Showing posts with label NOSTALGIA. Show all posts
Showing posts with label NOSTALGIA. Show all posts

31.8.09

MENGARAK REPLIKA PENGHAYATAN


1.Merdeka!, Merdeka!, Merdeka!, Bukan setakat tiga kali teriakan itu sahaja. Berkali-kali, entah berapa kali.

2.Itu Nostalgia. Saya masih terdengar-dengar suara teriakan itu. Suara budak-budak sebaya saya (6 – 10 tahun), setiap kali menyambut ulangtahun kemerdekaan negara.

3.Meriahnya ketika itu, kami budak-budak sanggup berjalan kaki sejauh tiga batu, teruja untuk melihat 'merdeka', yang disambut di bandar setiap 31 Ogos.

4.Sambutan dua hari dua malam, biasa. Kadang-kadang berlarutan sehingga 3 atau 4 hari.

5.Paling menarik perarakan kereta berhias. Selain perarakan pertunjukan kebudayaan pelbagai kaum, pelbagai replika aneka bentuk diarak dengan kenderaan yang siap dihias.

6.Hasil pertanian seperti buah-buahan, haiwan ternakan dijadikan replika besar dan diarak mengeliling bandar. Bergemerlapan dipancar cahaya neon. (Di kampung cahaya pelita sahaja!)

7.Kenderaan dihias dan dibentuk berupa kapal, kereta, lori, kereta kebal, unta, beca, ikan dan sebagainya.Yang paling cantik akan menang pertandingan dan dapat hadiah.

8.Di padang besar didirikan pentas bangsawan, wayang kulit, pancaragam, nyanyian, berbalas pantun dan sebagainya yang dipersembahkan oleh pelbagai kaum. Riuh rendah dengan aneka bunyi-bunyian.

9.Ada pertunjukan pencak silat, kuda kepang, joget, zapin dan macam-macamlah.

10.Pelbagai tema pertunjukan, kebanyakannya berkaitan perjuangan dan patriotisma membebaskan negara dari belenggu penjajahan.

11.Seantero kampung keluar berhimpun di bandar sejak pagi hingga ke larut malam.

12.Pasukan polis dan tentera membuat pertunjukan berarak dan berkawad serta pancaragam. Cantiknya ,ketika itu apabila semua lampu di padang dipadamkan. Hanya tinggal "lampu" yang dipakaikan pada tangan anggota polis dan tentera yang sedang mengadakan persembahan. Keseragaman pergerakan "lampu-lampu" itu dalam kegelapan itu, memang mengasyikkan!

13.Sebagai budak-budak ketika itu, semuanya mengasyikkan. Semuanya hendak dilihat.

14.Ketika itu, bila terdengar laungan "Merdeka!" dari pembesar suara, kami juga akan laungkan "Merdeka!", tidak kira berapa kali, sambil menggengam tangan dan luruskannya tegak ke atas! atau berdiri tegak tanpa bergerak sehingga lagu "Negaraku" selesai berkumandang!

15.Ketika tenggelam dalam keseronokan itu, tidak pula terfikir sejauh mana penghayatan kemerdekaan sebenarnya.

3.6.09

TERJUN SUNGAI

Hoorey!

Cuti!

Banyak baca blog rakan-rakan yang cerita pasal cuti. Cuti sekolah. Pergi melancong. Bawa anak-anak ke tempat-tempat peranginan atau balik kampung. Macam-macam aktiviti nak isi masa cuti.


Wah seronoknya!


Saya tak pergi bercuti.Tapi masih boleh cerita pasal cuti. Cerita cuti masa saya budak-budak dulu lah . (Ni cerita antik nih, 50 tahun dulu ampunya cerita.)


Di kampung, masa cuti memang ‘tak cukup’ hari. Taklah pergi melancong. Tapi seronok dengan kawan-kawan. Kalau ayah tak ke sawah atau ke laut, “cuti gila”lah hari tu, sebab tak perlu tolong ayah kerja.

