31.10.08

PELAJAR HILANG

Akhbar seringkali melporkan tentang beberapa pelajar yang menuntut di luar negara didakwa "hilang".

Teringat saya kepada anak saudara saya yang "hilang" di Amerika sejak 20 tahun yang lalu. Anak saudara saya itu, Muhamad Redhuan Bin Umar, menuntut di sebuah universiti di Ontario. Seingat saya dia mengikuti pengajian dalam bidang Aerodynamics setelah berjaya cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Dia "hilang" sebelum tamat pengajian. Dia tidak pernah kembali. Di manakah dia, tidak diketahui, masihkah hidup atau apalah yang terjadi...

Ramai pelajar Malaysia yang berjaya cemerlang di luar negara. Namun segelintir yang gagal telah "menghilangkan" diri.

Ada yang tidak mampu meneruskan pelajaran kerana seringkali gagal, dan mencari pekerjaan yang sesuai. Tidak mahu pulang ke Malaysia kerana malu dan tidak tergamak melukakan hati ibubapa.

Anak seorang jiran saya, baru tiga bulan kembali ke pangkuan keluarga setelah empat tahun "hilang" kerana tidak mampu menamatkan pengajian dalam bidang perubatan. Bekerja di restoran di luar negara, tetapi kemudiannya berkeputusan kembali.

Sebenarnya kita tidak tahu berapa ramai pelajar Malaysia tidak kembali kerana gagal. Ibu-bapa bukan tidak berusaha mencari dan membawa pulang ke tanah air. Berapa ramai pula yang tidak kembali kerana sebab-sebab lain...

Gambar Untuk Renungan




26.10.08

Main Woodball




Pernah main woodball?

Woodball, permainan rekreasi yang agak baru di negara kita, berasal dari Taiwan. Mudah dipelajari, permainan ini sesuai untuk pelajar sekolah mahupun orang dewasa.

Kerana permainnanya mudah dan menyeronokkan, dalam beberapa tahun sahaja, sudah menjadi permainan rekreasi di 26 negara.


Permainan ini menggunakan sebatang pemukul diperbut daripda kayu (mallet). Kepala mallet berlapikkan getah.


Objektif permainan ialah menghabiskan lapangan permainan yang mengandungi 24 ‘gate’ dengan memukul bola kayu dengan mallet. Bagi setiap gate dikira sama ada 3, 4 atau 5 par.


Biasanya permainan ini mengandungi 4 pemain bagi setiap kumpulan. Pemain yang memperolehi jumlah pukulan paling sedikit dikira pemenang.

Untuk mengetahui lebih lanjut, banyak laman web mengenainya boleh dilayari.

http://www.woodball.org/

http://pahang.delights.com/

http://www.jacobczitrom.se/woodball/woodballpics.html

http://www.woodball.org.sg/

Diwali


Happy

DEEPAVALI

to my

Indian friends

Naik dan Turun

Sudah lama tidak membeli lauk yang siap dimasak. Hari ini kena belilah. Isteri tiada di rumah. Tinggal seorang. Nak masak, malas. Tanak nasi sajalah.

Selepas membeli surat khabar, singgah di kedai makan. Beli lauk siap dimasak. Ikan dan sayur, cukuplah.

Si penjual, peramahnya: Ikan di pasar pun mahal, katanya. Beli sayur peria di pasar pun mahal, katanya. Harga santan pun dah melampau, katanya. Semua naik, katanya.

Saya bayar harga lauk, seperti yang disebut. Memang terasa amat mahalnya.

Harga minyak semakin turun, harga barang siap diproses, semakin mahal.

24.10.08


Daulat Tuanku
Merafak Sembah. Menyembahkan Ucapan Setinggi-Tinggi Tahniah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar
Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah


DKP.; DK.; DKM.; SSAP.; SIMP.; DMN.; DK (Perak).; DK (Johor).; DK (Kelantan).;
DK (Terengganu),; DK (Perlis).; DK (Kedah).; DKMB,; DK (Brunei).;
DK (Negeri Sembilan).; DK (Selangor).; Qiladah Badr Al-Kubra (Saudi Arabia).;
Qiladah Al-Sheikh Mubarak Al-Kabir (Kuwait).;
Grand Order Of The Mugunghwa (South Korea).;
Hon. D. Litt (Malaya), LLD. Hc. (Northrop USA).; Hon. D. Sc (Bedfordshire, UK).

