16.11.09
MUSIBAH, KEMALANGAN, TRAUMA
Dalam kehidupan, manusia seringkali dirundung MUSIBAH.
Umumnya musibah selalu dikaitkan dengan kesusahan . Allah SWT menguji manusia dengan musibah.
Jika kesenangan itu berupa ujian Allah SWT, maka kesenangaan itu juga musibah. Allah SWT hendak menguji siapa yang paling baik amalnya.
Musibah yang ditimpakan kepada manusia ada dua keadaan. Pertama, musibah dunia; dan kedua, musibah akhirat.
Musibah dunia selalu dikaitkan dengan ketakutan, kemalangan, kebuluran, malapetaka, kematian, dan sebagainya.
Musibah akhirat berkaitan dengan orang yang tidak mempunyai amal saleh dalam hidupnya, sehingga jauh dari pahala.
Orang yang terkena musibah di dunia, jika dihadapi dengan kesabaran, ikhtiar, dan tawakal kepada Allah SWT akan mendapat pahala.
Sebaliknya, jika tidak mensyukuri musibah kesenangan yang diperolehi maka itulah musibah yang sebenarnya
Ketika menghadapi kesusahan, ketakutan, kebuluran, kematian, kemalangan dan sebagainya kerana ditimpa musibah, seringkali pula orang menghadapi TRAUMA.
(2) KEMALANGAN JALANRAYA
Hari Sabtu yang lalu, anak, menantu dan dua cucu saya terlibat dalam kemalangan jalanraya. Itu berlaku pada waktu subuh, di leburaya berhampiran Muar, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, untuk menghadiri majlis konvokesyen anak saya di PWTC.
Untuk mengelak lori, terbabas melanggar pembahagi jalan (tengah). Dirempuh pula kereta yang mengekori di belakang.
Syukur Alhamdulillah, semuanya selamat, masing-masing mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Tangkak . Kereta remuk depan dan belakang, tersadai di bengkel.
(Terima kasih, Kakitangan Hospital Tangkak. Terima kasih semua yang membantu semasa kejadian itu. Juga terima kasih kepada yang membantu membawa mereka ke hospital. Polis dan petugas lebuhraya juga diucapkan ribuan terima kasih.)
Kerana MUSIBAH itu, bukan sahaja tidak dapat menghadiri konvo tetapi juga menghadapi TRAUMA.
(3) TRAUMA
Selepas menghadapi musibah, siapapun orangnya, sehebat apapun dia, biasanya akan menunjukkan respon-respon traumatik. Biasanya, rasa teramat bimbang akan berkurangan mengikut berlalunya waktu.
Orang yang menghadapi trauma mungkin mengalami keadaan berikut:
• Ingatan yang mencengkam seperti bayangan atau ingatan tentang traumanya.
• Mimpi buruk dan tidur terganggu.
• Gangguan makan: mual dan muntah, sukar makan, atau selera makan yang meningkat.
• Merasa terganggu bila diingatkan, atau teringat tentang traumanya (oleh sesuatu yang dialami oleh semua pancainderanya)
• Mengalami ketakutan, terasa seperti berada dalam bahaya
• Terlebih waspada, terasa amat perlu menjaga dan melindungi diri
• Kesukaran mengendalikan emosi/perasaan kerana tidak dapat mengendalaikan ingatan terhadap kejadian yang berlaku.
• Kesukaran untuk menumpukan perhatian.
Sesetengah orang, menjadikan musibah sebagai pencetus untuk berfikiran positif meneruskan hidupnya .
Ada pula yang cenderung bersikap negatif atas kehidupannya dan yakin bahwa dia memang orang yang selalu dirundung malang.
6.11.09
LAYANG-LAYANG

Kalau berjalan-jalan di Bandar Kuala Rompin pada waktu petang (terutamanya selepas hujan), berhati-hatilah!
Mungkin, tiba-tiba sahaja kepala anda terasa hangat dan basah.
Jangan marah, itu kerja si burung layang-layang (burung walit) menabur hampas perutnya, tepat di tengah-tengah kepala anda. Banyaknya burung layang-layang berterbangan. Anda tidak tahu yang mana satu telah menguji kesabaran anda!.
(Saya kena dah! – Dulu putih tangan kerana kapur tulis. Kini putih kepala diberak lelayang!)
Jangan marah kepada sang burung, kerana burung layang-layang sudah boleh berkongsi ruang dan dibinakan bangunan untuk hidup bersama kita.
13.5.09
KERETA DIBAKAR; USUNG MAYAT.

