Showing posts with label DULU-DULU. Show all posts
Showing posts with label DULU-DULU. Show all posts

3.9.09

MALAM NI ADA WAYANG PROPAGANDA

1.Semangat Merdeka tu tetap ada. Sejak dulu.
2.Dua tiga tahun lepas merdeka 1957, ada juga pengisiannya.
3.Maklumatnya sampai ke serata pelosok kampung. Ada medianya tersendiri. Jabatan Penerangan.
4.Ada strateginya. Setiap bulan ada land rover Jabatan Penerangan masuk ke kampung-kampung, sampaikan maklumat dan amanat kerajaan.
5.Seluruh pelosok kampung akan merasa gembira apabila land rover putih masuk kampung pada waktu petang.
6."Ada wayang propaganda! Ada wayang propaganda!", budak-budak (termasuk saya juga) berteriak apabila mendengar pengumuman bergerak melalui pembesar suara yang ada atas bumbung land rover.
7."Tuan-tuan dan puan-puan, pada malam ini ada wayang gambar bertempat di hadapan masjid. Sila datang beramai-ramai." Pengumuman berulang kali dan sambil land rover bergerak di sepanjang laluan kampung.
8.Kami budak-budak sangatlah seronoknya, nak tengok wayang propaganda. (Perkataan propaganda tu, walaupun tak tau makna, tapi fasih di sebut. Perkataan Inggeris tu!).
9.Awal-awal sudah siap mandi. Hampir magrib sudah berada hampir land rover pejabat penerangan. Budak-budak yang lebih besar membantu petugas Jabatan Penerangan memasang 'layar putih'.
10.Layar kain putih berukuran lebih kurang 10 X 10 kaki itu, sekejap sahaja sudah ditegakkan.
11. Sejak maghrib, generator sudah dihidupkan.Terang benderanglah laman masjid dengan cahaya.
12.Selepas Isyak, berkumpullah orang kampung, tua, muda, kanak-kanak lelaki dan perempuan. Ramai yang membawa tikar untuk alas duduk.
13.Ada pula yang mengambil peluang menjual kacang rebus, kuih lapis, baulu, tebu, jagung rebus atau lepat pisang. Air? Tak ada yang jual. Bawa sendirilah.
14.Apabila lampu dipadamkan, wayang pun bermulalah. Tahulah apa ceritanya pada malam itu. Biasanya cerita Melayu. Kadang-kadang diikuti dengan cerita orang putih atau Hindustan. Hitam-putih saja.
15.Asyiknya menonton. Biasalah, kalau cerita kelakar, berderailah ketawa. Ada juga yang menangis bila ceritanya sedih.
16.Biasanya tayangan tergendala beberapa kali. Filem putus atau terlucut. Pada masa tu lampu dinyalakan sementara film atau projecter dibaiki. Tapi sekejap saja, lampu dipadamkan semula, wayang diteruskan.
17.Sedang asyik menonton, (tengah saspen tu – dan masih ada baki strip filem yang belum habis diputar ) lampu dinyalakan kembali. Kali ini bukan kerana projector rosak atau filem putus. Sampailah waktu pegawai penerangan sampaikan "propaganda".
18.Pegawai penerangan menggunakan pembesar suara menyampaikan maklumat, berita, dasar-dasar kerajaan atau nak terap semangat patriotik.
19.Pelbagai isu disentuh termasuk, politik, ekonomi, pendidikan, budaya, agama dan sebagainya setakat yang dapat difahami oleh orang kampung.
20.Penerangan itu kadang-kadang berlarutan sehingga ada kanak-kanak yang tertidur lentok di pangkuan.
21.Kami budak-budak, tidak pun memberi perhatiaan pada ucapan si pegawai. Lebih berseronok berkejaran sesama rakan sebaya mengambil peluang bermain dalam kecerahan cahaya lampu (di rumah, cahaya pelita minyak tanah sahaja!).
22.Selesai ucapan, lagu "Negaraku" berkumandang. Berdirilah semuanya. Mana-mana yang mendukung anak tu, dukunglah.
23.Lagu Negaraku" selesai. Duduklah kembali. Wayang disambung lagi. Sesekali terdengar juga orang menampar nyamuk. Tak berkata-kata, asyik menonton wayang sehingga tamat.
24.Layar putih diturunkan. Semuanya pulang. Lampu dipadamkan.
25.Nanti, wayang "propaganda" akan datang lagi. Dengan filem yang lain, dengan "propaganda" yang lain.
26.Zaman kanak-kanak memang menyeronokkan. Dan itulah suatu pengalaman ketika negara mula Merdeka.