28.9.09

RON – Research Octane Number

1. Pertama kali isi tangki dengan RON 95. Rasa berbelah bagi juga nak pam masuk dengan nozel kepala kuning tu. Sebab tak pernah guna selain RON 97.

2. Tapi kat station tu tak ada nozel kepala hijau (RON97). Kena isi juga. Sebab on the way balik dari KL. Dalam tangki masih ada RON97. Katanya campur tak apa.

3. Di bandar tempat saya tinggal, tak masalaah sebab masih ada RON97. Tapi lama kelamaan mungkin tak ada lagi. Kena isi RON95 juga nanti.

4. Sebelum ni rasa skeptik jugak nak guna RON95. Banyak cerita. Tapi saya banyak juga surf cari maklumat. Pengeluar minyak kata no problem.

5. Cuma saya dapat satu maklumat kajian yang dibuat di Jepun. Ada kereta-kereta tertentu yang tak boleh pakai RON95. Kena modify bahagian enjin tertentu nak sesuaikan dengan RON95.

6. Tak taulah sama ada RON95 sesuai untuk kereta tertentu aje. Saya singgah di stesen Esso dan ada maklumat jenis kereta yang sesuai guna RON95. Yang tersenarai semua kereta Proton dan Produa. Yang lain ialah sebahagian kereta jenis Toyota. Tulah yang rasa berbelah bagi.

7. Saya guna Kia Spectra. Isteri guna Viva. Isteri pernah isi RON95 dan komplen tak ada pikap. Enjin lebih bising. Tak berani nak memotong. Slow. Dia tukar balik ke RON97. Ok macam biasa.

8. Masa balik dari KL, saya isi RM30 dengan RON95. Jadi tiga suku tangki campur dengan baki RON97.

9. Penat juga kaki kena tekan pedal minyak lebih kuat. Pikap memang kurang. Nak memotong kena lajak dari jauh lagi. Enjin jadi lebih bising. Ntah dari mana datang bunyinya. Saya bukan tau sangat pasal kereta ni.

10. Selepas 120 km, tempreature enjin dah lebih tinggi, tak macam biasa. Bila sampai rumah, tempreature masih tinggi. Buka bonet depan. Engin panas. Ada bunyi macam bearing rosak. Tak taulah apa.

11. Banyak spekulasi dibuat tentang kemampuan RON95 ni. Hanya yang pernah guna yang tahu. Ada kesan psikologi juga, barangkali.

12. Anda guna RON95?. Anda pakai kereta apa? Ada perubahan tak? Enjin camne? Pikap? Bising tak? Positif atau negatif? Kalau dapat kongsi maklumat, bagus juga. Mungkin RON95 lebih jimat ke?

13. Saya kena gi woksyop ni, check. Mungkin bukan kerana RON95.

27.9.09

50 monolog p m

Monolog Pemandu Malaysia:-

M1. "tak payah pakai tali keledar, bukan ada roadblock"

M2. "tekan minyak sikit, biar meletup ekzos"

M3. "slow sangat, bila nak sampai"

M4. "kuat sikit radio, baru best bunyi"

M5. "eleh tak padan kecik, nak potong jugak"

M6. "sempat potong"

M7. "sem pat beloklah"

M8. "minggu depan baru hidup lesen"

M9. "lecehlah, tak payah signal"

M10. "belum merah, sempat lagi"

M10. "nak lumba ya, jomlah"

M11. "hello…."

M12. "heh, motor ni sibuk je"

M13. "jauh lagi tu, sempat"

M14. "nak eksyen ye, nanti kau"

M15. "apa tunggu lagi, potong lah, leceh. Lambat"

M16. "tak ada apalah kat depan, boleh"

M17. "kereta buruk, ada hati nak potong aku"

M18. "sempat brek lah"

M19. "malam tak pe, boleh laju sikit"

M19. "lampu sebelah pun, nampak juga"

M20. "hoi rendah lah api tu, akupun boleh tinggi"

M21. "baru kau tau, silau"

M22. "baru 130, biasa 140"

M23. "tak terkejar kaau ye"

M24. "celaka kau"

M25. "mampus kau"

M26. "hee hee, padan muka kau"

M27. "hoi, lesen kopi ke?"