Bapa saudara di KL telefon. Awal pagi. Tengahari, macam2 berita dah tersebar.
Di bandar kecil tempat saya tinggal (Mersing), ada pergaduhan di pasar.
Di KL, darurat dan perintah berkurung, kata bapa saudara saya.
Pagi ini teringat saya kepada 13 Mei 1969 itu.
Masa tu umur saya 18 tahun.
Dengar radio. Banyak cerita dan berita. Berarak bawa mayat pun ada. Yang terjadi di KL itu, bukan peristiwa kecil!
Masa tu, terlintas ingatan saya pd apa yg saya nampak seminggu dua sebelum pilihanraya dan sebelum peristiwa tu.
Di tempat saya ada sebuah kedai jual tayar. Tapi, hairan, ada kerja-kerja ‘tukang besi’ dalam kedai tu. Saya ternampak masa saya lalu kat depan kedai tu.
Dlm kedai tayar tu ada beberapa orang sedang mengetuk besi panjang. Nampak bentuk macam nak buat lembing dan parang je.
Apa pun 13 Mei itu sudah berlaku. Sudah berlalu. 40 tahun dulu.Tetapi saya masih rasa impaknya dalam pelbagai tafsiran, makna dan ruang.
Semoga tak berlaku lagi. Namun, kata orang bijakpandai, sejarah boleh berulang.
17.2.09
TOLONG CARI ORANG HILANG.

Tolong saya.
Saya mencari orang. Orang hilang. Hilang entah ke mana. Ke mana entah perginya. Perginya sudah lama. Lama tiada khabarnya. Khabarnya dia sudah kembali. Kembali ke daerah ini. Ini orang yang bahaya. Bahaya kepada kita. Kita cari sampai jumpa.
Oh siapa namanya.? Namanya si KITUL.!
Jika berjumpa, minta dia padamkan unggun api yang dinyalakannya itu!.
Tolong beritahu saya jika apinya sudah padam.
11.11.08
Kartunis dan Etika: Pengajarannya.
Atas nama kebebasan bersuara, kartun-kartun tersebut disiarkan ke seluruh dunia melalui akhbar dan blog.
Beberapa akhbar di negara kita juga digantung penerbitannya dan diberi amaran.
1.11.08
PERTANDINGAN WB
Pertandingan bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 1.00 tengahari.
Saya ada bersama di pertandingan tersebut. Gembira juga dengan kemeriahannya. Lebih merih dengan kehadiran Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Tn. Hj. Abd. Hamid Abu Bakar yang turut bermain dan menyampaikan hadiah.
Tuan PPD Rompin, En. Ramli Bin Awang, turut hadir dan buat pertama kalinya bermain woodball.
Tahniah kepada semua juara: Juara Kategori Lelaki, Cikgu Nordin (mewakili Sekolah Menengah Agama Rompin); Cikgu Mazlah (Wakil SMK Rompin) juara Kategori Perempuan dan En. Kamaruzaman, juara kategori VIP.
31.10.08
PELAJAR HILANG
Teringat saya kepada anak saudara saya yang "hilang" di Amerika sejak 20 tahun yang lalu. Anak saudara saya itu, Muhamad Redhuan Bin Umar, menuntut di sebuah universiti di Ontario. Seingat saya dia mengikuti pengajian dalam bidang Aerodynamics setelah berjaya cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Dia "hilang" sebelum tamat pengajian. Dia tidak pernah kembali. Di manakah dia, tidak diketahui, masihkah hidup atau apalah yang terjadi...
Ramai pelajar Malaysia yang berjaya cemerlang di luar negara. Namun segelintir yang gagal telah "menghilangkan" diri.
Ada yang tidak mampu meneruskan pelajaran kerana seringkali gagal, dan mencari pekerjaan yang sesuai. Tidak mahu pulang ke Malaysia kerana malu dan tidak tergamak melukakan hati ibubapa.
Anak seorang jiran saya, baru tiga bulan kembali ke pangkuan keluarga setelah empat tahun "hilang" kerana tidak mampu menamatkan pengajian dalam bidang perubatan. Bekerja di restoran di luar negara, tetapi kemudiannya berkeputusan kembali.
Sebenarnya kita tidak tahu berapa ramai pelajar Malaysia tidak kembali kerana gagal. Ibu-bapa bukan tidak berusaha mencari dan membawa pulang ke tanah air. Berapa ramai pula yang tidak kembali kerana sebab-sebab lain...
13.10.08
Jururawat
4.10.08
Aidilfitri serba sederhana

