30.5.09

JIKA SUDI...

Ketika melihat kembali dokumen dalam komputer riba, saya temui sebuah fail yang saya sediakan dahulu yang berjudul “Ucapan Persaraan”. "Ucapan" ini saya sediakan 3 hari sebelum tarikh persaraan. Dokumen ini, ingin saya jadikan posting kali ini.

Jika sudi dan ada kesempatan, bacalah……
.....................

Terima kasih Pengerusi Majlis…
Yang Berbahagia Tuan Pegawai Pendidikan Daerah ......, Puan Hajah Rokiah Bt Mat Yaman,

Yang saya hormati Yang Dipertua PKPSM ......, Encik Hashim Bin Puteh.

Yang saya hormati pengetua-pengetua bakal pesara,

Yang saya hormati Semua pengetua Ahli-ahli PKPSM .....,

Yang saya hormati pegawai-pegawai dari PPD .....,

Guru-guru Penolong Kanan

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh
Salam sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak khususnya PKPSM .....kerana menjemput saya dan keluarga pada malam ini, dalam majlis sempena persaraan pengetua-pengetua Daerah.......

Tuan-tuan dan Puan-puan
Beberapa hari yang lalu, seorang sahabat berkata kepada saya. Katanya: “Masa berlalu terasa amat pantas. Terasa kita lebih cepat menjadi tua.
Lebih cepat juga tiba waktu bersara” Kata-kata itu telah memberikan banyak pengertian kepada diri saya, seorang bakal pesara.

Lebih 30 tahun yang lalu, ketika saya meninggalkan pintu pagar maktab perguruan, pada masa itu saya merasa amat bersedia, yakin dan teruja untuk mengharungi gelora lautan pendidikan ini. Selama lebih 30 tahun selepas itu, saya menghadapi pelbagai rentetan peristiwa ketika menjalani kehidupan sebagai seorang guru.

Ada waktunya saya merasa amat gembira, ada ketikanya saya menghadapi masalah yang tidak diduga, dan semuanya itu menjadikan saya manusia yang menghargai ketidakpastian hari-hari berikutnya dalam melayari badai dunia pendidikan itu. Walau bagaimanapun saya sentiasa tidak lupa untuk menghargai masa kini untuk mengikuti segala perubahan menghadapi alam persaraan.

Sepanjang perjalanan hidup mengharungi kancah pendidikan ini, saya menggarap banyak pengalaman, sampai kadang-kadang terasa 24 jam sehari itu tidak mencukupi. Dunia pendidikan ini sebenarnya amat mengasyikkan.

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian
Apabila ada rakan mengetahui bahawa saya akan bersara dalam waktu terdekat, ada yang tidak percaya. Dan di antara mereka ada yang berkata “Apa seronoknya nak bersara jika tidak bersiap sedia “. Itu kata-kata mereka. Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk bersara dan sudah mula merasai akan keseronokannya.

Mereka seringkali bertanya, apa persediaan untuk bersara? Sebenarnya, tidak pasti sama ada sudah saya temui jawapannya. Tetapi waktu-waktu terakhir perkhidmatan ini, minda saya meminta saya supaya memperlahankan langkah saya melalui lebuhraya pendidikan ini, di samping memberi saranan supaya saya memupuk minat yang lain dalam kehidupan. Sekarang, saranan itu sudah mula saya lakukan. Saya fikir apabila nanti tertulis perenggan dan baris terakhir dalam karier perguruan saya, saya akan merasa terkilan jika hasilnya hanyalah sebuah cerita pendek atau cerpen, atau lebih parah dan terus terkilan, jika bab terkhir karier pendidikan saya itu hanya sebuah novel picisan semata-mata untuk hiburan. Saya mahu pengakhiran karier pendidikan ini lebih bermakna daripada itu.

Terima kasih kerana ramai juga sahabat yang memberi cadangan: Bersara nanti bolehlah memulakan perniagaan. Ada yang mencadangkan supaya berehat saja dan menjaga kesihatan. Tak kurang juga yang memberi cadangan supaya lebih kerap ke surau atau masjid menambah bekalan. Tak kurang juga rakan-rakan yang suka berjenaka supaya saya menambah cawangan. Ada juga rakan-rakan menyarankan supaya saya menulis buku pendidikan atau menjadi penceramah atau menyampaikan motivasi pendidikan.