M28. "baru kau tau"

M29. "padan muka kau"

M30. "tengok oranglah"

M31. "hempet sikit"

M32. "lipat sikit"

M33. "tekan sikit"

M34. "hujan bukan lebat"

M35. "macam kura-kura, buat pameran je lah"

M36. "perempuan"

M37. "patutlah, suruh cuculah bawak kereta"

M38. "potong 4 sekali, lepas ni"

M39. "ni kena bagi hon, biar terkejut sikit"

M40. "tak ada budak sekolah, takpe"

M41. "no problem, sport rim baru"

M42. "takpe, absorber o.k punya"

M43. "takpe, tayar ada bunga lagi"

M44. "baru je modified, takkan ada problem"

M45. "sibuklah diorang ni, masa tulah nak lintas"

M46. "one way pun terjah je, bukan ada polis"

M47. "road-tax lewat sebulan pun takpelah"

M48. "jalan best, 160 pun ok je"

M49. "diaorang drag tu lagi laju, takpe pun"

M50. "mati sekali je"

Baru 50, mungkin banyak lagi….

24.9.09

“TAU X SAYA ADA PIHEHDEE !” (Pretty Heavy Diaper?)

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata:

1. Kegiatan membeli gelaran sosial semakin serius dan jika tidak ditangani, akan melahirkan satu generasi 'ilmuwan palsu'.

2. Perbuatan membeli gelaran sosial di negara ini sudah di tahap yang agak keterlaluan dan menjadikan budaya menipu di tahap paling tinggi serta memudaratkan masyarakat.

3. "Ada pemimpin muda memiliki ijazah PhD belian dan tidak diiktiraf, ini sangat serius, saya cadangkan mereka disiasat, perbuatan ini disifatkan menipu,"

4. "Cuma Tan Sri yang belum 'dikilangkan' lagi."

 
Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata:

5. Kementerian Pengajian Tinggi harus mengesan dan mengawasi kegiatan pengeluar PhD palsu.

6. ''Walaupun kebanyakan pemilik membeli dari luar negara, Kementerian Pengajian Tinggi harus ada peraturan yang ketat bagi mengawasi gejala ini.

7. ''Masalah 'penjualan' PhD dari dalam negara ini belum dapat dipastikan lagi, cuma saya bimbang pengambilan tenaga pengajar dari golongan ini menular di IPTS disebabkan kita tidak pasti mereka membuat saringan seperti di IPTA.

8. ''Kita tidak boleh suka hati bagi PhD kepada orang yang tidak layak atau memperolehinya dari universiti yang tidak diiktiraf.''


Canselor Universiti UCSI, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata:

9. Mereka yang berkhidmat dengan pusat pengajian tinggi perlu menyerahkan salinan tesis PhD sebagai semakan dan rujukan kepada universiti.

10. ''Tidak kira sama ada pensyarah atau memegang jawatan di bahagian pentadbiran, mereka perlu serah salinan tesis sebagai rujukan dan simpanan universiti bagi mengesahkan ketulenannya.

11. ''Jika mereka didapati menipu, kita perlu tarik balik gelaran tersebut serta kenakan tindakan tatatertib.''


Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata:

12. IPTA bersih daripada golongan yang memiliki PhD 'ekspres' kerana mempunyai mekanisme saringan yang kukuh.

13. Di UiTM, latar belakang akademik setiap bakal tenaga pengajar di institusi itu disemak menerusi Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

14. Masalah akan timbul apabila golongan ini bekerja dengan swasta atau bekerja sendiri dengan tujuan penyelewengan dan penipuan.

15. ''Sukar untuk memastikan status ketulenan gelaran mereka jika tidak terikat dengan sebarang saringan seperti yang dilakukan oleh perkhidmatan awam.

