20.6.10

Hapuskan UPSR dan PMR?

Ramai Setuju Peperiksaan UPSR Dan PMR Dihapuskan

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Beberapa pihak berkaitan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelakkan sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan peperiksaan.

Masing-masing juga berpendapat pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar menumpukan kepada peperiksaan yang lebih penting dalam menentukan hala tuju mereka.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Jais Abdul Karim berkata langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih fokus dan tenang.

"Sistem kita hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan ini memberi tekanan kepada pelajar dan mereka belajar secara membuta tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperolehi boleh digunakan pada masa-masa akan datang," katanya kepada Bernama, di sini pada Ahad.

Pemansuhan itu juga katanya akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar secara lebih berkesan dan tidak terikat dengan jadual peperiksaan.

Bagaimanapun katanya, pada masa yang sama kementerian wajar mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk mengukur pencapaian pelajar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dipetik berkata kementerian itu mungkin memansuhkan dua peperiksaan tersebut.

Ini berikutan aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata pemansuhan PMR wajar dilaksana memandangkan peranan peperiksaan tingkatan tiga itu hanya untuk menentukan aliran yang akan diikuti mereka ketika tingkatan empat.

"Akan tetapi UPSR wajar dikekalkan kerana masih relevan sebagai penarafan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih besredia sebelum memasuki sekolah menengah," katanya.

Pegawai Perhubungan Pesatuan Bekas Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Abdul Karim Abdullah pula berkata pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar dan guru menumpukan perhatian kepada kegiatan kokurikulum dan sukan.

Sebelum ini mereka anggap kegiatan sukan dan kokurikulum mengganggu masa pembelajaran kerana pelajar harus bersedia hadapi peperiksaan, tetapi apabila peperiksaan dimansuhkan kelak pelajar akan ada lebih masa untuk fokus kepada kegiatan kokurikulum dan sukan, katanya.

-- BERNAMA

Ketika saya bersekolah rendah (dinamakan Sekolah Umum),  (1958), diadakan sistem "tahan kelas" dan "lompat kelas". Yang gagal peperiksaan akhir tahun akan di"tahan kelas" dalam darjah yang sama sehinggalah lulus peperiksaan akhir tahun. Yang cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun akan "lompat kelas", misalnya darjah dua melompat terus ke darjah empat. Pada akhir tahun dalam darjah enam, diadakan peperiksaan kelayakan ke Sekolah Menengah. Bagi yang gagal, maka tamatlah persekolahan mereka. 

Episod sistem pendidikan seperti itu banyak meninggalkan kesan kepada murid-murid ketika itu....

Setiap dasar pendidikan perlu dirancang dengan teliti...



4 comments:

Salim said...

salam cikguku,benar pendapat cikgu.Saya rasa,sistem pendidikan sekarang lebih banyak di pengaruhi utk kepentingan penguasa politik.Tidak seperti dulu-dulu,lebih kepada keperluan sebenar pendidikan itu sendiri.Sbb tu ramai org dulu-dulu walau keadaan negara serba kekurangan ketika itu dapat melahirkan cendikiawan2 yg hebat.Tidak berpolitik dengan sistem pendidikan/mendidik.

Mohamad said...

Salam mantan,
anak saya sekarang di tadika, tahun depan akan mula tahun satu. Isteri saya ada bertanya guru tadikanya bila peperiksaan akan diadakan dan ia dimaklumkan bahawa tadika tersebut ada menerima surat edaran yang menyatakan semua tadika tidak boleh adakan peperiksaan. Tidak tahulah di semenanjung. Jika didapati peperiksaan dijalankan juga, tadika tersebut akan didenda. (Saya belum baca surat tersebut...)

mantan said...

Salim,
Zaman telah berubah. Sistem pendidikan turut berubah. Tetapi apabila politik menjadi penentu segalanya, maka apa sahaja sistem akan disesuaikan dengan keperluan politik.

Di negara kita, politik bermakna kuasa. Segalanya akan menjurus kepada keperluan berkuasa. Yang diharapkan ialah, kekuasa dapat menjadikan negara berada pada "jalan yang lurus".

mantan said...

Mohamad,

Itulah buktinya, sama ada sedaar maupun tidak, begitu mudah isu pendidikan dipolitikkan atau dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu. Kadang-kadang isu penting spt isu pendidikan ini menjadi mainan sehingga membawa banyak masalah.