4.9.08

BAGAIMANA PUTUS CINTA...


Ramadan tiba tanpa mungkir. Bersamanya dibawa sekian banyaknya nostalgia. Kenangan "putus cinta" dengan kekasih menggamit kembali. Meskipun, lima belas tahun berlalu, kenangan perpisahan itu tidak mungkin dapat dihambat pergi. Mana mungkin dapat dilupai saat kemesraan selama sepuluh tahun memadu kasih.

Sejarah detik tercambahnya kasih bersamanya seakan terpaksa. Dorongan rakan-rakan yang tampaknya hebat dan bergaya bersama kekasih masing-masing memang sesuatu yang terasa amat mendesak.

Bersamanya selama sepuluh tahun itu, meninggalkan kesan suka duka yang sukar dinilai.

Ada beban cinta yang dibawa bersama. Ada beban resah jika ketiadaannya. Ada beban siksa yang sukar ditafsir.

Ada karenah melayani kehendaknya. Apatah lagi jika si dia tiada di sisi. Hujan ribut petir pun seakan mahu diusir. Pekat gelap malam diredah. Asalkan bersamanya – selama sepuluh tahun itulah – melayani segala kehendaknya.

Suatu Ramadan, lima belas tahun yang lalu, entah bagaimana detik mulanya, tiba-tiba hadir rasa benci di hati ini. Rasa benci yang sukar dimengerti tafsirannya. Barangkali rasa itu hadir bersama hikmah Ramadan Al-Mubarak itulah.

Dengan sekali lafaz, kuucapkan kata-kata perpisahan selepas waktu berbuka puasa, ketika dia mauku hampiri, setelah seharian kecanduan rindu...

Tentu dia masih ingat kakta-kataku : “ Selamat tinggal ROKOK kerana kau menjadi beban hidupku selama sepuluh tahun !”

Begitu menggunung terima kasihku kerana semenjak saat itu, dia seperti tidak mahu hadir lagi dalam hidupku.

1 comment:

YAAKUB ISA said...

Tahniah. Satu pengorbanan besar yang saya sendiri tidak dapat menggambarkannya, kerana saya tidak pernah bercinta dengan yang bernama r*k*k.

YI