16. ''Mereka yang sengaja berlagak dengan gelaran palsu perlu diambil tindakan undang-undang kerana sudah pasti membawa kesan yang buruk kepada masyarakat,"


Mantan, yang sudah bersara hendak juga berkata-kata:

17. Terkejut, bila tahu isu ini dah jadi cukup serius dan tidak ditangani. Tambah terkejut bila tahu ada juga pemimpin muda yang buat kerja ni.

18. Dulu ada yang pernah cerita pada saya, ada orang yang tiba-tiba letak gelaran Dr.(persuratan) di pangkal namanya atau gelaran 'Datuk' Dr.'  Saya sangka tu cuma kes terpencil saja.

19. Khabarnya mereka ni bukanlah berpelajaran tinggi tetapi berwang (bukan beruang) dan PhD yang dia dapat tu 'dikilangkan' di luar negara.

20. Apa yang mereka ni nak?. Mungkin glamour. Mungkin ada tujuan peribadi untuk mendapat peluang tambah wang (hingga menjadi beruang) jadi kaya raya, atau jadikan passport 'pelaburan' dalam pelbagai bidang.

21. Saya teringat masa belajar di Universiti Malaya (1980), bertungkus lumus, tak cukup tidur nak buat ijazah pertama je. Susahnya tak terkata. Itupun cuma dapat B.A. Hons second class upper. Nak dapat first class pun sangatlah sukarnya.

22. Rupa-rupanya sekarang ni nak dapat PhD sangatlah senangnya! Tapi kalau saya ada banyak duit pun, rasanya tak sanggup…tak sanggup.

15.9.09

THE GREETING AND THE PANTUN

 
                                                  Pakaian yang carik diganti sutera,
                                                Kain yang cantik kita pakaikan;
                                        Ramadhan diduga, Syawal bergembira,
                                                Kejayaan disambut, kita raikan.

Happy Eid Ul Fitr, Muslims Wherever!

Eid Ul Fitr is just around the corner.

The raya mood is lingering high, provoking peoples' patience.

Balik kampung!

Drive safely.

Take CARE, safety first.

Happy puasa, then happy hari raya!

CARE = Careful, Affable, Rational and Ethical

14.9.09

HARI PERTAMA

 MASIH MEMIKIRKAN 
APA JUADAH 
UNTUK 
HARI RAYA PERTAMA
KAWAN-KAWAN ADA CADANGAN TAK?

11.9.09

INGAT: untuk zaijb

untuk zaijb  < http://zaijb.blogspot.com/ >


Tiadanya ALPA maka tiadalah nikmat INGAT...


10.9.09

KONFRONTASI DAN GANYANG

1. "Konfrontasi" dan "Ganyang" mula-mula mantan dengar ketika berusia tiga belas tahun. Masa tu berlaku konfrantasi Malaysi – Indonesia.


2. Mantan bukan nak ungkit cerita lama.Tetapi baik juga kalau generasi muda dapat baca.

3. Masa tu mantan tiga belas tahun, tak faham sangatlah.Tapi masa belajar sejarah di sekolah, semakin fahamlah.

4. Masih ingat, ramai tentera berkhemah di pinggir pantai di kampung tempat mantan tinggal.

5. Kadang-kadang dengar juga berita, ada askar Indonesia mendarat di kawasan pantaai dekat kampung.

6.Sudah tercatat dalam sejarah: Sukarno telah melancarkan kempen 'Ganyang Malaysia'.

7.Konfrantasi Sukarno, mulanya kecil (asalnya kerana tidak senang dengan Penubuhan Malaysia) telah berubah dari perang kata-kata (Sukarno ni, pemidato handal!) menjadi konfrantasi tentera.

8.Tahun 1964, gerila Indonesia dah mula serang Malaysia. Pada bulan Ogos, enam belas ejen bersenjata Indonesia kena tangkap di Johor.

9.Aktiviti tentera Indonesia di sempadan meningkat.

10.Pasukan tentera juga polis Malaysia dan pasukan simpanan dikerah kawal dan ronda kampung-kampung, bandar dan perairan negara untuk cegah gerila Indonesia yang nak ceroboh.

