11.10.08

MENGELAT ATAU MENIPU?

Ketika berada di sebuah kedai runcit, saya terdengar sesaorang berkata bahawa penjual di kedai itu “mengelat”. Gelagat dan suara si pembeli itu seolah-olah ada sesuatu yang tidak menyenangkan; dilakukan oleh si penjual.


Pulang ke rumah, saya mencari makna perkataan “mengelat”, “elat”, “gelat” dan “ngelat”. Kamus Dewan tidak pula menyenaraikan perkataan-perkataan tersebut.

Saya bertanya seorang kawan (guru bahasa). Tahulah saya bahawa perkataan “mengelat” membawa maksud “melakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan, dengan tujuan “berbohong”, “menipu” atau “memperdaya” untuk mendapat keuntungan diri.”


Saya bertanya diri sendiri, mengapa si penjual “mengelat”? Apa yang dilakukan kepada si pembeli”?. Jika “mengelat” itu membawa maksud “menipu”, dan jika benar seperti yang dikatakan pembeli, maka hal itu amatlah dikesali.

Ada sesetengah peniaga, tanpa kita sedari “mengelat” ketika berurusan dengan pembeli. Banyak cara “mengelat” dilakukan. Bagi penjual tersebut, “mengelat” adalah suatu seni. Pelbagai cara “mengelat” diajar kepada pembantu kedai. Sama ada disedari atau tidak, pembantu kedai dan pembeli terlibat dalam proses “mengelat” ini.


Agama Islam tidak mengajar, malah melarang perbuatan “mengelat” dalam urusan jual-beli, jika “mengelat” itu membawa tujuan “menipu”.

No comments: