dalam masyarakat kita dihapuskan? Barangkalai kita perlu menyediakan penangkis dan perisai yang lebih canggih.

7 comments:

Anonymous said...

Assalam mu alaikum wr wbt
Cikgu Wahab, Kita ni selalu menulis dalam blog semenjak bergelar MANTAN ni... Sebagai panduan agar kita tidak mengandu domba.. kita tulislah dalam bentuk analogi, penceritaan tanpa menyebut nama.. Sentiasa berlapang dada... "Walau pun hati membara tetapi sejuk di kepala" dan berbagai panduan yang boleh diambil sebagai menjarakkan diri kita daripada membuat Namimah....

CIKGU NAMAN said...

Put Yourself on the Other's Shoes..

kalau boleh amalkan ini sangatla bagus kan mantan

Cikgu Chun said...

Ini lah pertama kali saya mendengar ayat "adu domba". Sekarang baru sy faham maksudnya. Org yang selalu adu domda ni biasanya akan menyorokkan dirinya spy org lain x kenal siapa dia. Dengan kecangihan teknologi IT skrg ni, adu domba mmg cepat berlaku.

Abam Kie said...

mantan,

sy cukup bengang kpd blog2 politik yg memfitnah, mencaci, mengata, melagakan org dan lain2 perbuatan jahat yg sewaktu dgnnya. mentang2 la tu blog mereka n sesiapa pun bebas nak tulis apa2...merekan hentam org lain sesuka hati. x ada adab sopan sbg org melayu terakhir. sama aje..blog pro-kerajaan atau pembangkang. sabar je la....

ckLah @xiiinam said...

Mengadu domba...
Sikap yang lahir akibat sifat dengki.....



Kata Dr Abdullah 'Aidh al Qarni dalam karya agungnya,"La Tahzan";

"Kita boleh bersahabat dengan sesiapa saja...kecuali seorang pendengki!"

Rohani M.U said...

Salam cikgu.
Biasa la cikgu ngadu-ngadu ni terutama kat tempat kerja. Silap sikit aje, ngadu kat boss padahal perkara remeh aje tu boleh diselesaikan dengan cara baik. Kekadang tu saja nak ngadu kat bos bagi bos tengok orang yang diadu tu banyak kekurangan dan kelemahan. Selagi bernama manusia selagi itulah tidak sunyi dari adu domba sesama makhluk untuk menunjukkan kekuatan dan pengaruh masing-masing. Entahlah.......

orang muo said...

adu domba ada di mana-mana saja,pejabat kerajaan & swasta, sekolah,komuniti,kampung, persatuan politik dsb...adu domba sebenarnya salah satu strategi berkesan dalam politik melayu untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh walaupun mereka sedar perbuatan ini adalah amat keji, sanggup buat apa saja asalkan matlamat tercapai...
"di mana Islam mu manusia..."