11.Sepasukan Rejimen Askar Melayu Diraja berhadapan dengan lima puluh orang gerila Indonesia. Ini berlaku pada 16 Ogos.

12.Ketegangan juga berlaku di Selat Melaka.

13.Ada ejen Indonesia kena tangkap dan wartawan media massa serang kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

14.Pertempuran juga terjadi dekat sempadan Kalimantan. Gerila Indonesia dan pasukan separa tenteranya cuba nak ceroboh Sarawak dan Sabah, tapi gagal.

15.Pada 17 Ogos, pasukan payung terjun mendarat di pantai barat daya Johor dan cuba membentuk pasukan gerila.

16.Pasukan payung terjun mendarat di Labis, Johor pada 2 September 1964.

17.Pada 29 Oktober, 52 anggota tentera Indonesia dah sampai di Pontian di sempadan Johor-Melaka, tetapi kena tangkap oleh pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja. Ramai juga yang kena tahan oleh Pasukan polis Hutan di Batu 20, Muar, Johor

18.Menjelang akhir 1965, Di Indonesia. Berlaku rampasan kuasa. Jeneral Soeharto memegang tampuk pemerintahan.

19.Satu rundingan diadakan di Bangkok. Kerajaan Malaysia dan Indonesia mengumumkan perdamaian pada 28 Mei 1966. Soeharto menghantar Adam Malik jadi wakil berunding dengan Tunku Abdul Rahman.

20.Kekerasan berakhir pada bulan Jun, dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos 1966.

21.Kita tidak mahu peristiwa-peristiwa seumpama ini berlaku lagi.

22.Jika "konfrantasi" dan "ganyang" berulang, keadaannya tentu dapat dibayangkan. 

8.9.09

KENYATAAN-KENYATAAN IRONIS (Sempena Hari Literasi Sedunia)


1.Kenyataan-kenyataan ini kelihatannya amat ironis:-

2.Guru tidak tahu membaca.

3.Guru tidak mahu membaca.

4.Bagaimana murid akan pandai membaca jika guru tidak tahu dan tidak mahu membaca ?.

5.Kalau guru dan pelajar boleh membaca, mahirkah mereka membaca?

6.Apakah kemahiran membaca itu perlu dipelajari?

7.Pernahkah Institusi Latihan Perguruan atau IPT mengajar pelajar-pelajarnya membaca?

8.Perlukah kita belajar Kemahiran Membaca Tahap Tinggi?

9.Kenyataan-kenyatan berikut, tidaklah ironis sifatnya:-

10. Statistik Negara 2008 menunjukkan kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain.

11.Statistik tersebut menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus.

12.Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 pula menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju.

13.Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman mempunyai kadar literasi tinggi pada tahap 99 peratus.

14.Di Malaysia, kumpulan berumur 10 tahun dan ke atas, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar, 3 peratus membaca majalah, 3 peratus lagi membaca buku dan 1.6 peratus membaca komik.

"SELAMAT MEMBACA"
Hari ini ialah hari Literasi Sedunia.

7.9.09

214 th.



"TEPAT"
                                                       
Ini entry yang ke 214.
Entry paling pendek yang pernah mantan tulis.


6.9.09

PUTUS EKOR TIKUS

 
Putus dah ekor tikus ni dikerjakan si comot
 
 

