Showing posts with label Catatan Pengalaman.. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman.. Show all posts

28.12.08

Rindu, Cucu, Blog, Buku, Warga Asing dan Adab.

Beberapa hari tidak saya kunjung blog rakan-rakan kerana saya berada di Johor Bahru. Mahu bersama anak dan cucu, mengubat rindu.

Johor Bahru sibuk seperti biasa. Saya sempat singgah di Pasaraya Angsana dalam perjalanan pulang. Di situ memang sibuk . Warga negara lain sama ramainya dengan warga tempatan. Barangkali Hari Minggu, pekerja warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, China diberi cuti oleh majikan.

Tempat melepak yang popular, tentunya di supermarket. Warga Singapura pula memang berbelanja di Johor Bahru. Anak saya sempat berkata,
"Abah, kalau kita campak seulas kacang dari tingkat atas, tentu akan kena kepala warga asing!"

Jika saya singgah di pasaraya, tempat yang pasti saya kunjungi ialah kedai buku. Terdapat judul baru terjual. Pasaran buku tampaknya laris juga. Kedai buku memang sentiasa ramai. Atau memang tahap pembacaan sudah meningkat.

Hari ini saya membeli 3 buah buku:
"Kesantunan Orang Melayu oleh Noriati A.Rashid"; "Law of Attraction oleh Michael J.Losier" dan "Writing in General and The Short Story In Particular oleh Rust Hills".

Beberapa hari tidak membersihkan peti E-mail, inbox sarat. Ada juga maklumbalas rakan-rakan yang tidak gemar memberi maklum balas melalui blog (sebab tak ada blog - tak tahu kenapa).


Banyak juga "sampah" yang masuk ke kotak e-mail. Apa nak dikata, "pejabat pos maya" dibuka 24 jam sehari; memang tiada waktu cutinya. Banyak e-mail "hampas" dalam bentuk iklan pujukan untuk melariskan jualan. Semuanya hendak dijual, apa sahaja yang boleh dijual: barangan maupun perkhidmatan. Yang sah maupun tidak sah.Yang halal, juga yang haram.

Yang percuma pun banyak juga.Yang dibimbangi ialah kiriman yang berisi perangkap virus. Jika dijangkiti, penyakit maya ini akan menular sehingga boleh merosakkan data komputer!

Hari ini juga saya menerima e-mail yang sangat menarik kandungannya. Antara kata-kata yang menarik yang ditulis oleh pengirimnya: ".... di dunia ini ramai yang nak jadi hero, nak jadi jaguh, nak jadi tokoh...nak jadi popular...nak tunjuk pandai... nak tunjuk terer...tapi ramai yang lakukannya dengan cara yang tidak beradab..."

E-mail itu saya jawab dengan ringkas sahaja:....."kalau begitu, adabkanlah mereka!"

10.10.08

Lepas raya

Masa hari raya, berhati-hati makan, bimbang sakit perut. Alhamdulillah.
Tapi semalam demam dan batuk. (Banyak minum ais masa beraya). Pergi ke klinik. Biasalah dapat panadol dan ubat batuk. Hari ni pun masih demam dan batuk, tapi dah berkurangan. Masih boleh hantar posting dan meninjau blog rakan-rakan.
Yang bimbangnya sekarang ni ramai yang kena denggi dan cikunggunya.

24.7.08

MASUK SEKOLAH


Hari ini saya “masuk semula” sekolah, selepas setahun lebih tidak mengajar (kerana tamat perkhidmatan / bersara). (1

Skim KGSK (Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan) memberi peluang saya mengajar semula secara sambilan, dari sehari ke sehari mengikut keperluan sekolah. (2

Gembira berhadapan dengan pelajar-pelajar. Saya memang suka mengajar. Lebih gembira lagi jika perkara yang diajar itu dapat difahami oleh pelajar. Biarpun sedikit demi sedikit, itulah kepuasan bagi seorang guru. (3

Pengalaman lalu, mengajar selama 31 tahun amat membantu. Menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah, pembelajaran, murid dan guru menjadi mudah dan pantas. (4

Ini juga menambah pengalaman yang sedia ada. (5

Selepas berakhirnya waktu pembelajaran pada hari pertama “masuk semula” persekolahan, banyak yang meransang minda saya. (6

Pelajar-pelajar ini, anak-anak nelayan, boroh dan pekerja kampung memang memerlukan perhatian. Jika tidak mereka akan ketinggalan. (7

Saya kagum dengan kegigihan guru-guru melaksanakan pelbagai program kecemerlangan untuk membantu mereka ini. Biarpun kemajuannya perlahan, tetapi tidak ada erti putus asa. (8

Saya merasa terkilan kerana apa yang diajar pada hari ini tidak dapat dipelajari oleh semua. Sebahagiannya tidak hadir ke sekolah. (9

Saya terfikir, ruginya anak-anak ini kerana setiap hari ada sahaja pelajar yang tidak hadir. (10

Apakah sebabnya? Banyak yang boleh diduga, tetapi tidak semuanya betul:

- sekolah tidak penting?

- malas?.

- bekerja membantu keluarga?

- ponteng?

- takut dihukum?

- tidak ada wang tambang?

- bosan?

- putus asa?

- disiplin?

..................dan banyak lagi…

Sesuatu perlu dilakukan…(11