17.12.09

Marah Disakiti



Cuba ingat kembali, berapa kali kita berasa marah pada hari ini, tidak kiralah apa sebabnya.

Kemarahan memang ada secara semula jadi – asam garam kehidupan.

Dunia dipenuhi dengan segala macam keganasan, kebencian, peperangan dan kekerasan. Dengan demikian kita berhadapan dengan kemarahan sejak kita memulakan kehidupan.

Ramai orang yang mudah berasa marah namun ramai juga yang dapat mengawal perasaan itu.

Kemarahan berkait rapat dengan emosi dan sesuatu yang sukar dihindari. Selagi kita masih hidup, ada ketikanya kita disakiti, dan tanpa disedari kita tenggelam dalam perasaan ingin membalas dendam.

Tetapi ketika kita terasa disakiti, bukankah kita ada pilihan? Kita tidak semestinya melayani perasaan ingin membalas dendam itu.

Malah kita tidak perlu pun “merasa marah”. Kita tidak perlu menjadi agresif atau ganas. Bukankah kita boleh berkata kepada diri sendiri, “Memang saya sakit hati. Tetapi mereka itu manusia yang semulajadinya memang mempunyai sifat marah. Saya tidak mampu menghapuskan sifat semulajadi itu. Tidak perlulah saya kembalikan kemarahan itu kepadanya.”

Dengan demikian kita menjadi orang yang pemaaf.

Tindakan kekerasan dan keganasan hanyalah tanda-tanda “ketandusan kasih-sayang dan kecintaan”. Degan tindakan dan tanda-tanda itu, orang akan terasa amat bangga untuk mempertahankan diri.

Namun, pada ketika-ketika tertentu, kita perlu bangkit untuk mempertahankan diri kita dan orang lain juga, untuk membuktikan kebenaran. Malah kadang-kadang terbawa-bawa kecenderungan untuk membalas dendam. Jika berdiam diri dan tidak mempertahankan perasaan kita, itu juga tanda-tanda “ketandusan kasih sayang dan kecintaan”.

Ketika berhadapan situasi begini, ( dengan sesiapa – ahli keluarga, rakan-rakan, kekasih dan sebagainya) - adalah penting bagi kita berterusterang tentang perasaan kita.

Kita perlu berterusterang sebaik-baik sahaja kita mula merasai tanda-tanda kita disakiti. Ini bermakna kita perlu bijaksana mengenalpasti perasaan disakiti itu. Kita mesti bijaksana berhemah menuturkan kata-kata sebelum kesakitan itu bertukar menjadi kemarahan yang menjurus kepada keadaan yang lebih negatif.

Kebanyakan orang tidak suka mendengar “kebenaran” tentang diri mereka, dan biasanya mempertahankan diri dengan melakukan serangan balas. Misalnya, mereka mungkin menuduh kita cuba “menilai” dirinya, padahal kita hanya menyatakan perasaan kita sahaja.

Kita hanya bercakap kerana kita prihatin dan percaya bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Kita hanya memberikan maklumat dan apa yang hendak dilakukan dengan maklumat itu, terpulanglah kepada dirinya.

Demikianlah: kita merasa disakiti, kita meluahkan perasaan kita jika perlu, dan kita maafkan. Namun selepas itu, kita merasai masih ada semacam emosi berlegar-legar dalam diri. Apa yang dapat kita lakukan? Biarkanlah saki baki rasa sakit itu mencair dalam kehidupan di dunia yang memang penuh dengan pelbagai kesedihan ini.

14 comments:

Puterizz said...

saya suka rencana mantan ni, banyak yang boleh buat pengajaran dalam usaha memperbaiki diri...

ckLah @xiiinam said...

Cuba ingat kembali, berapa kali kita berasa marah pada hari ini, tidak kiralah apa sebabnya.


...hari ini saya belum marah. Berjumpa semula dengan rakan-rakan zaman budak-budak dulu di majlis walimah tadi di kampung....meninggalkan kesan ria dan bahagia....masing-masing dah punya anak dara dan teruna!

Memaafkan itu kesannya indah sebenarnya. Memaafkan itu juga ubat kepada rasa kesumat.
Tapi kekadang.......mahu memaafkan juga payah!

Puteri Azizul said...

kekadang kita lihat ada orang tidak boleh memaafkan orang yang dekat dengannya walaupun perkara yang membuatkan ia marah telah lama berlaku . macam mana kita nak membuatkan orang itu jadi seorang pemaaf.

Tirana said...

Marah yang kena pada tempatnya tentu positif tapi biasanya marah kita, marah yang salah tempat..salah cara..dan salam masa.

Guru said...

assalammualaikum mantan

hari ini saya juga masih belum marah, alhamdulillah

mantan said...

Puterizz,
Ambil yg boleh diterima saja...

mantan said...

xiiinam,
kalau boleh, jangan marah-marah sampai esok...

mantan said...

puteri Azizul,
Kita maafkan dia dulu, dan tunggu...

mantan said...

Tirana,
Susah juga tu...
Kalau cam tu, tangguh dulu marah tu...

mantan said...

citiz,
kalau boleh, jangan marah sampai esok.

kembara kelana said...

marah bior bertempat, kalau marah tak bertempat..maka kena bersedialah kena marah balik.
marah ada banyak jenis, marah marah sayang, sering berlaku dirumah..marah olok olok, kaedah penyoalan polis dan SB, marah main main, saja nak minta yang disayang tu mujuk kita...entah lah boss..tapi kalau marah boss...jawapnya isi borang pindahlah...

insan pendidik said...

salam mantan,

Sifat marah perlu dikawal.Tapi kalau di sekolah misalnya sekali-sekala kena marah juga. Apalagi kalau situasi yang memerlukan. Cuma sekadar peringatan agar murid sedar akan kesilapan. Dan tak mengulangi kesilapan yang sama.

mantan said...

KK,
Dulu saya pernah kena marah,
"Tak pernah jumpa pengetua bangang macam ni" jerit si pemarah sambil menghempaskan buku di meja pengetua.
Pengetua selamba senyum saja, bebab pengetua taklah bangang seperti yang didakwa.

Marah bertempatlah tu, (di bilik pengetua...)

mantan said...

ip,
Murid-murid memang perlu diberi peringatan berterusan supaya apabila dewasa mereka itu tidak mudah menjadi orang pemarah.