3.9.09

MALAM NI ADA WAYANG PROPAGANDA

1.Semangat Merdeka tu tetap ada. Sejak dulu.
2.Dua tiga tahun lepas merdeka 1957, ada juga pengisiannya.
3.Maklumatnya sampai ke serata pelosok kampung. Ada medianya tersendiri. Jabatan Penerangan.
4.Ada strateginya. Setiap bulan ada land rover Jabatan Penerangan masuk ke kampung-kampung, sampaikan maklumat dan amanat kerajaan.
5.Seluruh pelosok kampung akan merasa gembira apabila land rover putih masuk kampung pada waktu petang.
6."Ada wayang propaganda! Ada wayang propaganda!", budak-budak (termasuk saya juga) berteriak apabila mendengar pengumuman bergerak melalui pembesar suara yang ada atas bumbung land rover.
7."Tuan-tuan dan puan-puan, pada malam ini ada wayang gambar bertempat di hadapan masjid. Sila datang beramai-ramai." Pengumuman berulang kali dan sambil land rover bergerak di sepanjang laluan kampung.
8.Kami budak-budak sangatlah seronoknya, nak tengok wayang propaganda. (Perkataan propaganda tu, walaupun tak tau makna, tapi fasih di sebut. Perkataan Inggeris tu!).
9.Awal-awal sudah siap mandi. Hampir magrib sudah berada hampir land rover pejabat penerangan. Budak-budak yang lebih besar membantu petugas Jabatan Penerangan memasang 'layar putih'.
10.Layar kain putih berukuran lebih kurang 10 X 10 kaki itu, sekejap sahaja sudah ditegakkan.
11. Sejak maghrib, generator sudah dihidupkan.Terang benderanglah laman masjid dengan cahaya.
12.Selepas Isyak, berkumpullah orang kampung, tua, muda, kanak-kanak lelaki dan perempuan. Ramai yang membawa tikar untuk alas duduk.
13.Ada pula yang mengambil peluang menjual kacang rebus, kuih lapis, baulu, tebu, jagung rebus atau lepat pisang. Air? Tak ada yang jual. Bawa sendirilah.
14.Apabila lampu dipadamkan, wayang pun bermulalah. Tahulah apa ceritanya pada malam itu. Biasanya cerita Melayu. Kadang-kadang diikuti dengan cerita orang putih atau Hindustan. Hitam-putih saja.
15.Asyiknya menonton. Biasalah, kalau cerita kelakar, berderailah ketawa. Ada juga yang menangis bila ceritanya sedih.
16.Biasanya tayangan tergendala beberapa kali. Filem putus atau terlucut. Pada masa tu lampu dinyalakan sementara film atau projecter dibaiki. Tapi sekejap saja, lampu dipadamkan semula, wayang diteruskan.
17.Sedang asyik menonton, (tengah saspen tu – dan masih ada baki strip filem yang belum habis diputar ) lampu dinyalakan kembali. Kali ini bukan kerana projector rosak atau filem putus. Sampailah waktu pegawai penerangan sampaikan "propaganda".
18.Pegawai penerangan menggunakan pembesar suara menyampaikan maklumat, berita, dasar-dasar kerajaan atau nak terap semangat patriotik.
19.Pelbagai isu disentuh termasuk, politik, ekonomi, pendidikan, budaya, agama dan sebagainya setakat yang dapat difahami oleh orang kampung.
20.Penerangan itu kadang-kadang berlarutan sehingga ada kanak-kanak yang tertidur lentok di pangkuan.
21.Kami budak-budak, tidak pun memberi perhatiaan pada ucapan si pegawai. Lebih berseronok berkejaran sesama rakan sebaya mengambil peluang bermain dalam kecerahan cahaya lampu (di rumah, cahaya pelita minyak tanah sahaja!).
22.Selesai ucapan, lagu "Negaraku" berkumandang. Berdirilah semuanya. Mana-mana yang mendukung anak tu, dukunglah.
23.Lagu Negaraku" selesai. Duduklah kembali. Wayang disambung lagi. Sesekali terdengar juga orang menampar nyamuk. Tak berkata-kata, asyik menonton wayang sehingga tamat.
24.Layar putih diturunkan. Semuanya pulang. Lampu dipadamkan.
25.Nanti, wayang "propaganda" akan datang lagi. Dengan filem yang lain, dengan "propaganda" yang lain.
26.Zaman kanak-kanak memang menyeronokkan. Dan itulah suatu pengalaman ketika negara mula Merdeka.

1.9.09

BULU RUM TIDAK NAMPAK, PANJAT POHON TAMAR

1.Dulu ada orang balik dari Mekah (menunaikan fardhu haji, rukun Islam ke-5) membawa pulang anak benih pokok tamar (kurma).

