27.11.08

YOGA


Kecoh jadinya jika ramai yang tidah faham.

Petikan daripada:
http://www.islam.gov.my/portal/yoga_Bm.php

1. "Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga.

2. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

3. Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

4. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.

5. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

6. Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(i) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(ii) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
(iii)perbuatan.

7. Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis.


Jika kita baca ulasan oleh orang persaorangan atau organisasi tentang fatwa berkaitan Yoga yang disiarkan di akhbar dan blog, terbukti bahawa masih ramai yang tidak faham. Atau sengaja buat-buat tidak faham?

1 comment:

CikguSepajo said...

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.