Sultan Dan raja Pemerintah Bagi Negeri Pahang Darul Makmur
Serta Segala Jajahan Takluknya.


Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda
Pada 24hb Oktober 2008, Bersamaan 24 Syawal 1429 Hijrah.

“Semoga Allah Memberkati Peperintahan Berjiwa Rakyat
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku”

Junjung Kurnia Keperihatinan Tuanku Kepada Rakyat Jelata Mangsa Banjir.

21.10.08

NILAI MURNI DALAM PENDIDIKAN MORAL


NILAI-NILAI MURNI yang diajar dalam matapelajaran Pendidikan Moral:

PERKEMBANGAN DIRI (Self Development)
Kepercayaan kepada Tuhan (Belief in God)
Amanah (Trust)
Harga diri (Self esteem)
Tanggungjawab (Responsibility)
Hemah tinggi (Venerable)
Toleransi (Tolerans)
Berdikari (Independence)
Kerajinan (Deligence)
Kasih sayang (Love)
Keadilan (Fairness)
Rasional (Rational)
Kesederhanaan (Moderation)

KEKELUARGAAN (Family Life)
Kasih sayang terhadap keluarga (Love for the family)
Hormat dan taat kepada anggota keluarga (Respectful and loyal to family members)
Mengekalkan tradisi kekeluargaan (Continuation of family traditions)
Tanggungjawab terhadap keluarga (Responsibility towards family)

ALAM SEKITAR (The Environment)
Menyanyangi dan menghargai alam sekitar (Love and appreciation of the enviroment) Keharmonian antara manusia dan alam sekitar (Harmony between humans and the enviroment)
Kemapanan alam sekitar (Stability of the enviroment)
Peka terhdap isu-isu alam sekitar (Sensitive towards enviromental issues)

PATRIOTISME (Patriotism)
Cinta akan negara (Love for the country)
Taat setia kepada raja dan negara (Loyal to the King and Country)
Sanggup berkorban untuk negara (Willing to sacrifice for the country)

HAK ASASI MANUSIA (Human rights)
Melindungi hak kanak-kanak (Protecting the rights of children)
Menghormati hak wanita (Respecting women’s rights)
Menghormati hak golongan kurang berupaya (Respecting the rights of the disabled)
Melindungi hak pekerja (Protecting workers’ rights)
Melindungi hak pengguna (Protecting consumer rights)

DEMOKRASI (Democracy)
Mematuhi peraturan dan undng-undang (Abaiding by laws and regulations)
Kebebasan bersuara (Freedom of speech)
Kebebasan Beragama (Religious freedom)
Pengelibatan dalam pembangunan negara (Involment in the country’s development)
Sikap keterbukaan (Openness)

KEAMANAN DAN KEHARMONIAN (Peace and harmony)
Hidup bersama secara aman (Coexistance)
Saling membantu dan bekerjasama (Helpful and cooperative)
Saling menghormati antara negara (Mutual respect between countries)

19.10.08

Pendidikan Moral vs Pendidikan Islam

Apakah yang diajar dalam mata pelajaran Pendidika Moral di sekolah-sekolah? Terdapat tujuh bidang nilai moral yang diajar, iaitu:


PERKEMBANGAN DIRI

KEKELUARGAAN

ALAM SEKITAR

PATRIOTISME

HAK ASASI MANUSIA

DEMOKRASI

KEAMANAN DAN KEHARMONIAN.


Dalam tujuh bidang ini terkandung tiga puluh enam nilai murni. Untuk tujuan peperiksaan, pelajar-pelajar dikehendaki menghafal semua nilai murni ini.

Pelajar-pelajar Islam / Melayu tidak mengambil matapelajaran ini. Pendidikan Moral diganti dengan matapelajaran Pendidikan Islam.


