27.5.09

TAK MACAM DULU....SEHARI SEBELUMNYA.

Sudah tak macam dulu. Tak sama. Dari jemput sampailah jamunya, semua dah tak sama.


(Banyaknya terima kad jemputan. Dari dekat, dari jauh. Maklumlah, cuti sekolah.)


Saya nak cerita. Nak gambarkan pada anak-cucu. Mereka tak dapat rasa. Pengalaman saya masa dulu-dulu di kampung.


Masa saya budak-budak. Umur 10 - 11 tahun. Kenduri kahwin ni memang meriah. Bukan selalu ada kenduri kawin di kampung. Setahun sekali atau dua kali saja.


Jemput:


Sebulan sebelum kenduri kahwin, dah jemput. Ibu-bapa bakal pengantin (perempuan) datang ke rumah. Biasa lepas isyak (siang kerja, ke laut atau ke sawah). Datang jemput. Taklah ada kad macam sekarang ni. Jemput seluruh keluarga (bukan jemput suami isteri saja). Bagi tau tarikh langsung.


(Zaman sekarang jemput, bukan saja guna kad, tapi jemput pakai e-mel, e-kad dan guna blog juga).


Sebelumnya:


Beberapa minggu sebelum, bantu tuan rumah siapkan kayu api (sesiapa yang ada masa lapang). Kayu getah atau kayu ru atau apa-apa kayu yang sesuai buat kayu api. Dua atau tiga hari sebelum jamuan, tolong buat bangsal. Bangsal jamuan, bangsal masak. Budak-budak macam saya, tolonglah apa yang terdaya.


Pada masa tu bukan ada khemah. Perkataan kanopi pun tak pernah dengar. Buat meja panjang dengan papan. Tempat duduk buat dengan papan panjang dan tiangnya buat dengan batang kelapa yang dikerat-kerat. Kalau ada atap zing, atap zinglah, atap nipah, atap nipahlah. Kalau ada kanvas atau plastik, boleh juga. Ikut apa yang ada.


Kaum ibu bergotong royong buat kuih baulu atau kuih kering. Siapkan bunga telur sekali.


Periuk belanga, kawah, pinggan mangkuk, dulang, sudu senduk, cerek, gelas, pinjam dari masjid. (Masa tu tak ada pun istilah ‘catering’)


Sehari Sebelum Kenduri.


Masa ni yang seronoknya. Gotong royong. Sambil kerja sambil minum kopi o dengan biskut dan kuih baulu..


Pagi-pagi jiran tetangga dah sampai. Setiap keluarga bawa keperluan untuk disampaikan kepada tuan rumah. Biasanya bawalah seekor atau dua ayam kampung. Ikut ramai ahli keluarga. Berilah seikhlas hati kepada tuan rumah. Hari ni giliran dia. Nanti giliran kita pula. Ada juga yang bawa serbuk kopi dan gula. Kalau ada telur ayam, boleh bawa juga. Nanti bolehlah tuan rumah akan bagi 'telur merah' yang dicucuk dengan bunga telur. Buah tangan bawa balik.


(Sebelum bawa ayam, saya kena hambat, kejar, tangkap ayam. Mana yang dapat, itulah yang dibawa. Itulah yang jadi korban).


Tuan rumah tak perlu sediakan lauk. Cuma sedia bawang lada dan rempah ratus.


Ayam dahpun terkumpul dalam sangkar. Tukang sembelih (biasanya pak imam kampung) dah sedia dengan pisau tajam. Mengelupurlah ayam. Kadang-kadang saya tolong pegang ayam yang nak disembelih. Bukanlah kerja berat. Bangga juga dapat menolong.


Kaum ibu membantu ‘menebuk’ ayam unuk dibuang isi perut yang tak berguna. Hati, pedal dan jantung diasingkan.


Tukang masak sudah menyediakan kawah berisi air panas untuk celur ayam. Mudah nak cabut bulu ayam. Masa ni seronok jugak ramai-ramai mencabut bulu ayam sampai togel. Sambil tu sudah tersedia unggun api. Ayam togel di”bakar”. Untuk buang baki bulu roma.