2.Ketika saya kecil, pada akhir tahun 50-an, masih saya ingat, di hadapan rumah Imam Haji Taib di kampung saya terdapat dua batang pokok tamar.

3.Seingat saya, pohon tamar itu tidak pernah berbuah. Mungkin belum masanya. Ataupun tidak sesuai dengan cuacanya yang berhampiran kawasan pantai itu.

4.Selepas itu keluarga saya berhijrah ke penempatan lain.

5.Beberapa tahun kemudian, setelah beberapa lama Hj.Taib kembali ke rahmatullah, pokok tamar itu suah tidak kelihatan.

6.Rumah papan beratap zing kepunyaan Hj Taib juga sudah tiada. Sekarang di sekitar kawasan itu sudah didirikan beberpa buah chalet untuk pelancong.

7.Teringat akan pokok tamar itu, kenangan mengimbau kembali sewaktu belajar agama ketika masih budak-budak. Yang masih saya ingati ialah celoteh Ustaz Abdul Kadir, ustaz yang mengajar kami.

8.Ustaz Abdul Kadir yang berkulit cerah dan handsome itu sentiasa memakai songkok hitam. Dia mempunyai sebuah motor berjenama Lambaretta. Ustaz Abdul Kadir juga sudah lama kembali ke rahmatullah.

9.Ustaz Abdul Kadir mengajar kami berpandukan kitab Matlaul Badrin. Kitab ini, kertasnya berwarna kuning tua. Bertulisan jawi, ejaan lama. Tidak berjilid. Saiznya lebih besar dripada saiz A4.

10.Struktur bahasanya, ke-Araban. Ejaan jawinya, ejaan lama seperti tidak mempunyai sistem yang jelas.

11.Misalnya, perkataan 'bumi' di eja 'ba-wau-mim' = bum. Perkataan 'bulu roma' dieja 'ba-wau-lam-wau-ra-wau-min" = bulurum.

12.Saya masih ingat Ustaz Abdul Kadir yang suka berjenaka itu menceritakan bagaimana orang tua-tua zaman dahulu belajar agama menggunakan kitab Matlaul Badrin itu.

13.Ketika mengajar mengenai puasa Ramadhan, Ustaz bercerita tentang kefahaman orang tua-tua dulu berdasarkan kitab Matlaul Badrin bertulisan jawi itu.:

14."Maka hendaklah kamu berbuka puasa ketika sudah tidak kelihatan akan bulu rum". "…maka sunat kamu berbuka puasa di atas tamar".

15. Bulu rum (ikut ejaan jawai kitab Matlaul Badrin) itu sebenarnya 'bulu roma'. Tetapi bulu rum di kampung saya bermaksud bulu yang lain.

16.Dan ada orang zaman dulu, kata Ustaz Abdul Kadir, memanjat pokok kurma apabila sampai waktu berbuka puasa (& apabila sudah tidak kelihatan bulu rum) kerana "…maka sunat kamu berbuka puasa di atas tamar".

17."Di atas tamar" itu difahamai oleh orang-orang tua yang buta huruf itu sebagai "duduk di atas pokok kurma". (bukan makan kurma, tetapi memanjat pokok kurma).(Nasib baik perkataan 'sunat' itu dapat difahami!)

18.Yang mengajar pula tidak memahami sistem ejaan jawi dan struktur bahasa dalam kitab Matlaul Badrin itu.

19.Begitulah keadaan Ustaz Abdul Kadir, mengajar sambil bercerita dan berjenaka, menjadikan kami tidak pernah jemu. Banyaklah yang saya ketahui tentang salah faham yang berlaku kerana bahasa dan ejaan kitab itu.

20.Kurma memang diakui mempunya khasiat terbaik sebagai makanan untuk berbuka puasa, tetapi tidak perlulah sampai memanjat pokok kurma untuk menikmatinya. Ada pelbagai jenis kurma di pasaran.