Pagi-pagi, masa matahari tengah naik, kumpul kawan-kawan. Lima enam orang. Pakat-pakat nak pergi mana.


Sarapan pagi tak kisah. Apa yang ada yang mak buat. Jejemput pisang ke, rebus ubi atau keledek ke, “coconut pancake” ( lempeng kelapa lah!), tak kira, asal kenyang.


Aktiviti ikut sempat je. Tak payah rancang. Kalau lalu kat sungai, rasa nak mandi sungai, terjun je, mandilah ramai-ramai. Berkubanglah beberapa jam pun, sampai penat. Sampai keruh air sungai. Main-main, gurau-gurau, sakat-menyakat . Mana yang belum berkhatan tu, beranilah mandi telanjang (18 SX nih!). Yang dah ’potong’ tu taulah malu. Mandi pakai seluarlah. Nanti, kalau budak pompuan lalu, malulah!


Masa mandi sungai tu, kena jaga-jaga juga. Takut cikgu lalu. Kalau cikgu lalu, semua kena menyorok dalam semak. Tapi cikgu pandai, dia tau ada budak-budak mandi kalau dia tengok air sungai keruh. Kalau kena tangkap, siap. Naik sekolah, peritlah punggung. Cikgu dah pesan, jangan mandi sungai. Nanti lemas.

Kalau rasa nak memancing. Pakat-pakatlah memancing. Bawalah joran buluh. Umpan cacing. Puyu, haruan dan keli, banyak.


Kalau nak pergi melastik burung, boleh jugak. Pungut anak batu isi penuh kocek seluar kiri kanan. Buat peluru lastik. Bawa pisau ‘Nacet’ cap buaya. Bawa mancis sekotak. Senyap-senyap masuk belukar. Carilah pokok rendang. Tunggulah, merbah atau kelicap. Nasib baik punai hinggap. Dapat punai seekor dua tu kira lumayanlah. Yang cekap melastik, biasanya tak miss. Menggeleparlah merbah atau punai jatuh ke tanah.


Cepat-cepat sembelih dengan pisau nipis. Sebelum mati. Yang dah berkhatan sahaja jadi tukang sembelih. Baca bismilah molek-molek, Allahuakbar 2 kali (sebab burung ada dua kaki). Bila dah dapat hasil yang memadai, bolehlah makan burung panggang. Buang kulit, buang isi perut. Bakar. Buat unggun api, bila dah masak, makan ramai-ramai.


Huh, sedapnya.


Bila matahari dah tegak di kepala, pakat-pakat baliklah. Lambat balik, jawabnya kena belasahlah. Mak ayah marah sangat kalu balik lambat. Pergi bermain dengan kawan-kawan tak apa, tapi jangan balik lewat. Di rumah perlu tolong angkut air dari perigi isi dalam tempayan atau cari kayu api.


Kalau lewat juga kerana asyik berenang atau lastik burung , pandai-pandailah ambil hati mak ayah kat rumah. Masa balik tu, pungutlah pucuk paku di tepi belukar, secekak dua, buat lauk makan malam nanti. Atau bawa balik ikan haruan atau keli. Mak bapak taklah marah sebab si anak “ingat kat rumah”.


Esok masih cuti, pakat-pakatlah nak buat apa pulak.

Inilah cerita sehari dalam cuti sekolah, masa saya budak-budak dulu. Kalau nak cerita, takkan habissssss….


Wah seronoknya….

30.5.09

JIKA SUDI...

Ketika melihat kembali dokumen dalam komputer riba, saya temui sebuah fail yang saya sediakan dahulu yang berjudul “Ucapan Persaraan”. "Ucapan" ini saya sediakan 3 hari sebelum tarikh persaraan. Dokumen ini, ingin saya jadikan posting kali ini.

Jika sudi dan ada kesempatan, bacalah……
.....................