Tukang siang ayam dah sedia dengan pisau dan parang. Ikutlah nak belah enam atau belah lapan. Sesuai dengan jenis masakan dan saiz ayam.


Riuh-rendah, sambil gotong royong, sambil gurau senda, minum kopi, makan kuih, hisap rokok, usik-usik, erat hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga.


Menjelang maghrib, lampu-lampu pam (lampu gasolin) sudah tersedia di pasang 'mentol' dan diisi minyak. (Masa tu di kampung saya, mana ada elektrik!) Malam nanti terang benderanglah. Suasana jadi lebih ceria. Budak-budak riuh-rendah main kejar-kejar di laman. Di rumah, riuh rendah, bila ada yang mengusik orang latah.


Gotong royong berlarutan sampai siap, sehingga tengah malam. Yang seronoknya selepas maghrib. Makan. Nasi lauk gulai nangka atau umbut kelapa. Juga ikan gelama dan tamban kering dan sayur lemak labu kuning, panas-panas memang sedap. Sayur kacang panjang goreng campur hati dan pedal ayam.


Berseleranya makan lepas letih gotong-royong. Makan ramai-ramai satu dulang. Empat atau lima orang. Budak-budak dan orang tua tak kisah. Makan sama.


Menjelang tengah malam, segala yang perlu untuk sedia juadah jamuan dah siap. Dan menjelang tengahari esok, hmm…jamu selera…


Keesokannya:


Jamuan: Ada kesempatan, akan saya cerita lagi untuk anak cucu…. Memang berbeza….



10 comments:

Cikgu Chun said...

Seronoknya dengar cerita kenduri dulu2 ni. Saya sempat jugak dengan separuh daripada yang diceritakan oleh cikgu wahab tu. Iaitu mengenai bangsal dan gotong-royong untuk memasak sebab dulu tak ada khemah/kanopi..seorang jadi 'cheff' dan yang lain2 tukang tolong. Skrg ni main ekspress je, semuanya kena ekspress sebab masing2 busy, masing2 bawa haluan masing2 dan masing2 berada di perantauan orang. Dan...kawin ekspress pun ada jugak!. Macam2... yang pastinya anak cucu kita tak kan merasai lagi kemeriahan sebegitu.

Al-Manar said...

cikgu,
Tak ada kah cerita macam mana ikan dilaut asam didarat dijodohkan? Cara internet dan facebook kah? Anak cucu kenalah tahu dengan harapan janganlah bebas sangat!

sazili said...

Satu lagi yang cikgu Wahab tak cerita, mungkin dulu tak ada kot, sekarang ni aje yang ada; pengantin kena basuh periuk dan kawah. Saya kena tu !!

mantan said...

SirSazili,
Saya pun kena basuh periuk dan kawah. Itu keesokan harinya. Lepas kenduri selesai. Nanti saya ceritakan tu...

mantan said...

AlManar,
Yelah Pakcik. Cara orang dulu "bertemu jodoh", pun kena cerita pada anak cucu.

mantan said...

Cikgu Chun,
Dah kahwin ke belum?

waruna said...

ha ah, nak ke tahu la jugak cikgu Chun dah kawin ke blom?

Cikgu Chun said...

Cikgu Wahab & Kak Waruna,

Eh, saya dah kawin dah... 30 Mei ni genaplah setahun perkahwinan saya. baru lagi...

Naa..a said...

yElah. seronok dapat gambaran tu. Saya ingat2 lupa rasanya masa saya kecik2 dulu ada macam tu. Tapi masa saya kahwin tu dah moden sikit dah
tapi sekarang org kahwin mmm betul2 mcm raja. apa-apapun yalah berbalik pada objektif majlis tu untuk menghebahkan satu pasangan tu dah berkahwin supaya tak timbul fitnah.Tapi sekarang kalu tak kenduri pun boleh hebahkan lagi cepat melalui internet dan segala sesawang yang ada kan,,

mantan said...

Sekarang pun lebih meriah. Cuma kadang-kadang sekadar menunaikan jemputan. Kadang-kadang pergi jemputan, pengantinnya pun tak kenal.