24.8.09

BAZAAR RAMADHAN; SALLEH TUKANG PUKUL PADA HARI RAYA


1. Semalam saya singgah di bazar (pasar) ramadhan: Meriahnya orang berjual beli kuih muih dan lauk pauk. Pesta membeli dan menjual juadah berbuka puasa!

2. Bulan puasa, bulan berkat, rezeki peniaga pun bertambah.

3. Entah bila mulanya pesta seumpama ini. Sewaktu saya kecil (pada tahun 1950-an), tidak terdapat pun pesta ini di bandar apatah lagi di kampung terpencil tempat saya tinggal. Yang ada hanyalah bertukar-tukar juadah antara jiran, jika ada.

4. Tetapi tetap ada yang berniaga! Berniaga pada hariraya, pun ada. (Ini cerita tahun 1950-an)

5. Dulu ada seorang mualaf (Namanya Salleh, berbangsa Cina, memeluk Islam dan isterinya orang Melayu), tinggal di bandar (4 batu dari kampung saya). Salleh muallaf "tukang pukul gambar"! Orangnya bertubuh kecil kurus , berkaca mata tebal bingkai hitam. Saya masih ingat akan matanya yang sepet dan mukannya yang tirus cerah itu bertompok-tompok dengan jeragat. Barangkali usianya sebaya ayah saya.

6. Pada hari raya dia akan datang ke kampung saya, berbasikal. Dia menyandang sebuah beg hitam. Dalam beg itu berisi sebuah kamera dan segala peralatannya.

7. Dia akan pergi ke setiap rumah, bertanya jika sesiapa yang mahu diambil gambar. "Ada olang mau pukul gambal ka?". Dia amat fasih menyebut ayat itu. Percakapannya yang lain-lain sukar difahami. Amat pelat dia. Loghat cinanya memang tebal.

8. Budak-budak suka mengejek cakapnya. Tetapi dia tidak kisah. Dia hanya sibuk memberi arahan menyusun orang yang ingin "pukul gambal". Dia kelihatan amat komited dengan tugasnya sebagai "tukang pukul gambar".

9. Salleh menggunakan kamera hitam, bentuknya seperti kotak persegi. Besar kamera itu melebih lebar kedua-dua tapak tangan Salleh. Saya tak ingat apa jenama camera itu. Di bahagian atas ada tetingkap yang boleh dibuka-tutup untuk melihat imej yang akan "dipukul". Di bahagia kiri ada bentuk parabola, di tengah-tengahnya ada mentol flash. Di bahagian hadapan ada dua lensa yang boleh laras.

10. Ada flash yang menyilau, "meletup" dan berasap ketika Salleh memetik punat kamera untuk "pukul gambar". Mentol flash lonjong sebesar ibu jari kaki bertukar menjadi kelabu. Sekali pakai shaja. Salleh akan menggantikan mentol baru untuk "pukulan" berikutnya.

11. Yang "dipukul gambar", senyum menyengih dengan baju baru, baju raya berwarna warni. Foto solo atau sekeluarga.

12. Seminggu selepas itu Salleh datang lagi membawa gambar-gambar yang sudah siap. Gambar hitam-putih, lima puluh sen setiap keping. Berukuran poskad. Kenangan hariraya.

13. Duit terkumpul dalam tabung buluh sudah bertukar tangan… Sekarang, entah ke mana perginya gambar-gambar itu.

14. Berniaga, apatahlah lagi di bazar ramadhan, kalau kena caranya akan menjadi ibadah.

----------------------------

Nabi SAW menyebut dalam hadis qudsi:

"Semua amalan anak Adam untuknya melainkan puasa. Ianya untukKU

Dan hanya Aku yang membalasnya"

----------------------------

6 comments:

chehassan said...

Membaca coretan mantan, pastinya semua akan kembali ke zaman kita kanak-kanak dengan pelbagi noltagia. Wpun serba kekurangan tapi detik2 kehidupan begitu indah dilalui berbeza dengan hari ini yang tidak menunjukkan budaya dan warisan kita yang sebenar. Kita semakin hilang sebenarnya.

mantan said...

Che,
Demikianlah keadaanya. Zaman berubah. Banyak yang telah terhakis dari laman budaya kita.

Saya selalu bercerita kepada anak-anak tentang nostalgia begini. Sekurang-kurangnya nanti mereka tidak terus terputus dari akar budaya bangsanya sendiri.

Slmt berpuasa.

ahmad humairi said...

kamera pertama saya - kodak (dah lupa sirinya) pun pakai flash sekali pakai je..tapi saiznya dah slim...itule di tatang kesana sini nak 'pukul' gambar...pastu jual... bley tahan bisnes..

ustaz lan said...

mantan,
tu era zaman kita dulu.dapat gambar hargai, simpan, telek berkali2. zaman lo ni, gambar tak de value sgt dah. maklumlah setiap saat boleh gambar.hset ada kamera.

mantan said...

Myri,
O photographer rupanya. Ingat kisah21 lama tu seronok juga.

mantan said...

Ustaz Lan,
Sekarang ni mudah sangat nak "pukul" gambar. Pakai handphone je. Lepas tu delete.