Saya dijemput oleh jiran menghadiri rumah terbuka hari raya. Ketika itu seorang rakan bertanya bila pula giliran saya untuk mengadakan rumah terbuka.
Saya memberitahu bahawa saya tidak pernah mengadakan rumah terbuka. Datanglah ke rumah saya pada bila-bila masa untuk bersama-sama merayakan aidilfitri. Selalunya rakan-rakan sudah tahu, selepas solat aidilfitri, saya akan melaksanakan ibadah aidilfitri di rumah kaum keluarga dan saudara mara. Selepas itu barulah rakan-rakan berkunjung ke rumah.
Saya akan mencari peluang berkunjung ke rumah rakan-rakan bila berkesempatan. Jika tidak, saya menanti kehadiran rakan-rakan dan kenalan biarpun sepanjang syawal.
Memang lebih mudah urusan ibadah aidilfitri itu dilaksanakan dengan cara rumah terbuka. Secara sekali gus begini memang memudahkan. Jimat masa, jimat tenaga.
Barangkali saya “orang lama” yang masih mengikut “cara lama”. Bukan tidak mahu berubah tetapi dari dulupun, begitulah. Lagipun saya punya banyak waktu kerana saya sudah bersara.
Soal juadah untuk meraikan tetamu, tidaklah menjadi masalah sangat. Saya memberitahu tetamu, kita makan “apa yang ada”. Seminggu sebelum raya, kuih-kuih raya sudah disediakan untuk tetamu. Isteri saya kata, kuih raya tidak perlu dibuat. Kita guna telunjuk saja. Tunjuk sahaja dan bayar. Sedia dibawa pulang menanti kehadiran tetamu.
Saya percaya, tetamu-tetamu bukanlah cerewet. Mereka makan dan minum “apa yang ada”.
Pada hari raya pertama dan kedua, bolehlah makan ketupat, sup tulang BCW (special ni, saya yang masak sendiri), rendang daging dan kari ayam dan lain-lainlah yang isteri saya sediakan. Pada hari raya ke-dua, juadah-juadah ini “selesai”.
Pada hariraya ke-tiga, ada tetamu yang berkunjung, selain makan kuih, saya ajak makan tengahari bersama -“makan apa yang ada”. Sedap juga makan nasi bermai-ramai berlaukkan ikan kembung bakar cicah sambal belacan, sayur labu, ikan masin goreng, ulam kacang dan timun. Petik terung yang saya tanam di belakang rumah, dikukus dan cicah air asam memang membuka selera.
Begitulah, bagi saya, aidilfitri meriah dalam serba sederhana. Tentulah kita ada cara sendiri memeriahkan aidilfitri …
30.9.08
AIDILFITRI
Melaksanakan
Ibadah Aidilfitri,
Maaf
Zahir & Batin
Nak Raya, Kereta Rosak ?
Malam kelmarin, balik dari solat tarawih, kereta pulak buat hal. Tengah driving nak balik rumah, enjin mati. Stat, hidup. Tak kisahlah, mungkin minyak tersumbat. Baru lima tahun pakai, rasnya taklah teruk sangat kalau rosak pun.
Pagi esoknya, stat kereta. O k pulak. Macam biasa. Tapi sebagai persediaan, pergilah ke bengkel nak check. Pomen kata, plug dan petrol filter yang bermasaalah. Plug boleh ganti. Tapi petrol filter tak tak ada. Kena order. Tunggu sampai pukul lima setengah petang baru sampai. Pukul enam lebih, siap dah.
Bila siap, pomen pergi test drive. Saya tunggu di bengkel. Puas tunggu, lepas lima belas minit, kereta tak balik ke bengkel. Pukul enam setengah nampak kereta saya “merayap”.
Tersengguk-sengguk. Mesti ada yang tak kena dengan kereta saya. Lebihkurang 200 meter daripada bengkel, kereta saya dah tak bergerak. Start pun dah tak mau hidup. Pomen kata, masa test drive tu, 6 kali kereta saya, mati enjin. Start hidup. Tapi kalau slow, mati enjin. Kalau lebih laju, enjin mati juga.
Pomen kata “ Lu punya keleta, macam itu olang tatak betul kepala punya”.
Saya tanya kenapa jadi macam tu. Dia kata, rosak bahagian letronik. Pomen kata, kereta saya kena tarik (towing) hantar pada ejen. Dia tak boleh bikin. Kena check pakai komputer.
Alamak ! lusa dah nak raya. !
Esok dah tentu tak sempat. Nak buat persiapan raya. Raya Rabu. Macam mana ye?
Raya dah dekat. Kereta tersadai di bengkel. Lepas raya baru tarik ke ejen. Jauh pulak tu.
Hari raya macam mana? Tak taulah macam mana. Macam tu lah….
25.8.08
Jalur Gemilang

JALUR GEMILANG
Jalur Gemilang telah dicipta oleh Allahyarham Mohamed Hamzah pada tahun 1947 yang ketika itu berusia 29 tahun dan merupakan seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor Bahru, Johor.
Bendera Malaysia telah disahkan oleh King George VI pada 19 Mei 1950 dan pertama kali dikibarkan di depan Istana Selangor pada 26 Mei 1950.
Allahyarham Mohamed Hamzah meninggal dunia ketika berusia 75 tahun pada 13 Februari 1993 di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor. Al-Fatihah...