Apakah pelajar Islam / Melayu tidak peru mengetahui perkara-perkara yang bekaitan dengan perkembangan diri, kekeluargaan, alam sekitar, patriotisme, hak asasi manusia demokrasi juga keamanan dan keharmonian ???


Apakah dengan matapelajaran Pendidikan Islam itu, pelajar-pelajar Islam / Melayu sudah memahami nilai-nilai murni seperti yang terkandung dalam matapelajaran Pendidikan Moral itu???

Gurulah yang melaksanakannya


Kebelakangan ini ada beberapa cadangan bagi menilai kembali pengajaran dan pembelajaran serta kepentingan matapelajaran tertentu dalam kurikulum sekolah. Selepas mata pelajaran Sains Pertanian, mata pelajaran Teknik dan Vokasional diikuti pula mata pelajaran Sejarah dan kini mata pelajaran Pendidikan Moral.


Timbulnya cadangan-cadangan tersebut tampaknya tercetus sama ada secara langsung maupun tidak, ialah kerana desakan-desakan, kehendak dan keperluan politik semasa. Ini tidak menghairankan kerana memang sistem pendidikan kita berkait rapat dengan kehendak, keperluan dan pengaruh politik negara.


Apapun keperluannya, jelas bahawa harapan para guru ialah perancangan kepada perubahan-perubahan yang akan dilaksanakan perlu mengambil kira pandangan-pandangan guru yang secara langsung berperanan sebagai pelaksana. Para gurulah yang akan bergelumang dengan pelbagai masaalah sewaktu melaksanakannya.

17.10.08

Kebuluran



Kanak-kanak itu
kebuluran, merangkak, layu...
khemah makanan PBB
satu kilometer dari situ...
setianya burung nasar menunggu...
rezekinya begitu...

KOD ETIKA SEKOLAH UNTUK PANDUAN PELAJAR



Ketika saya menjadi pengetua di beberapa sekolah di Pahang, saya menetapkan kod etika sekolah untuk panduan pelajar. Saya sengaja menyenaraikan kod etika tersebut dalam Bahasa Inggeris. (Ada tujuan tersirat di sebalik penulisannya dalam Bahasa Inggeris itu).


Terdapat lima perkara terkandung dalam kod etika tersebut:



- OBEY ALL TEACHERS’ INSTRUCTIONS

- LOOK AFTER OUR SCHOOL

- LOOK AFTER YOURSELF AND YOUR FRIENDS

- KEEP YOUR HANDS AND YOUR FEET TO YOURSELF

- NO TEASING, NO NAME CALLING


Sekurang-kurangnya sebulan sekali, dalam perhimpunan rasmi sekolah; saya atau guru-guru akan memperkatakan perkara-perkara yang berkaitan dengan kod etika ini kepada pelajar-pelajar.

15.10.08

Apa halnya selepas PMR?

Program selepas PMR sudah tersedia.


Dalam mesyuarat, ketika merancang program, seringkali yang difikirkan ialah, “apa yang perlu dilakukan oleh sekolah untuk mencapai objektif program”.


Ketika proses pelaksanaannya, yang seringkali dilupai ialah “apa yang patut diperolehi oleh pelajar; dan apa yang patut dibuat oleh pelajar untuk mendapatkannya”.


Benarkah begitu?

14.10.08

Soalan Silap ?


Ada kesilapan pada soalan nombor 25, Kertas Bahasa Melayu I, PMR 2008 ?

Kita bersama sudah bersetuju


Memang dapat dijangka; bahawa guru-guru akan berpuas hati jika pendapat, pandangan dan buah fikiran mereka diambil kira apabila pemimpin sekolah membuat sesuatu keputusan.

Bagi guru, hal ini akan menimbulkan rasa dihormati, dipercayai dan dihargai. Guru-guru percaya bahawa unsur “empowerment” berlaku dalam proses membuat keputusan.

Keputusan yang diambil dianggap sebagai keputusan bersama.

Kadang-kadang, membuat “keputusan bersama” ini menimbulkan dilema dalam kalangan pemimpin-pemimpin sekolah. Pemimpin sekolah terpaksa mengamalkan kemahiran-kemahiran sebagai “fasilitator” dan juga sebagai “pemerintah”.