Terima kasih Pengerusi Majlis…
Yang Berbahagia Tuan Pegawai Pendidikan Daerah ......, Puan Hajah Rokiah Bt Mat Yaman,

Yang saya hormati Yang Dipertua PKPSM ......, Encik Hashim Bin Puteh.

Yang saya hormati pengetua-pengetua bakal pesara,

Yang saya hormati Semua pengetua Ahli-ahli PKPSM .....,

Yang saya hormati pegawai-pegawai dari PPD .....,

Guru-guru Penolong Kanan

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh
Salam sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak khususnya PKPSM .....kerana menjemput saya dan keluarga pada malam ini, dalam majlis sempena persaraan pengetua-pengetua Daerah.......

Tuan-tuan dan Puan-puan
Beberapa hari yang lalu, seorang sahabat berkata kepada saya. Katanya: “Masa berlalu terasa amat pantas. Terasa kita lebih cepat menjadi tua.
Lebih cepat juga tiba waktu bersara” Kata-kata itu telah memberikan banyak pengertian kepada diri saya, seorang bakal pesara.

Lebih 30 tahun yang lalu, ketika saya meninggalkan pintu pagar maktab perguruan, pada masa itu saya merasa amat bersedia, yakin dan teruja untuk mengharungi gelora lautan pendidikan ini. Selama lebih 30 tahun selepas itu, saya menghadapi pelbagai rentetan peristiwa ketika menjalani kehidupan sebagai seorang guru.

Ada waktunya saya merasa amat gembira, ada ketikanya saya menghadapi masalah yang tidak diduga, dan semuanya itu menjadikan saya manusia yang menghargai ketidakpastian hari-hari berikutnya dalam melayari badai dunia pendidikan itu. Walau bagaimanapun saya sentiasa tidak lupa untuk menghargai masa kini untuk mengikuti segala perubahan menghadapi alam persaraan.

Sepanjang perjalanan hidup mengharungi kancah pendidikan ini, saya menggarap banyak pengalaman, sampai kadang-kadang terasa 24 jam sehari itu tidak mencukupi. Dunia pendidikan ini sebenarnya amat mengasyikkan.

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian
Apabila ada rakan mengetahui bahawa saya akan bersara dalam waktu terdekat, ada yang tidak percaya. Dan di antara mereka ada yang berkata “Apa seronoknya nak bersara jika tidak bersiap sedia “. Itu kata-kata mereka. Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk bersara dan sudah mula merasai akan keseronokannya.

Mereka seringkali bertanya, apa persediaan untuk bersara? Sebenarnya, tidak pasti sama ada sudah saya temui jawapannya. Tetapi waktu-waktu terakhir perkhidmatan ini, minda saya meminta saya supaya memperlahankan langkah saya melalui lebuhraya pendidikan ini, di samping memberi saranan supaya saya memupuk minat yang lain dalam kehidupan. Sekarang, saranan itu sudah mula saya lakukan. Saya fikir apabila nanti tertulis perenggan dan baris terakhir dalam karier perguruan saya, saya akan merasa terkilan jika hasilnya hanyalah sebuah cerita pendek atau cerpen, atau lebih parah dan terus terkilan, jika bab terkhir karier pendidikan saya itu hanya sebuah novel picisan semata-mata untuk hiburan. Saya mahu pengakhiran karier pendidikan ini lebih bermakna daripada itu.

Terima kasih kerana ramai juga sahabat yang memberi cadangan: Bersara nanti bolehlah memulakan perniagaan. Ada yang mencadangkan supaya berehat saja dan menjaga kesihatan. Tak kurang juga yang memberi cadangan supaya lebih kerap ke surau atau masjid menambah bekalan. Tak kurang juga rakan-rakan yang suka berjenaka supaya saya menambah cawangan. Ada juga rakan-rakan menyarankan supaya saya menulis buku pendidikan atau menjadi penceramah atau menyampaikan motivasi pendidikan.

Apapun, terima kasih atas segala cadangan. Saya percaya bahawa semua rakan-rakan mendoakan supaya waktu persaraan saya itu penuh kesejahteraan.

