29.6.09

GIAN




Seorang sahabat telefon. Katanya, “Aku ni dah ketagih nak makan durian”.


Saya tidak fikir dia ketagih. Barangkali dia hanya rasa teringin yang amat.


Bila dengar perkataan “ketagih” disebut, automatis sesuatu yang negatif terbayang. Biasalah. Sebab ketagih selalu dikaitkan dengan gejala salahguna dadah!.


Ada yang menyebut ketagih sebagai “gian”.

“Ketagih” itu bukan dadah shaja. Banyak perkara. Jika penagih terasa seperti digoda, dipaksa dan didesak – ketagihlah agaknya tu.

Ketagih juga berkait rapat dengan “kebergantungan psikologi (kepada sesuatu) secara berlebihan”. ( Wah, susahnya nak faham!).

Ada macam-macam ketagihan, misalnya, ketagih:-

1. Dadah

2. Jenayah

3. Judi

4. Kerja

5. Komputer

6. Makan berlebihan

7. Membeli-belah

8. Nikotin

9. Pembedahan plastik

10. Permainan Video

11. Pornografi

12. Pandu laju

13. Perhatian

14. Riadah

15. Rokok

16. Wang

17.

dan senarainya memang panjang… Ada positif. Ada negatif. (Kelihatannya lebih banyak yang negatif!)

Apabila sudah ketagih dengan sesuatu, penagih tidak peduli lagi, negatif atau positif. Tdak peduli jika beri kesan negatif kepada kesihatan, kesejahteraan mental atau kehidupan sosial.

Ketagihan juga boleh menimbulkan kesan seperti:

a. Rasa bersalah

b. Malu

c. Takut

d. Putus asa

e. Gagal

f. Memencil diri

g. Rasa diketepikan

h. Bimbang

i. Gelisah

j. Terhina

k. Sugul

l. ...


Dan lain-lain … (dan kesannya negatif!)

Harap-harap sahabat saya itu sudah kenyang makan durian. Nanti dia ketagih manggis pula.


24.6.09

TAKUT ! TAKUT ! TAKUT !


Lintang pukang anak perempuan saya lari keluar bilik!. Dia ternampak kelibat sang lipas. Sejak kecil dia memang amat takut akan lipas. Dia phobia dengan lipas.

Ketakutan yang melampau dan melebihi keadaan biasa itu saya anggap phobia.
Pada tahap normal, rasa takut juga penting dalam hidup kita. Tapi biarlah takut pada benda-benda atau keadaan yang menasabah.

Kalau perasaan takut tu tidak ada, tak boleh juga. Kita mungkin berjalan di bumbung sebuah menara, makan makanan berracun atau bermain bolasepak di tengah lebuhraya.

Rasa takut pun ada gunanya. Rasa takut ni macam satu alat automatik yang muncul bila kita rasa ada bahaya. Beri amaran supaya kita waspada.

Tapi kadang-kadang rasa takut datang dengan melampau-lampau. Menjangkau jauh lebih dari batas normal. Sehingga tak terkawal.

Macam mana kita rasa kalau terserempak ular atau labah-labah? Kita mesti rasa takut kerana memang banyak ular dan labah-labah yang berbisa. Lipas taklah berbisa.

Tapi saya pernah terjumpa orang yang terlampau takut dengan ular. Dia sampai pening, loya, muntah, berpeluh dan pitam. Ini takut yang melampau. Padahal ular pun takut kepada kita melainkan jika terancam. Dan tak semua ular berbisa!.

Takut yang melampau ini juga tidak memberi sumbangan kepada keselamatan diri kita. Malah takut seperti ini datangkan kesusahan pula.