Apa pun kemahiran yang digunapakai, perubahan tidak akan berlaku sekelip mata.

13.10.08

Jururawat

Di hospital ada jururawat yang mukanya masam mencuka. Ada pesakit yang hiba dan berdukacita.

11.10.08

PMR

Budi Dan Daya

Dalam lapangan pendidikan, pelbagai definisi diberikan kepada “budaya sekolah”; yang kadang-kadang kurang jelas dan tidak konsisten. Konsep budaya dalam pendidikan timbul dengan harapan ia akan memberi halatuju persekitaran pembelajaran yang lebih cekap dan stabil.

Stolp and Smith (1994) menyatakan bahawa :
“SCHOOL CULTURE” can be defined as the historically transmitted pattern of meaning that includes the norms, values, beliefs, ceremonies, rituals, traditions, and myths understood, maybe in varying degrees, by members of the school community. This system of meaning often shapes what people think and how they act.”

Pentingkah Budaya sekolah?

Banyak kajian yang telah dijalankan, memberi kesimpulan dan bukti bahawa budaya sekolah itu penting. Budaya sekolah yang sihat dan baik mempunyai korelasi yang erat antara peningkatan pencapaian dan motivasi pelajar dengan produktiviti dan kepuasan guru.

Bolehkah Budaya Sekolah Diubah?

Seringkali seseorang pengetua atau gurubesar yang baru berpindah, bertugas di sekolah lain berhasrat membawa perubahan (tentulah perubahan yang lebih baik). Pengetua atau GB yang berminat mengubah budaya sekolah mestilah terlebih dahulu memahami dengan mendalam budaya sedia ada di sekolah itu. Mengubah budaya sekolah akan melibatkan perubahan kepada perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kestabilan sekolah. Reformasi atau perubahan perlu mengambil kira pendapat orang lain dan juga kesan daripada proses perubahan yang ingin dilakukan.

Peranan Pengetua / GB ?

Perubahan yang berkesan akan dapat dilaksanakan jika pengetua / GB, guru-guru dan pelajar bersetuju bahawa nilai budaya memang penting kepada sekolah. Pengetua seharusnya memberi penekanan kepada pembinaan pasukan, mempunyai agenda bersama, menghormati pendapat orang lain, belajar daripada guru-guru dan pelajar, bina visi dan nilai yang dikongsi bersama.

MENGELAT ATAU MENIPU?

Ketika berada di sebuah kedai runcit, saya terdengar sesaorang berkata bahawa penjual di kedai itu “mengelat”. Gelagat dan suara si pembeli itu seolah-olah ada sesuatu yang tidak menyenangkan; dilakukan oleh si penjual.


Pulang ke rumah, saya mencari makna perkataan “mengelat”, “elat”, “gelat” dan “ngelat”. Kamus Dewan tidak pula menyenaraikan perkataan-perkataan tersebut.

Saya bertanya seorang kawan (guru bahasa). Tahulah saya bahawa perkataan “mengelat” membawa maksud “melakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan, dengan tujuan “berbohong”, “menipu” atau “memperdaya” untuk mendapat keuntungan diri.”


Saya bertanya diri sendiri, mengapa si penjual “mengelat”? Apa yang dilakukan kepada si pembeli”?. Jika “mengelat” itu membawa maksud “menipu”, dan jika benar seperti yang dikatakan pembeli, maka hal itu amatlah dikesali.

Ada sesetengah peniaga, tanpa kita sedari “mengelat” ketika berurusan dengan pembeli. Banyak cara “mengelat” dilakukan. Bagi penjual tersebut, “mengelat” adalah suatu seni. Pelbagai cara “mengelat” diajar kepada pembantu kedai. Sama ada disedari atau tidak, pembantu kedai dan pembeli terlibat dalam proses “mengelat” ini.


Agama Islam tidak mengajar, malah melarang perbuatan “mengelat” dalam urusan jual-beli, jika “mengelat” itu membawa tujuan “menipu”.

