26.12.09

Gelagat Dan Harapan




“ Seringkali kita dengar rungutan  tetang gelagat negatif penjawat awam ketika menjalankan tugas perkhidmatan kepada orang ramai.”
Ramai penjawat awam yang berkata: Kerja memang berat, bosan, susah, penat, stress.
 Semuanya negatif.
 Dan orang ramai pula terlalu mendesak dan tidak faham tugas penjawat awam.
Benarkah begitu?
Ramai yang rasa tak seronok bekerja. Tak puashati dengan  bidang pekerjaan mereka. Apakah kerana kerja memang semakin susah atau ada sebab-sebab lain?
Barangkali, kita sendiri yang jadi penyebab seronok dan tak seronoknya kerja kita.
Atau barangkali kita tidak bekerja dengan sebaik-baiknya kerana kita tidak suka akan kerja yang kita buat. Sebab itu kita jadi stress.
 Mungkin juga kita tak  nampak bahagian-bahagian positif kerja kita itu. Kita nampak yang negatifnya saja.
Sebenarnya kita sendirilah yang jadikan diri kita seronok atau tidak seonok bekerja. Ini barangkalai menentukan bagus atau tak bagusnya tugas yang kita buat.   

Apa sebenarnya yang kita harapkan bila   menjawat seseuatu jawatan?  Apa maknanya kerja yang kita lakukan  itu?

 Mungkin yang diharapkan:

1.    Gaji lebih tinggi
2.    Tugas yang menyeronokkan
3.    Suasana kerja yang lebih ceria
4.    Merangsang pemikiran
5.    Kepelbagaian  tugas yang bukan rutin
6.    Bos yang bertimbangrasa
7.    Waktu bertugas yang lebih fleksibel
8.    Bebas bekerja mengikut cara sendiri
9.    Kerja yang berprestij
10.  Faedah dan ganjaran tambahan
11.  Peluang kenaikan pangkat
12.  Tugasan penting dan bermanfaat
13.  Kursus kemahiran yang sesuai
14.  Tugas yang sesuai dengan kebolehan sendiri
15.  Tempat tugas yang memungkinkan bertemu jodoh 



Apakah itu sahaja yang diharapkan? Apakaah jika harapan-harapan itu dapat dipenuhi, maka kita akan
seronok bekerja dan hasil kerja kita lebih baik?

Harapan yang ke-15 itu mungkin agak keterlaluan!

Apapun harapannya, anggaplah kerja sebagai satu amanah, satu ibadah:

Bersyukurlah kerana kita mempunyai pekerjaan! Ramai yang telah kehilangan pekerjaan. Malah  lebih ramai yang terus menganggur.

21.12.09

Silap Mudah Maaf Payah



Orang kata, buat silap memang mudah, tetapi minta maaf memang susah.
Sebenarnya, tidaklah susah untuk memohon maaf. Boleh dicuba, begini:-
 Ikhlas :

Orang dapat tahu kalau kita tidak ikhlas. Banyak buruk daripada baiknya. Mohon maaf dengan ikhlas itu satu tanggungjawab dan memberi kebaikan.


Mohonlah maaf dengan ikhlas, tidak disertai dengan sebarang syarat, “tiada udang di sebalik batu”.


2. Jangan cuba “menegakkan benang basah” ketika memohon maaf:

Jangan sibuk menjelaskan kenapa dan apa yang hendak dilakukan. Kesannya kelihatan tidak seperi ingin memohon maaf. Seperti tidak bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab itu.


Kata-kata yang tepat, ringkas dan padat lebih mudah difahami. Penerangan yang berjela-jela akan mencetuskan halangan dan gangguan.


3. Beriltizam untuk berubah :

Jika diri kita tidak pasti untuk mengubah sikap, maknanya kita tidaklah bersungguh-sungguh untuk memohon maaf.


Jangan sekadar “melepaskan batuk di tangga”. Misalnya, jika kita tidak komited mengubah sikap yang selalu lewat sampai ke tempat bertugas, janganlah berkata “Maaf kerana saya datang lewat”. Ini akan menjadi “cakap tak serupa bikin” dalam proses memohon maaf.


Sepatutnya berterima kasihlah kepada orang yang menegur kelewatan kita hadir itu. Mulakan dengan: “Terima kasih kerana mengingatkan saya supaya tidak lewat sampai ke tempat kerja. Saya hargai teguran itu”. Kemudian, mohon maaflah.


4. Nyatakanlah kemaafan itu secara berhati-hati :

Pastikan orang tidak keliru kenapa mohon maaf itu perlu kita lakukan.


