Saya dijemput oleh jiran menghadiri rumah terbuka hari raya. Ketika itu seorang rakan bertanya bila pula giliran saya untuk mengadakan rumah terbuka.
Saya memberitahu bahawa saya tidak pernah mengadakan rumah terbuka. Datanglah ke rumah saya pada bila-bila masa untuk bersama-sama merayakan aidilfitri. Selalunya rakan-rakan sudah tahu, selepas solat aidilfitri, saya akan melaksanakan ibadah aidilfitri di rumah kaum keluarga dan saudara mara. Selepas itu barulah rakan-rakan berkunjung ke rumah.
Saya akan mencari peluang berkunjung ke rumah rakan-rakan bila berkesempatan. Jika tidak, saya menanti kehadiran rakan-rakan dan kenalan biarpun sepanjang syawal.
Memang lebih mudah urusan ibadah aidilfitri itu dilaksanakan dengan cara rumah terbuka. Secara sekali gus begini memang memudahkan. Jimat masa, jimat tenaga.
Barangkali saya “orang lama” yang masih mengikut “cara lama”. Bukan tidak mahu berubah tetapi dari dulupun, begitulah. Lagipun saya punya banyak waktu kerana saya sudah bersara.
Soal juadah untuk meraikan tetamu, tidaklah menjadi masalah sangat. Saya memberitahu tetamu, kita makan “apa yang ada”. Seminggu sebelum raya, kuih-kuih raya sudah disediakan untuk tetamu. Isteri saya kata, kuih raya tidak perlu dibuat. Kita guna telunjuk saja. Tunjuk sahaja dan bayar. Sedia dibawa pulang menanti kehadiran tetamu.
Saya percaya, tetamu-tetamu bukanlah cerewet. Mereka makan dan minum “apa yang ada”.
Pada hari raya pertama dan kedua, bolehlah makan ketupat, sup tulang BCW (special ni, saya yang masak sendiri), rendang daging dan kari ayam dan lain-lainlah yang isteri saya sediakan. Pada hari raya ke-dua, juadah-juadah ini “selesai”.
Pada hariraya ke-tiga, ada tetamu yang berkunjung, selain makan kuih, saya ajak makan tengahari bersama -“makan apa yang ada”. Sedap juga makan nasi bermai-ramai berlaukkan ikan kembung bakar cicah sambal belacan, sayur labu, ikan masin goreng, ulam kacang dan timun. Petik terung yang saya tanam di belakang rumah, dikukus dan cicah air asam memang membuka selera.
Begitulah, bagi saya, aidilfitri meriah dalam serba sederhana. Tentulah kita ada cara sendiri memeriahkan aidilfitri …
No comments:
Post a Comment