27.6.10

PENTAKSIRAN PENGUKURAN PENILAIAN PEPERIKSAAN


PENTAKSIRAN

Pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat.  Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat, proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan dipanggil pentaksiran.

PENGUKURAN
Pengukuran ialah proses mendapatkan maklumat dengan cara mengukur menggunakan instrumen sebelum ukuran itu dapat dinilai atau diinterpretasikan. Proses pengukuran berakhir dengan maklumat berbentuk kuantitatif seperti markah mentah, peratus markah mentah,  peratusan kedudukan seseorang berbanding kedudukan orang lain, agregat dan pangkat atau band.
Ukuran boleh didapati sama ada dengan menggunakan instrumen atau pun tidak. Instrumen atau alat pengukuran pendidikan yang biasa digunakan ialah ujian, soal selidik, kuiz dan senarai semak.
Ukuran  yang diperoleh tanpa penggunaan instrumen tentunya kurang tepat dan kurang boleh dipercayai kerana seringkali berubah-ubah mengikut masa, mengikut orang yang mentaksir dan mengikut keadaan.

PENILAIAN

Penilaian ialah proses mendapatkan maklumat tentang sesuatu diikuti dengan proses memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat tersebut. Berbeza dengan  pengukuran, maklumat yang diperoleh daripada penilaian boleh jadi berbentuk kuantitatif atau kualitatif.

Maklumat kualitatif dalam penilaian adalah seperti ”Baik”, ”Cemerlang”, ”Menguasai tahap pencapaian minimum” dan ”Boleh membaca dengan kefahaman yang tinggi”. Maklumat  kualitatif dalam penilaian boleh jadi nilaian atau interpretasi kepada maklumat kuantitatif.

Proses penilaian terhad setakat memberi nilai atau interpretasi tanpa membuat keputusan seperti ”layak memasuki aliran Sains”.

Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat, proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan dipanggil pentaksiran.

Dalam pendidikan, proses mengumpul maklumat, memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat dan membuat keputusan boleh berlaku secara formal atau tidak formal.

Proses pentaksiran, pengukuran dan penilaian  boleh berlaku secara timbal balik dan sepadu antara satu sama lain dan sepadu dengan proses pengajaran-pembelajaran.

PEPERIKSAAN
Peperiksaan  merupakan salah satu kaedah, sistem atau mekanisma yang digunakan dalam proses pentaksiran. Sesuatu peperiksaan selalunya mengandungi beberapa siri ujian yang terancang untuk mendapatkan ukuran tentang sejauh mana berkesannya proses pengajaran-pembelajaran.   

Ujian-ujian yang terdapat dalam sesuatu sistem peperiksaan boleh jadi ujian bertulis, ujian amali, ujian lisan, ujian pendengaran dan ujian berkomputer. Dengan ciri yang sedemikian, peperiksaan selalunya hanya sesuai diguna untuk mentaksir domain kognitif atau kebolehan mental seseorang.

Domain yang lain iaitu afektif dan psikomotor kurang sesuai ditaksir menggunakan kaedah peperiksaan.

Dengan demikian,, peperiksaan selalu dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan.

Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri, kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial sukar atau tidak mungkin dapat ditaksir sepenuhnya menggunakan peperiksaan.

Peperiksaan juga seringkali dikaitkan dengan pentaksiran standard, berpusat, luaran, sumatif dan dikendalikan oleh badan peperiksaan. Kekangan ini  menyebabkan hal-hal yang berkaitan sahsiah, akhlak, nilai, rohani jasmani dan social  sukar atau tidak dapat dilakukan dengan kaedah peperiksaan.

Hal-hal tersebut lebih sesuai dilakukan melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran dalaman, pentaksiran formatif, pentaksiran alternatif, pentaksiran prestasi dan pentaksiran autentik.

Peperiksaan dikatakan menyebabkan anak-anak belajar dan guru-guru mengajar tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan.  

No comments: