11.11.08

Kartunis dan Etika: Pengajarannya.


Banyak yang ingin saya tulis. Tapi pagi ini ingin saya imbas kembali cerita tentang "kartunis".
Kita masih ingat tentang kartunis Denmark yang menghina dan mempersenda Nabi Muhammad s.a.w. suatu ketika dahulu.

Atas nama kebebasan bersuara, kartun-kartun tersebut disiarkan ke seluruh dunia melalui akhbar dan blog.

Beberapa akhbar di negara kita juga digantung penerbitannya dan diberi amaran.
Penyiaran kartun-kartun menghina itu menimbulkan rusuhan sehingga memakan korban.
Itu kisah lama yang sudah berlalu. Namun bagi saya ia banyak memberi pengajaran.

Pengajaran pertama, memang ironis, umat Islam amat mudah memberi maaf. Yang bersalah hanya memohon maaf secara terbuka dan berikrar untuk tidak mengulangi. Sesungguhnya Islam ialah agama perdamaian dan keselamatan. Ada tersirat hikmah di sebalik peristiwa itu.

Pengajaran kedua, walaupun mendapat kebebasan bersuara, kebebasan itu tidak boleh saya gunakan sewenang-wenangnya sehingga melewati sempadan dan hak asasi orang lain.

Pengajaran ketiga, ia memberi peringatan kepada saya bahawa sebagai pemberita mahupun blogger, jika tidak berhati-hati dan jika tidak beretika, boleh mengundang padah.

Pengajaran keempat, peristiwa tersebut mengajar saya supaya tidak menulis posting atau entri ketika berada dalam suasana tidak gembira atau sedang dirundung masalah. Ini akan mempengaruhi tulisan dan secara tidak langsung pengunjung dan pembaca blog akan menerima tempiasnya.

Pengajaran Kelima, peristiwa itu juga memberi ingatan kepada saya supaya telus, jujur dan adil dalam mengumpul, melapor dan menafsir maklumat. Saya tidak boleh menulis entri atau posting dengan dipengaruhi oleh adanya agenda tersembunyi dan kepentingan diri.
Akhirnya ingin saya petik tulisan seorang blogger, Jason @ calcanis.com, 18 November 2004:

"Etika adalah sesuatu yang tidak boleh ditapis. Tiada siapa boleh menyatakan anda tidak boleh menulis apa yang anda kehendaki. Isunya di sini ialah anda berkomunikasi dengan orang awam yang mempunyai etika dan piawai kemasyarakatan tertentu." (Terjemahan daripada teks asal)

2 comments:

yusofsipan said...

Saya sangat bersetuju dengan kelima-lima perkara yg cikgu kemukakan sebagai pengajaran itu. Molek sungguh untuk dijadikan panduan, terima kasih.

mantan said...

Terima kasih