Apapun, terima kasih atas segala cadangan. Saya percaya bahawa semua rakan-rakan mendoakan supaya waktu persaraan saya itu penuh kesejahteraan.

Hadirin yang saya hormati,
Sebagai persediaan, sekarang lebih banyak masa saya luangkan untuk bersama keluarga. Lebih banyak masa saya gunakan untuk melaksanakan kegemaran / hobi yang saya minati, atau nanti mengikuti satu atau dua kursus pendek dalam bidang-bidang yang saya minati. Dan yang pentingnya, saya lebih banyak meluangkan masa secara lebih produktif bersama keluarga dan teman-teman yang berada di sekeliling saya, seperti anda semua.

Hanya masa akan menentukan sama ada saya sudah cukup bersedia untuk menempuhi alam persaraan. Tetapi untuk saat ini, saya ingin terus melihat masa hadapan dan memperluaskan segala peluang dan kesempatan. Saya bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik. Bersyukur kerana isteri dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan, bersyukur kerana ada rakan-rakan yang sentiasa memberikan kegembiraan dan bersyukur kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman damai untuk meneruskan kehidupan seperti yang saya ingini.

Beberapa tahun bersama rakan-rakan seperjuangan, anda sekalian telah memberikan banyak gelak ketawa dan rasa kegembiraan. Keadaan ini telah dapat juga membantu meringankan beban tugas pendidikan. Saya gembira pada waktu-waktu kita bersama, bermuafakat dan bermesyuarat, makan bersama, meskipun hanya secara buffet misalnya, di resot atau hotel tiga bintang tempat kita bermesyuarat dan berbengkel, ataupun ketika kita sama-sama bersantai, atau membuat lawatan penandaarasan.. Sesungguhnya kita saban hari telah bersama-sama merasakan susah senangnya berada dalam dunia pendidikan ini.

Hadirin sekalian,
Apa saja yang saya capai selama lebih 30 tahun dalam dunia pendidikan, sebenarnya adalah sebahagian daripada semangat kerja berpasukan. Saya tidak pernah merasakan diri saya sebagi seorang guru yang terasing dan diasingkan.

Apa saja program atau projek atau tugasan, sentiasa ada saja orang yang memberi bantuan, dan anda sekalian adalah sebahagian daripada orang-orang itu. Ada yang menasihatkan. Ada yang memberi sokongan.

Ada yang memberi bantuan. Ada yang memberikan keyakinan dan harapan. Dan tidak kurang juga yang menghargai kejayaan. Kerja sepasukan inilah yang memberikan kejayaan dan kenangan yang amat manis. Dan kalaupun ada sedikit perselisihan, maka itu hanyalah sekadar asam garam kehidupan untuk mendapatkan persefahaman.

Bekerja bersama kalian, memberi makna bahawa ada sahabat yang memberi perhatian ketika saya menghadapi kesulitan. Tanpa disedari, kalian juga banyak memberi sumbangan kepada kehidupan saya dan keluarga, Terima kasih untuk itu semua. Dan tanpa rasa bangga diri, mungkin saya juga secara tidak langsung telah memberi sumbangan kepada kehidupan anda sebagai pendidik, walaupun hanya sedikit.

Tuan-Tuan, Puan-puan Hadirin sekalian,
Keseronokan bersara barangkali akan terasa apabila teringat kepada rakan-rakan yang lebih muda, yang masih terus berjuang, yang masih mampu tersenyum ceria dalam ruang pendidikan yang pelbagai ini.

Bersyukur kerana saya tidak perlu lagi mengharungi pahit getir dunia pekerjaan yang penuh dengan ketidakpastian ini. Kadang-kadang memang merasa tidak pasti. .Bolehkah saya laksanakan?, Bolehkah berjaya?. Bolehkah siap pada tarikh yang diperlukan? Tidak pasti. Cadangan ini bolehkah diterima? Tidak pasti. Adakah peruntukan kewangan?. Juga tidak pasti. Akan selesaikah kes ini? Masih tidak pasti. Ke mana pula akan ditukarkan selepas ini. Juga tidak pasti. Bagaimana markah nilai prestasi? Lagi tidak pasti. Yang ini betulkah berlaku atau hanya sedapnya mulut menabur fitnah secara melulu? Orang lain juga tidak pasti. Melaksanakan tugas kita ini, sebagai seorang guru seolah-olah berada dalam sebuah dunia kecil yang penuh dengan ketidakpastian.


