1.9.09

BULU RUM TIDAK NAMPAK, PANJAT POHON TAMAR

1.Dulu ada orang balik dari Mekah (menunaikan fardhu haji, rukun Islam ke-5) membawa pulang anak benih pokok tamar (kurma).

2.Ketika saya kecil, pada akhir tahun 50-an, masih saya ingat, di hadapan rumah Imam Haji Taib di kampung saya terdapat dua batang pokok tamar.

3.Seingat saya, pohon tamar itu tidak pernah berbuah. Mungkin belum masanya. Ataupun tidak sesuai dengan cuacanya yang berhampiran kawasan pantai itu.

4.Selepas itu keluarga saya berhijrah ke penempatan lain.

5.Beberapa tahun kemudian, setelah beberapa lama Hj.Taib kembali ke rahmatullah, pokok tamar itu suah tidak kelihatan.

6.Rumah papan beratap zing kepunyaan Hj Taib juga sudah tiada. Sekarang di sekitar kawasan itu sudah didirikan beberpa buah chalet untuk pelancong.

7.Teringat akan pokok tamar itu, kenangan mengimbau kembali sewaktu belajar agama ketika masih budak-budak. Yang masih saya ingati ialah celoteh Ustaz Abdul Kadir, ustaz yang mengajar kami.

8.Ustaz Abdul Kadir yang berkulit cerah dan handsome itu sentiasa memakai songkok hitam. Dia mempunyai sebuah motor berjenama Lambaretta. Ustaz Abdul Kadir juga sudah lama kembali ke rahmatullah.

9.Ustaz Abdul Kadir mengajar kami berpandukan kitab Matlaul Badrin. Kitab ini, kertasnya berwarna kuning tua. Bertulisan jawi, ejaan lama. Tidak berjilid. Saiznya lebih besar dripada saiz A4.

10.Struktur bahasanya, ke-Araban. Ejaan jawinya, ejaan lama seperti tidak mempunyai sistem yang jelas.

11.Misalnya, perkataan 'bumi' di eja 'ba-wau-mim' = bum. Perkataan 'bulu roma' dieja 'ba-wau-lam-wau-ra-wau-min" = bulurum.

12.Saya masih ingat Ustaz Abdul Kadir yang suka berjenaka itu menceritakan bagaimana orang tua-tua zaman dahulu belajar agama menggunakan kitab Matlaul Badrin itu.

13.Ketika mengajar mengenai puasa Ramadhan, Ustaz bercerita tentang kefahaman orang tua-tua dulu berdasarkan kitab Matlaul Badrin bertulisan jawi itu.:

14."Maka hendaklah kamu berbuka puasa ketika sudah tidak kelihatan akan bulu rum". "…maka sunat kamu berbuka puasa di atas tamar".

15. Bulu rum (ikut ejaan jawai kitab Matlaul Badrin) itu sebenarnya 'bulu roma'. Tetapi bulu rum di kampung saya bermaksud bulu yang lain.

16.Dan ada orang zaman dulu, kata Ustaz Abdul Kadir, memanjat pokok kurma apabila sampai waktu berbuka puasa (& apabila sudah tidak kelihatan bulu rum) kerana "…maka sunat kamu berbuka puasa di atas tamar".

17."Di atas tamar" itu difahamai oleh orang-orang tua yang buta huruf itu sebagai "duduk di atas pokok kurma". (bukan makan kurma, tetapi memanjat pokok kurma).(Nasib baik perkataan 'sunat' itu dapat difahami!)

18.Yang mengajar pula tidak memahami sistem ejaan jawi dan struktur bahasa dalam kitab Matlaul Badrin itu.

19.Begitulah keadaan Ustaz Abdul Kadir, mengajar sambil bercerita dan berjenaka, menjadikan kami tidak pernah jemu. Banyaklah yang saya ketahui tentang salah faham yang berlaku kerana bahasa dan ejaan kitab itu.

20.Kurma memang diakui mempunya khasiat terbaik sebagai makanan untuk berbuka puasa, tetapi tidak perlulah sampai memanjat pokok kurma untuk menikmatinya. Ada pelbagai jenis kurma di pasaran. 

3 comments:

mendewa said...
This comment has been removed by the author.
mendewa said...

Salam.

Kisah membaca dan mengeja jawi dahulu memang menarik.

Saya rasa sekarang lagi parah masalah mengeja dan membaca jawi ini. Rata-rata merasa sukar untuk membaca jawi, malah ada yang 'buta jawi'. Sedih apabila hal demikian berlaku di kala kita sudah pun berjaya memantapkan sistem ejaan jawi baharu. Namun ruang untuk memartabatkannya begitu terhad.

Kalau 'bulu rum' di tempat tuan lain maknanya...saya tidak dapat bayangkan bagaimana masing-masing sibuk untuk melihatnya untuk memastikan waktu berbuka! :-)

mantan said...

Mendewa,
Salam dan selamat berpuasa.

Memang amat terasa terabainnya 'jawi' dalam pendidikan anak-anak sekarang ini.

Apakah generasi akan datang hanya tahu menghafaz Al-Quran sepertimana hafaznya orang yang 'tiada pengelihatan'.