Contoh dua cara menyatakan kemaafan yang amat berbeza kesannya: 1) “Kebetulan saya lalu di sini, jadi saya singgahlah nak minta maaf”, dan 2) “Sengaja saya datang ke sini untuk memohon maaf kerana saya mengambil berat tentang peraturan yang ditetapkan”.



Jangan “seperti talam dua muka” atau berpura-pura.


Jika kita memang mahu mengubah sikap dan ingin mematuhi segala peraturan kerja, tentulah akan menggembirakan semua pihak.


5. Bersedialah menghadapi kemungkinan reaksi yang tidak diduga :
Meskipun kadang-kadang permohonon maaf itu diterima dengan senang hati, namun tidak semua orang bersikap begini.


Kadang-kadang orang bertindak dengan cara yang berbeza, ada yang selamba, ada yang tersenyum sinis. “Rambut sama hitam, hati lain-lain”.


Tidak mengapa. Itu semua di luar kawalan kita. Kita sudah memohon maaf. Sudah kita laksanakan tanggungjawab itu sebaik-baiknya.


Mungkin dia akan menerimanya ketika itu, kemudian nanti, atau tidak mahu menerimanya langsung. Tidak kiralah apapun, permohonan maaf itu sudah kita laksanakan.

Selebihnya terpulanglah kepada mereka.


17.12.09

Marah Disakiti



Cuba ingat kembali, berapa kali kita berasa marah pada hari ini, tidak kiralah apa sebabnya.

Kemarahan memang ada secara semula jadi – asam garam kehidupan.

Dunia dipenuhi dengan segala macam keganasan, kebencian, peperangan dan kekerasan. Dengan demikian kita berhadapan dengan kemarahan sejak kita memulakan kehidupan.

Ramai orang yang mudah berasa marah namun ramai juga yang dapat mengawal perasaan itu.

Kemarahan berkait rapat dengan emosi dan sesuatu yang sukar dihindari. Selagi kita masih hidup, ada ketikanya kita disakiti, dan tanpa disedari kita tenggelam dalam perasaan ingin membalas dendam.

Tetapi ketika kita terasa disakiti, bukankah kita ada pilihan? Kita tidak semestinya melayani perasaan ingin membalas dendam itu.

Malah kita tidak perlu pun “merasa marah”. Kita tidak perlu menjadi agresif atau ganas. Bukankah kita boleh berkata kepada diri sendiri, “Memang saya sakit hati. Tetapi mereka itu manusia yang semulajadinya memang mempunyai sifat marah. Saya tidak mampu menghapuskan sifat semulajadi itu. Tidak perlulah saya kembalikan kemarahan itu kepadanya.”

Dengan demikian kita menjadi orang yang pemaaf.

Tindakan kekerasan dan keganasan hanyalah tanda-tanda “ketandusan kasih-sayang dan kecintaan”. Degan tindakan dan tanda-tanda itu, orang akan terasa amat bangga untuk mempertahankan diri.

Namun, pada ketika-ketika tertentu, kita perlu bangkit untuk mempertahankan diri kita dan orang lain juga, untuk membuktikan kebenaran. Malah kadang-kadang terbawa-bawa kecenderungan untuk membalas dendam. Jika berdiam diri dan tidak mempertahankan perasaan kita, itu juga tanda-tanda “ketandusan kasih sayang dan kecintaan”.

Ketika berhadapan situasi begini, ( dengan sesiapa – ahli keluarga, rakan-rakan, kekasih dan sebagainya) - adalah penting bagi kita berterusterang tentang perasaan kita.

Kita perlu berterusterang sebaik-baik sahaja kita mula merasai tanda-tanda kita disakiti. Ini bermakna kita perlu bijaksana mengenalpasti perasaan disakiti itu. Kita mesti bijaksana berhemah menuturkan kata-kata sebelum kesakitan itu bertukar menjadi kemarahan yang menjurus kepada keadaan yang lebih negatif.

Kebanyakan orang tidak suka mendengar “kebenaran” tentang diri mereka, dan biasanya mempertahankan diri dengan melakukan serangan balas. Misalnya, mereka mungkin menuduh kita cuba “menilai” dirinya, padahal kita hanya menyatakan perasaan kita sahaja.

Kita hanya bercakap kerana kita prihatin dan percaya bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Kita hanya memberikan maklumat dan apa yang hendak dilakukan dengan maklumat itu, terpulanglah kepada dirinya.

Demikianlah: kita merasa disakiti, kita meluahkan perasaan kita jika perlu, dan kita maafkan. Namun selepas itu, kita merasai masih ada semacam emosi berlegar-legar dalam diri. Apa yang dapat kita lakukan? Biarkanlah saki baki rasa sakit itu mencair dalam kehidupan di dunia yang memang penuh dengan pelbagai kesedihan ini.