Sahabat-sahabat sekalian,
Waktu bersara nanti , barangkali ketika saya di pantai, ketika memancing, ketika memasang umpan, ketika mengangkat joran, melontar pancing ke dasar lautan, barangkali akan teringat kembali kata-kata YB Menteri tentang dasar-dasar pendikan, kata-kata Dato pengarah supaya kita sentiasa memartabatkan pendidikan, Teringat juga kata kata pegawai-pegawai bijakpandai supaya PKKP jangan diabai.

Barangkali akan saya ingati kembali kata-kata rangsang setiap orang bahawa kita memang boleh menjadi cemerlang! Mungkin teringat juga akan kata-kata amaran bahawa yang tidak berjaya akan diminta memberi laporan. Akan mengimbau kembali kata-kata Tuan PPD yang dikutip sepanjang perjumpaan dan mesyuarat, yang ulang berulang kali mengambil peluang mengingatkan tentang tanggungjawab dan peranan yang berat. Dan ingatan serta nostalgia akan segala kata-kata itu tidak mungkin lagi akan saya anggap sebagai arahan. Mungkin juga teringat akan rakan seperjuangan yang selalu menjeritkan slogan. Atau rakan-rakan yang diam membisu kerana hati terkilan akan sesuatu. Atau yang low-profile itu dikatakan jumud dan beku. Betulkah yang high-profile itu dikatakan tangkas dan bersemangat jitu?. Itu semua hanya akan menjadi kenangan dalam alam persaraan.

Hadirin yang dihormati,
Walaupun saya mempunyai pelbagai rancangan selepas persaraan, tetapi saya rasa memang sukar untuk melupakan kalian. Betapa tidaknya. Ada rakan-rakan yang lucu dengan cerita jenaka, walaupun ketika itu sedang berlangsung mesyuarat dengan agenda utama. Ada rakan-rakan yang hilang punca walaupun masalahnya kecil sahaja. Ada yang nampak tenang sahaja tetapi setiap kerja beres belaka. Ada yang macam harimau berantai, tapi hatinya macam pinang kotai. Ada yang kegemarannya membawa pen-drive untuk menghimpun khazanah dan koleksi peribadi, kalau-kalau akan berguna suatu hari nanti.

Ada rakan yang mulanya langsung tidak yakin tetapi akhirnya kelebihan yakinnya hingga hilang sasaran. Macam-macam ada. Kita hanyalah manusia. Tetapi, segalanya itu telah memberikan semacam pengajaran dan sempadan, yang tidak terhingga memberikan tambah nilai kepada kerjaya profesional yang pernah saya lalui. Dan itu semua akan menjadi kenangan manis yang abadi dalam alam persaraan ini.

Sekalian yang dihormati,
Selain merasa amat gembira kerana pernah bersama anda sekalian, saya tidak mahu merasa kesal menghadapi waku persaraan ini. Saya mengharapkan ketenangan. Saya akan merasa tenang kerana tidak ada lagi guru yang muncul di pintu pejabat pada waktu pagi dengan wajah mencuka kerana masalah rumahtangga dan datang meminta penyelesaian dan keputusan segera.

Akan rasa tenang kerana tidak ada lagi ibu bapa datang bertandang membawa masalah anak bukan kepalang, atau datang dengan wajah garang kerana anaknya dikatakan dituduh berbuat apa yang dilarang. Akan rasa tenang tanpa kunjungan nazir dan pegawai yang datang dengan semangat berkobar-kobar kerana taksub kepada berita buli tersiar di akhbar, yang sensasi dan tidak semuanya benar. Semoga saya sentiasa dalam ketenangan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
Sebelum saya mengundur diri, Kepada Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah serta tuan-tuan dan puan-puan, uru-guru dan murid-murid sekalian yang pernah bersama saya dalam apa-apa suasana dan keadaan sekalipun, saya pohon ampun dan maaf atas apa jua kesilapan, kecuain dan keculasan yang pernah saya lakukan. Kepada Allah saya berserah.

Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang ada bersama saya untuk kemeriahan majlis ini. Budi baik tuan sekalian amat disanjung tinggi.

Barangkali pada 17 Januari nanti, iaitu hari pertama melangkah ke dunia persaraan, saya akan menjadi orang baru dengan kehidupan yang baru pula.

Sekian, terima kasih. Wassalamualakum warahmatullahhi wabarakatuh
.

8 comments:

Naa..a said...

Baguslah cikgu.Sangat positif. Suatu situasi itu kita yang create. Kalau kita setting supaya segala berlaku dengan gembira maka gembiralah.Selama 15 tahun saya dalam bidang pendidikan setiap hari saya rasa saya belajar sesuatu yang baru. Tapi sejak akhir2 ini saya rasa sedikit mati jiwa saya. Perasaan seperti seolah sekolah satu tempat yang mengerikan bagi saya. Apabila saban hari semangat kita dimatikan ... kalau ada pills boleh ubati penyakit ni..kan bagus antibodi dah tak mampu melawan virus ni.. ooo.

mantan said...

Rosnah,
Terima kasih kerana sudi membaca...
Yalah, 30% masa dalam kehidupan guru dilalui di sekolah. Itu belum dikira masa yang dihabiskan di tempat lain "memikirkan" hal-hal sekolah.

Bagaimana jika sekolah sudah menjadi tempat yang melunturkan semangat keguruan kita itu. Sepatutnya sekolah perlu menjadi tempat yang ceria, tempat yang mendorong, tempat yang membangunkan semangat, tempat mencapai kejayaan, tempat yang memberikan kepuasan melaksanakan tanggungjawab guru.

Semua ini boleh "dibentuk". Sudah tentulah GB dan Pengetua menjadi pemangkin kepada pembentukan persekitaran yang positif itu. Jika dapat dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, alangkah indahnya, alangkah cerianya...

Some points to ponder:

a) A word of encouragement during a failure is worth more than an hour of praise after success.

b) Knowing others is intelligence; knowing yourself is true wisdom. Mastering others is strength; mastering yourself is true power.

- kuatkan antibodi tu...

naman said...

antibodi sy yg baru pon mcm tak imun..hehe..

Al-Manar said...

Cikgu
Thirty years is a good part of one’s life. If you are 60 today, thirty is half a life-time. You did what you did, half a life-time educating children. I wonder whether that was a profession by choice or an accident. I also had thirty years of service but in a different world altogether, private sector. Was it my choice? It was yes and no. I knew roughly where I was going and I went along. I made good. For that reason it was fate – takdir Illahi. I have not regret.

You have a pension for life with all the benefits that go with a pensioner. You and family are lucky because I have none of these. You have colleagues in service to remember and be in touch with. I have very few. Corporate world is a rat race, true friends difficult to come by. Perhaps all these have made me what I am today – berkhidmat kerana Tuhan untuk kemanusiaan. I am trying to catch up with what you have already achieved during half you life-time. I congratulate you and wish that you and family will prosper in retirement.
Pak Cik

mantan said...

Thank You Pak Cik.
Its half of my life-time and its my choice too. I wanted to be a teacher though I have other choices. I was offered as a Pegawai Penyelidik by Dewan Bahasa dan Pustaka, offered as a journalist by Berita Harian and Penerbit Rancangan by TV3.

And Im a teceacher, always a teacher and a happy teacher too.

Syukur, I think all was repaid. During my schooldays, as a poor boy from a poor family, (my father is a fisherman & a padi planter) i was given some scholarship that made continuing schooling possible. Even the Jabatan Kebajikan Masyarakat paid my LCE ang FMC exam fees.

Being a teacher, I have the chance to fulfill my gratitude to my beloved country.

Pak Chik, giving your services via the private sector makes you a great man too - berkhidmat kerana Tuhan untuk kemanusiaan.

Hope Pak Cik sentiasa sihat walafiat.

zaijb said...

salam mantan,
panjangnye task dia... itu semua kenangan yg tak mungkin cikgu boleh lupakan... bagaimana yea saya satu hari nanti...
dah berapa tahun cikgu bersara?

mantan said...

zaijb,
3

Anonymous said...

Heya i'm for the first time here. I came across this board and I find It truly helpful & it helped me out much. I hope to present something again and aid others like you helped me.

My website home cellulite treatment