10.10.08

Bagaimana masak belut sawah ?


Selepas Isyak pergi beraya ke rumah kawan. Rumahnya dekat tepi sawah padi.

Masa nak balik, kawan saya bagi belut. Masih hidup. Katanya dia selalu masak belut; sedap masak sup atau goreng berlada. Tak pernah makan belut ni. Isteri saya kata dia takut nak siang. Macam ular, katanya. Saya sempat bergurau dengan isteri saya; saya kata saya tak percaya dia takut dengan belut. Saya dicubitnya kerana dia faham dengan gurauan saya tu.

Macam mana ye nak masak belut ni? Nak siang pun susah, licin. Rasanya pun tak tau lagi.

Lepas raya

Masa hari raya, berhati-hati makan, bimbang sakit perut. Alhamdulillah.
Tapi semalam demam dan batuk. (Banyak minum ais masa beraya). Pergi ke klinik. Biasalah dapat panadol dan ubat batuk. Hari ni pun masih demam dan batuk, tapi dah berkurangan. Masih boleh hantar posting dan meninjau blog rakan-rakan.
Yang bimbangnya sekarang ni ramai yang kena denggi dan cikunggunya.

6.10.08

Bagaimana Berkomunikasi (1)


Tidak ada pemimpin pendidikan di sekolah, yang tidak berkomunikasi dan berinteraksi sewaktu melaksanakan peranan masing-masing. Malah setiap pemimpin pendidikan di sekolah sewajarnya terus mempertingkatkan keberkesanan berkomunikasi.


Apakah kemahiran yang paling penting perlu diamalkan untuk komunikasi yang berkesan?


Untuk berinteraksi secara berkesan dengan sesiapa sahaja – guru, pelajar, ahli masyarakat, ibu-bapa, ahli keluarga, anda perlu memahami “siapa” sebenarnya mereka. Lebih baik jika dapat difahami “latarbelakang” orang itu. Fahamilah “diri” orang itu terlebih dahulu supaya nanti kita mudah pula difahami.

Seterusnya kita mestilah mendengar dengan sepenuh hati apa yang diperkatakan oleh mereka. Keperluan yang amat penting bagi sesaorang manusia ialah keselamatan psikologi – untuk difahami, untuk dipersetujui, untuk diperakui dan untuk dihargai.


Apabila keperluan psikologi itu dapat dirasai oleh mereka, maka tumpuan bolehlah diberikan untuk menyelesaikan masalah yang ada. Pemimpin pendidikan yang hanya menumpukan perhatian kepadan ”kebenaran” dirinya sahaja akan terpinggir dan menjadi tidak berkesan.


Pendengar yang baik …

  • Tidak menyampuk, terutamanya untuk memperbaiki kesilapan atau menyatakan sesuatu;
  • Tidak menghakimi; tetapi berfikir sebelum menjawab; dan memandang atau mengadap orang yang bercakap;
  • Duduk berhampiran untuk mendengar; serta memahami “bahasa badan” (body-language);
  • Peka dengan apa yang didengar tentang buah fikiran dan nilai yang bertentangan;
  • Peka tentang perasaan dan andaian asas disebalik pernyataan-pernyataan dalam perbualan;
  • Peka kepada apa yang diperkatakan;
  • Elakkan memberi jawapan ketika orang itu sedang bercakap;
  • Jangan mudah memberi kataputus.


Untuk menguasai kemahiran mendengar, binalah sikap keinginan untuk mendengar, seterusnya binalah kemahiran bagi membantu memperkukuh sikap itu.


Insya-Allah dalam posting seterusnya akan saya hurai kemahiran-kemahiran berkomunikasi yang lain seperti kemahiran bertanya/ menyoal; memberi maklumbalas; persepsi; memperjelas perlakuan dan lain-lain.

5.10.08

Kepala Keretapi


Sambil sembang-sembang pada hariraya, ada teman yang bertanya tentang “Kepala Keretapi”.

Teman-teman yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kuala Rompin, ingin tahu kenapa di Kuala Rompin ada “kepala keretapi” tetapi tiada stesen atau landasan keretapi.

Tentang “kepala keretapi” di K.Rompin pun panjang juga ceritanya. Jika lalu di bandar Rompin, akan nampak kepala gerabak kereta api yang dipamerkan di hadapan Kompleks Pejabat Daerah Rompin.

Sebenarnya kepala keretapi itu ialah peninggalan Syarikat ROMPINCO yang mengangkut bijih besi dari Bukit Ibam ke jeti Kampung Lanjut yang terletak dalam daerah Rompin.

Pada tahun 1955, kerajaan Negeri Pahang telah membenarkan Eastern Mining & Mineral Company (EMCO) melombong bjih besi di Bukit Ibam. EMCO menghantar bijih besi menggunkan keretapai dari Bukit Ibam ke Kampung Lanjut sejauh 70 Kilometer. Bijih besi kemudian dimuatkan ke kapal di jeti yang terletak di Sungai Rompin.

Jika kita perhatikan, jalan raya dari Muadzam Shah Ke Kampung Lanjut yang ada sekarang kelihatan lurus kerana dahulunya ialah landasan keretapi. Salah sebuah kepala keretapi yang masih ada dahulunnya tersadai di Kampung Lanjut kini dipamerkan di perkarangan Kompleks Pejabat Daerah di Rompin.

Sekarang, setelah EMCO dan ROMPINCO memberhentikan operasinya pada tahun 60-an, segalanya tinggal sejarah.

4.10.08

Aidilfitri serba sederhana


Saya dijemput oleh jiran menghadiri rumah terbuka hari raya. Ketika itu seorang rakan bertanya bila pula giliran saya untuk mengadakan rumah terbuka.

Saya memberitahu bahawa saya tidak pernah mengadakan rumah terbuka. Datanglah ke rumah saya pada bila-bila masa untuk bersama-sama merayakan aidilfitri. Selalunya rakan-rakan sudah tahu, selepas solat aidilfitri, saya akan melaksanakan ibadah aidilfitri di rumah kaum keluarga dan saudara mara. Selepas itu barulah rakan-rakan berkunjung ke rumah.

Saya akan mencari peluang berkunjung ke rumah rakan-rakan bila berkesempatan. Jika tidak, saya menanti kehadiran rakan-rakan dan kenalan biarpun sepanjang syawal.

Memang lebih mudah urusan ibadah aidilfitri itu dilaksanakan dengan cara rumah terbuka. Secara sekali gus begini memang memudahkan. Jimat masa, jimat tenaga.

Barangkali saya “orang lama” yang masih mengikut “cara lama”. Bukan tidak mahu berubah tetapi dari dulupun, begitulah. Lagipun saya punya banyak waktu kerana saya sudah bersara.

Soal juadah untuk meraikan tetamu, tidaklah menjadi masalah sangat. Saya memberitahu tetamu, kita makan “apa yang ada”. Seminggu sebelum raya, kuih-kuih raya sudah disediakan untuk tetamu. Isteri saya kata, kuih raya tidak perlu dibuat. Kita guna telunjuk saja. Tunjuk sahaja dan bayar. Sedia dibawa pulang menanti kehadiran tetamu.

Saya percaya, tetamu-tetamu bukanlah cerewet. Mereka makan dan minum “apa yang ada”.

Pada hari raya pertama dan kedua, bolehlah makan ketupat, sup tulang BCW (special ni, saya yang masak sendiri), rendang daging dan kari ayam dan lain-lainlah yang isteri saya sediakan. Pada hari raya ke-dua, juadah-juadah ini “selesai”.

Pada hariraya ke-tiga, ada tetamu yang berkunjung, selain makan kuih, saya ajak makan tengahari bersama -“makan apa yang ada”. Sedap juga makan nasi bermai-ramai berlaukkan ikan kembung bakar cicah sambal belacan, sayur labu, ikan masin goreng, ulam kacang dan timun. Petik terung yang saya tanam di belakang rumah, dikukus dan cicah air asam memang membuka selera.

Begitulah, bagi saya, aidilfitri meriah dalam serba sederhana. Tentulah kita ada cara sendiri memeriahkan aidilfitri …