14.12.09

PUJI




Cuti sekolah 2009 hampir ke penghujung. Sessi persekolahan 2010 akan bermula . Tentulah guru-guru sudah mula merancang dan bersedia untuk memulakan tugas.


Guru-guru tentu masih ingat, pada 2009, banyak yang telah cikgu lakukan untuk mendidik murid-murid.


Amalan yang bagus, boleh diteruskan . Amalan pengajaran yang negatif, perlulah ditinggalkan.


Kalau cikgu-cikgu masih ingat, sepanjang berinteraksi dengan murid-murid, manakah yang lebih banyak yang cikgu berikan , leteran atau pujian?. Cuba buat perbandingan.


Ada kecenderungan sesetengah guru yang suka berleter setiap kali berhadapan dengan karenah murid. Tetapi tidak kurang juga guru yang suka memuji murid jika didapati murid sudah melakukan sesuatu yang baik.


Memberi pujian dan penghargaan kepada murid, adalah amalan yang baik. Lebih baik daripada mengkritik dan leteran.


Mungkin, ada guru yang berpendapat, jika murid-murid selalu dipuji akan menyebabkan mereka “panjat kepala” dan tidak menghormati guru. Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu.


Cikgu jadikanlah pujian sebagai rutin ketika berhadapan dengan murid. Nanti cikgu akan dapat rasai kesannya.


Sebenarnya banyak perlakuan murid yang boleh diberi pujian, contohnya:

1. Masuk ke kelas dengan tenang dan teratur.

2. Masuk ke kelas tepat pada masa yang ditetapkan.

3. Membantu guru.

4. Mengembalikan borang yang perlu diisi.

5. Melakukan aktiviti yang berfaedah.

6. Mematuhi arahan.

7. Mengucap “salam” dan “terima kasih”.

8. Mendengar dengan teliti.

9. Membantu kawan.

10. Membawa peralatan sekolaah yang lengkap.

11. Menyiapkan kerja rumah.

12. Berdisplin di perhimpunan rasmi.

13. Segera melakukan tugasan.

14. Bertanya jika tidak pasti.

15. Berkelakuan baik ketika ujian.

16. Mengambil bahagian dalam aktiviti kelas.

17. Berbaris atau beratur ketika masuk ke dewan.

18. Berejasamaa dengan rakan-rakan sekolah.

19. Mengambil bahagian dalam pertandingan.

20. Membersih kelas.

21. Berusaha menyiapkan kerja kursus.

22. Membantu pelajar baru.

23. Berkongsi maklumat sekolaah dengan ibu-bapa.

24. Segega menyiapkan tugasan yang lewat selesai.

25. Menjalin persahabatan baru.

26. Berterusan melaksanakan projek jangka panjang.

27. Berkongsi.

28. Menghormati perasaan orang lain.

29. Belajar kemahiran baru.

30. Bijaksana menggunakan hartabenda sekolah.

31. Memulangkan buku perpustakaan.

32. Bersemangat belajar.

33. Tertanggungjawab terhadap tugasan kelas.

34. Menawarkan bantuan tanpa diminta.

35. Tidak membazir kapurtulis dan kertas.

36. Tekun melaksanakan tugasan.

37. Bercakap benar.

38. Menerima cabaran baru.

39. Berkelakuan baik bersama tetamu.

40. Mengulangkaji di rumah.

41. Mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah.

42. Memperlihatkan sikap positif.

43. Dayausaha yang tinggi.

44. Terlibat dalam kegiatan kebajikan masyarakat.

45. Mengambil bahagiaan dalam aktiviti kumpulan.

46. Tenang menghadapi masalah.

47. Memperlihatkan kreativiti.

48. Mengikut giliran.

49. Mengisi masa dengan baik.

50. Mencapai kejayaan.


Banyak cara yang boleh cikgu lakukan untuk memuji, contohnya:


Gunakan perkataan atau rangkaikata tertentu dan sebutkan juga apa kebaikan yang telah dilakukan.


Misalnya: “Wah, saya suka lihat kamu bekerjasama menyiapkan tugasan ini. Bagus!”


Boleh gunakan perkataan: Wah!, Wow!, Bagus!, Hebat!, Menarik!, Teruskan! Rajinnya!, Cemerlang!, Dihargai! Hoorey!, Best!, Usaha yang baik!, Terima kasih!, Syukur!,


Kalau cikgu malu nak gunakan kata-kata, boleh juga gunakan ‘body language’ seperti:


Senyum, bersalam, tepuk tangan, tunjuk ibu jari… dan lain-lain yang sesuai.


Pengetua selalu puji cikgu-cikgu tak?


Syaratnya: Pujilah dengan ikhlas!