Hadirin yang saya hormati,
Sebagai persediaan, sekarang lebih banyak masa saya luangkan untuk bersama keluarga. Lebih banyak masa saya gunakan untuk melaksanakan kegemaran / hobi yang saya minati, atau nanti mengikuti satu atau dua kursus pendek dalam bidang-bidang yang saya minati. Dan yang pentingnya, saya lebih banyak meluangkan masa secara lebih produktif bersama keluarga dan teman-teman yang berada di sekeliling saya, seperti anda semua.

Hanya masa akan menentukan sama ada saya sudah cukup bersedia untuk menempuhi alam persaraan. Tetapi untuk saat ini, saya ingin terus melihat masa hadapan dan memperluaskan segala peluang dan kesempatan. Saya bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik. Bersyukur kerana isteri dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan, bersyukur kerana ada rakan-rakan yang sentiasa memberikan kegembiraan dan bersyukur kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman damai untuk meneruskan kehidupan seperti yang saya ingini.

Beberapa tahun bersama rakan-rakan seperjuangan, anda sekalian telah memberikan banyak gelak ketawa dan rasa kegembiraan. Keadaan ini telah dapat juga membantu meringankan beban tugas pendidikan. Saya gembira pada waktu-waktu kita bersama, bermuafakat dan bermesyuarat, makan bersama, meskipun hanya secara buffet misalnya, di resot atau hotel tiga bintang tempat kita bermesyuarat dan berbengkel, ataupun ketika kita sama-sama bersantai, atau membuat lawatan penandaarasan.. Sesungguhnya kita saban hari telah bersama-sama merasakan susah senangnya berada dalam dunia pendidikan ini.

Hadirin sekalian,
Apa saja yang saya capai selama lebih 30 tahun dalam dunia pendidikan, sebenarnya adalah sebahagian daripada semangat kerja berpasukan. Saya tidak pernah merasakan diri saya sebagi seorang guru yang terasing dan diasingkan.

Apa saja program atau projek atau tugasan, sentiasa ada saja orang yang memberi bantuan, dan anda sekalian adalah sebahagian daripada orang-orang itu. Ada yang menasihatkan. Ada yang memberi sokongan.

Ada yang memberi bantuan. Ada yang memberikan keyakinan dan harapan. Dan tidak kurang juga yang menghargai kejayaan. Kerja sepasukan inilah yang memberikan kejayaan dan kenangan yang amat manis. Dan kalaupun ada sedikit perselisihan, maka itu hanyalah sekadar asam garam kehidupan untuk mendapatkan persefahaman.

Bekerja bersama kalian, memberi makna bahawa ada sahabat yang memberi perhatian ketika saya menghadapi kesulitan. Tanpa disedari, kalian juga banyak memberi sumbangan kepada kehidupan saya dan keluarga, Terima kasih untuk itu semua. Dan tanpa rasa bangga diri, mungkin saya juga secara tidak langsung telah memberi sumbangan kepada kehidupan anda sebagai pendidik, walaupun hanya sedikit.

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian,
Keseronokan bersara barangkali akan terasa apabila teringat kepada rakan-rakan yang lebih muda, yang masih terus berjuang, yang masih mampu tersenyum ceria dalam ruang pendidikan yang pelbagai ini.

Bersyukur kerana saya tidak perlu lagi mengharungi pahit getir dunia pekerjaan yang penuh dengan ketidakpastian ini. Kadang-kadang memang merasa tidak pasti. .Bolehkah saya laksanakan?, Bolehkah berjaya?. Bolehkah siap pada tarikh yang diperlukan? Tidak pasti. Cadangan ini bolehkah diterima? Tidak pasti. Adakah peruntukan kewangan?. Juga tidak pasti. Akan selesaikah kes ini? Masih tidak pasti. Ke mana pula akan ditukarkan selepas ini. Juga tidak pasti. Bagaimana markah nilai prestasi? Lagi tidak pasti. Yang ini betulkah berlaku atau hanya sedapnya mulut menabur fitnah secara melulu? Orang lain juga tidak pasti. Melaksanakan tugas kita ini, sebagai seorang guru seolah-olah berada dalam sebuah dunia kecil yang penuh dengan ketidakpastian.


Sahabat-sahabat sekalian,
Waktu bersara nanti , barangkali ketika saya di pantai, ketika memancing, ketika memasang umpan, ketika mengangkat joran, melontar pancing ke dasar lautan, barangkali akan teringat kembali kata-kata YB Menteri tentang dasar-dasar pendikan, kata-kata Dato pengarah supaya kita sentiasa memartabatkan pendidikan, Teringat juga kata kata pegawai-pegawai bijakpandai supaya PKKP jangan diabai.

Barangkali akan saya ingati kembali kata-kata rangsang setiap orang bahawa kita memang boleh menjadi cemerlang! Mungkin teringat juga akan kata-kata amaran bahawa yang tidak berjaya akan diminta memberi laporan. Akan mengimbau kembali kata-kata Tuan PPD yang dikutip sepanjang perjumpaan dan mesyuarat, yang ulang berulang kali mengambil peluang mengingatkan tentang tanggungjawab dan peranan yang berat. Dan ingatan serta nostalgia akan segala kata-kata itu tidak mungkin lagi akan saya anggap sebagai arahan. Mungkin juga teringat akan rakan seperjuangan yang selalu menjeritkan slogan. Atau rakan-rakan yang diam membisu kerana hati terkilan akan sesuatu. Atau yang low-profile itu dikatakan jumud dan beku. Betulkah yang high-profile itu dikatakan tangkas dan bersemangat jitu?. Itu semua hanya akan menjadi kenangan dalam alam persaraan.

Hadirin yang dihormati,
Walaupun saya mempunyai pelbagai rancangan selepas persaraan, tetapi saya rasa memang sukar untuk melupakan kalian. Betapa tidaknya. Ada rakan-rakan yang lucu dengan cerita jenaka, walaupun ketika itu sedang berlangsung mesyuarat dengan agenda utama. Ada rakan-rakan yang hilang punca walaupun masalahnya kecil sahaja. Ada yang nampak tenang sahaja tetapi setiap kerja beres belaka. Ada yang macam harimau berantai, tapi hatinya macam pinang kotai. Ada yang kegemarannya membawa pen-drive untuk menghimpun khazanah dan koleksi peribadi, kalau-kalau akan berguna suatu hari nanti.

Ada rakan yang mulanya langsung tidak yakin tetapi akhirnya kelebihan yakinnya hingga hilang sasaran. Macam-macam ada. Kita hanyalah manusia. Tetapi, segalanya itu telah memberikan semacam pengajaran dan sempadan, yang tidak terhingga memberikan tambah nilai kepada kerjaya profesional yang pernah saya lalui. Dan itu semua akan menjadi kenangan manis yang abadi dalam alam persaraan ini.

Sekalian yang dihormati,
Selain merasa amat gembira kerana pernah bersama anda sekalian, saya tidak mahu merasa kesal menghadapi waku persaraan ini. Saya mengharapkan ketenangan. Saya akan merasa tenang kerana tidak ada lagi guru yang muncul di pintu pejabat pada waktu pagi dengan wajah mencuka kerana masalah rumahtangga dan datang meminta penyelesaian dan keputusan segera.

Akan rasa tenang kerana tidak ada lagi ibu bapa datang bertandang membawa masalah anak bukan kepalang, atau datang dengan wajah garang kerana anaknya dikatakan dituduh berbuat apa yang dilarang. Akan rasa tenang tanpa kunjungan nazir dan pegawai yang datang dengan semangat berkobar-kobar kerana taksub kepada berita buli tersiar di akhbar, yang sensasi dan tidak semuanya benar. Semoga saya sentiasa dalam ketenangan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
Sebelum saya mengundur diri, Kepada Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah serta tuan-tuan dan puan-puan, uru-guru dan murid-murid sekalian yang pernah bersama saya dalam apa-apa suasana dan keadaan sekalipun, saya pohon ampun dan maaf atas apa jua kesilapan, kecuain dan keculasan yang pernah saya lakukan. Kepada Allah saya berserah.

Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang ada bersama saya untuk kemeriahan majlis ini. Budi baik tuan sekalian amat disanjung tinggi.

Barangkali pada 17 Januari nanti, iaitu hari pertama melangkah ke dunia persaraan, saya akan menjadi orang baru dengan kehidupan yang baru pula.

Sekian, terima kasih. Wassalamualakum warahmatullahhi wabarakatuh
.

27.5.09

TAK MACAM DULU....SEHARI SEBELUMNYA.

Sudah tak macam dulu. Tak sama. Dari jemput sampailah jamunya, semua dah tak sama.


(Banyaknya terima kad jemputan. Dari dekat, dari jauh. Maklumlah, cuti sekolah.)


Saya nak cerita. Nak gambarkan pada anak-cucu. Mereka tak dapat rasa. Pengalaman saya masa dulu-dulu di kampung.


Masa saya budak-budak. Umur 10 - 11 tahun. Kenduri kahwin ni memang meriah. Bukan selalu ada kenduri kawin di kampung. Setahun sekali atau dua kali saja.


Jemput:


Sebulan sebelum kenduri kahwin, dah jemput. Ibu-bapa bakal pengantin (perempuan) datang ke rumah. Biasa lepas isyak (siang kerja, ke laut atau ke sawah). Datang jemput. Taklah ada kad macam sekarang ni. Jemput seluruh keluarga (bukan jemput suami isteri saja). Bagi tau tarikh langsung.


(Zaman sekarang jemput, bukan saja guna kad, tapi jemput pakai e-mel, e-kad dan guna blog juga).


Sebelumnya:


Beberapa minggu sebelum, bantu tuan rumah siapkan kayu api (sesiapa yang ada masa lapang). Kayu getah atau kayu ru atau apa-apa kayu yang sesuai buat kayu api. Dua atau tiga hari sebelum jamuan, tolong buat bangsal. Bangsal jamuan, bangsal masak. Budak-budak macam saya, tolonglah apa yang terdaya.


Pada masa tu bukan ada khemah. Perkataan kanopi pun tak pernah dengar. Buat meja panjang dengan papan. Tempat duduk buat dengan papan panjang dan tiangnya buat dengan batang kelapa yang dikerat-kerat. Kalau ada atap zing, atap zinglah, atap nipah, atap nipahlah. Kalau ada kanvas atau plastik, boleh juga. Ikut apa yang ada.


Kaum ibu bergotong royong buat kuih baulu atau kuih kering. Siapkan bunga telur sekali.


Periuk belanga, kawah, pinggan mangkuk, dulang, sudu senduk, cerek, gelas, pinjam dari masjid. (Masa tu tak ada pun istilah ‘catering’)


Sehari Sebelum Kenduri.


Masa ni yang seronoknya. Gotong royong. Sambil kerja sambil minum kopi o dengan biskut dan kuih baulu..


Pagi-pagi jiran tetangga dah sampai. Setiap keluarga bawa keperluan untuk disampaikan kepada tuan rumah. Biasanya bawalah seekor atau dua ayam kampung. Ikut ramai ahli keluarga. Berilah seikhlas hati kepada tuan rumah. Hari ni giliran dia. Nanti giliran kita pula. Ada juga yang bawa serbuk kopi dan gula. Kalau ada telur ayam, boleh bawa juga. Nanti bolehlah tuan rumah akan bagi 'telur merah' yang dicucuk dengan bunga telur. Buah tangan bawa balik.


(Sebelum bawa ayam, saya kena hambat, kejar, tangkap ayam. Mana yang dapat, itulah yang dibawa. Itulah yang jadi korban).


Tuan rumah tak perlu sediakan lauk. Cuma sedia bawang lada dan rempah ratus.


Ayam dahpun terkumpul dalam sangkar. Tukang sembelih (biasanya pak imam kampung) dah sedia dengan pisau tajam. Mengelupurlah ayam. Kadang-kadang saya tolong pegang ayam yang nak disembelih. Bukanlah kerja berat. Bangga juga dapat menolong.


Kaum ibu membantu ‘menebuk’ ayam unuk dibuang isi perut yang tak berguna. Hati, pedal dan jantung diasingkan.


Tukang masak sudah menyediakan kawah berisi air panas untuk celur ayam. Mudah nak cabut bulu ayam. Masa ni seronok jugak ramai-ramai mencabut bulu ayam sampai togel. Sambil tu sudah tersedia unggun api. Ayam togel di”bakar”. Untuk buang baki bulu roma.


Tukang siang ayam dah sedia dengan pisau dan parang. Ikutlah nak belah enam atau belah lapan. Sesuai dengan jenis masakan dan saiz ayam.


Riuh-rendah, sambil gotong royong, sambil gurau senda, minum kopi, makan kuih, hisap rokok, usik-usik, erat hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga.


Menjelang maghrib, lampu-lampu pam (lampu gasolin) sudah tersedia di pasang 'mentol' dan diisi minyak. (Masa tu di kampung saya, mana ada elektrik!) Malam nanti terang benderanglah. Suasana jadi lebih ceria. Budak-budak riuh-rendah main kejar-kejar di laman. Di rumah, riuh rendah, bila ada yang mengusik orang latah.


Gotong royong berlarutan sampai siap, sehingga tengah malam. Yang seronoknya selepas maghrib. Makan. Nasi lauk gulai nangka atau umbut kelapa. Juga ikan gelama dan tamban kering dan sayur lemak labu kuning, panas-panas memang sedap. Sayur kacang panjang goreng campur hati dan pedal ayam.


Berseleranya makan lepas letih gotong-royong. Makan ramai-ramai satu dulang. Empat atau lima orang. Budak-budak dan orang tua tak kisah. Makan sama.


Menjelang tengah malam, segala yang perlu untuk sedia juadah jamuan dah siap. Dan menjelang tengahari esok, hmm…jamu selera…


Keesokannya:


Jamuan: Ada kesempatan, akan saya cerita lagi untuk anak cucu…. Memang berbeza….



11.10.08

MENGELAT ATAU MENIPU?

Ketika berada di sebuah kedai runcit, saya terdengar sesaorang berkata bahawa penjual di kedai itu “mengelat”. Gelagat dan suara si pembeli itu seolah-olah ada sesuatu yang tidak menyenangkan; dilakukan oleh si penjual.


Pulang ke rumah, saya mencari makna perkataan “mengelat”, “elat”, “gelat” dan “ngelat”. Kamus Dewan tidak pula menyenaraikan perkataan-perkataan tersebut.

Saya bertanya seorang kawan (guru bahasa). Tahulah saya bahawa perkataan “mengelat” membawa maksud “melakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan, dengan tujuan “berbohong”, “menipu” atau “memperdaya” untuk mendapat keuntungan diri.”


Saya bertanya diri sendiri, mengapa si penjual “mengelat”? Apa yang dilakukan kepada si pembeli”?. Jika “mengelat” itu membawa maksud “menipu”, dan jika benar seperti yang dikatakan pembeli, maka hal itu amatlah dikesali.

Ada sesetengah peniaga, tanpa kita sedari “mengelat” ketika berurusan dengan pembeli. Banyak cara “mengelat” dilakukan. Bagi penjual tersebut, “mengelat” adalah suatu seni. Pelbagai cara “mengelat” diajar kepada pembantu kedai. Sama ada disedari atau tidak, pembantu kedai dan pembeli terlibat dalam proses “mengelat” ini.


Agama Islam tidak mengajar, malah melarang perbuatan “mengelat” dalam urusan jual-beli, jika “mengelat” itu membawa tujuan “menipu”.

20.6.08

BAGAIMANA SI KATAK MELOMPAT



1.Saya mula bersekolah di kampung saya pada tahun 1957, ketika berusia 6 tahun. Kerana ingin sangat bersekolah, saya mengikut kakak yang masuk darjah satu pada tahun tesebut. Kakak berusia 7 tahun. Oleh sebab pada masa itu umur mula bersekolah tidaklah diambil kira sangat, ada pelajar yang berusia 8 atau 9 tahun berada di darjah satu bersama-sama saya dan kakak. Darjah satu pun cuma ada satu kelas sahaja. Setiap hari saya mengikut kakak ke sekolah walaupun berjalan kaki sejauh 2 batu lebih untuk sampai ke sekolah.

2. Satu sistem yang digunapakai pada ketika itu ialah sistem lompat kelas. Pada peperiksaan akhir tahun sesiapa yang dapat tempat pertama, kedua dan ketiga dalam kelas akan melangkau satu kelas. Pada tahun kedua persekolahan saya sudah berada di darjah tiga meninggalkan kakak di darjah dua. Itupun setelah didesak oleh guru besar yang hendak merotan saya kerana saya masih mahu bersama kakak di darjah dua. Maka dengan berat hati “melompat”lah saya ke darjah tiga.

3. Belumpun tamat darjah tiga, saya dan lima pelajar lain diperintah oleh Guru Besar menduduki Ujian Kelayakan bagi memasuki sekolah Inggeris. Pergilah saya menaiki kereta Volkswagon Guru Besar menduduki peperiksaan di sebuah sekolah di bandar, jaraknya lebihkurang 5 batu dari sekolah.

4. Selepas keputusan peperiksaan diumumkan, saya dan seorang pelajar perempuan telah lulus. Maka “melompat”lah pula ke sekolah aliran Inggeis. Saya memasuki Special Malay Class 1, bersama 20 pelajar dari sekolah-sekolah lain yang berjaya.

5. Di sinilah bermulanya masalah. Semua matapelajaran dalam Bahasa Inggeris kecuali Bahasa Melayu dan Pelajaran Agama Islam. Walau apa pun masalahnya, setahun kemudian saya berada di Special Malay Class 2. Tahun berikutnya saya berada di Standard Six pula.

6. Pada akhir tahun Standard Six, kami wajib menduduki peperiksaan kelayakan memasuki sekolah menengah. Di sinilah ramai rakan-rakan sekelas yang kecundang. Ramai yang gagal English Language dan Arithmetic. Yang kecundang tidak akan dapat meneruskan persekolahan. Itu syaratnya. Walaupun saya dapat ke sekolah menengah tetapi merasa sedih kerana berpisah dengan rakan-rakan yang gagal.

7. Demikianlah sedikit gambaran berkenaan sistem persekolah kita pada masa mula negara kita mencapai kemerdekaan.

8. Sampai sekarang pun saya merasakan diri saya menjadi mangsa kepada sitem “lompat” kelas. Bayangkanlah setiap tahun, dalam kelas, sayalah yang paling “kecil” dan paling “muda”.
Saya seringkali dibuli oleh pelajar-pelajar yang lebih “besar” di dalam kelas. Kesan sosial dan psikologinya yang berterusan memang ketara.

9. Di sekolah menengah, oleh sebab umur saya sentiasa “kurang setahun” daripada murid lain, saya selalu “ditinggalkan” dan tidak dapat menyertai pertandingan sukan dan kegiatan kokurikulum yang lain. Kebanyakan waktunya saya menjadi penonton sahaja, sementelahan pula saya memang mempunya rangka tubuh yang kecil.

10. Demikianlah sistem persekolahan kita…

11. Sekarang ada KBSR dan KBSM, bagi saya tetap meninggalkan kesannya juga. Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga mempunya kesan-kesan tertentu juga…..