
Banyaknya manik!. Itulah yang tercetus dalam fikiran ketika saya terserempak dengan seorang kenalan.
Kreatifnya dia. Di bajunya ada manik-manik yang disulam menjadi corak hiasan. Tepi tudungnya juga tersusun manik-manik. Ada gubahan manik berbentuk bunga dipinkan pada tudungnya itu. Di pergelangan tangannya ada gelang yang diperbuat daripada manik.
Tak taulah, mungkin di lehernya terkalung rantai yang diperbuat daripada manik! Barangkali manik-manik itu membantu dia menjadi lebih ceria.
Mengikut sejarahnya, manik merupkan artifak perdagangan yang mendapat sambutan kerana peranannya sebagai hiasan, lambang dan status, di samping untuk tujuan keagamaan dan tujuan sosial lainnya. Dulu, manik ada yang diperbuat daripada batu, tulang ikan, kaca dan bahan-bahan lain. Manik terdapat dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna.
Sebagai pengguna manik, kenalan saya itu barangkali juga mempunyai peranan sebagai penyambung sejarah dengan cara dan tujuan yang berbeza! Manik ada maknanya yang tersendiri.