Mungkin terdapat beratus-ratus jenis ketakutan. Ada orang yang takut:

1.Air atau lautan.
2.Anjing.
3.Berucap di khalayak.
4.Deringan Telefon.
5.Doktor Gigi.
6.Jambatan,
7.Jarum.
8.Kegagalan.
9.Kelajuan.
10.Komputer.
11.Lebah.
12.Lelaki.
13.Memandu kenderaan.
14.Naik kapal terbang.
15.Penyakit.
16.Perkahwinan.
17.Perpisahan.
18. Seks.
19. Tempat atau bangunan tinggi.
20...
100...
Dan banyak lagi…

Adakah anda takut bersendirian?



Reblog this post [with Zemanta]

19.6.09

BERTANGGUH TAK MENJADI PADU


Jarang sekali saya menulis hal-hal politik. Maksud saya politik kepartian.

Saya ada sebabnya. Paling utama, saya tidak gemar membaca tulisan politik kepartian yang masing-masing seingkali “menegakkan benang basah” yang dengan spontan mereka hilang rasional.


Tuduh-menuduh, caci mencaci memang biasa tertulis di blog politik. Seringkali penulis mencari kesalahan orang lain tanpa menyemak kelemahan sendiri. Ini semakin hebat berlaku menjelang pilihanraya.


Namun tetap saya ikuti perkembangan politik, terutamanya politik negara kita ini.


Hari ini terdetik hati saya untuk menulis sedikit tentang politik. Sedikit sahaja. Dan mungkin sekali ini sahaja.


Mutakhir, tersebar pelbagai pendapat berkaitan KERAJAAN PERPADUAN. Saya ikuti perkembangannya sejak awal. Memang tepapar pelbagai pandangan, pendpat dan buah fikiran tentang kerajaan perpaduan itu; setuju dan tidak setuju; mengaku dan tidak mengaku; mahu dan tidak mahu; marah dan malu; bimbang dan ragu-ragu berserta sinis dan sindirnya. Dan ada juga yang hampas, caca-marba ‘entah apa-apa’.


Biarkanlah. Sesiapa sahaja boleh bersuara. Ini negara demokrasi. Namun, demokrasi tidak bertujuan menghancurkan.


Saya bagimana? Apa sahaja yang membawa kebaikan, dengan cara yang baik untuk perubahan yang baik untuk kemajuan yang baik untuk dunia-akhirat untuk kebaikan agama dan bangsa, BERPADULAH !.


Tanpa ada agenda tersembunyi, dengan niat ikhlas untuk PERPADUAN, maka SAYA SETUJU!


Carilah, pupuklah PERPADUAN itu. Binalah PERPADUAN itu. Bermuzakarahlah untuk mendapatkan PERPADUAN itu. Dan, kekalkanlah PERPADUAN itu.


Sekarang sudah tiba masanya!

Kerja bertangguh tak menjadi.


12.6.09

BI: HAIRANNYA; KUALA LIPIS; PULAU TIOMAN

1) HAIRANNYA:-
Memang hairan. Belajar Bahasa Inggeris selama sebelas tahun. Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Yang dapat hanya beberapa patah perkataan. Tambah tiga atau empat tahun lagi di IPT. Hendak bertutur dengan ayat-ayat ringkas pun tidak boleh dan terasa “malu-malu”!. Hairan!. Bukan semua. Kebanyakannya begitulah.


2) KUALA LIPIS:-
Selepas keluar Maktab, saya posting ke Kuala Lipis. Guru Besar ( belum ada gelaran ‘Pengetua’ pada masa itu) meminta saya mengajar Bahasa Inggeris, Tingkatan Satu. Berilah subjek apa pun, saya tidak menolak, meskipun opsyen saya Pengajian Melayu dan Pendidikan Seni.


Saya tidak ikut silibus BI pun. Tidak ada gunanya. Sebab, pelajar tidak tahu apa pun.(Setelah enam tahun mereka belajar BI?). Membilang pun one to ten sahaja. Bagaimana mahu ikut silibus?


Sayapun mengajarlah Bahasa Inggeris. Tahukah apa yang saya ajar?. Saya ajar membilang (dengan menghafal) one sampai one hundred. Yang lebih cerdik boleh membilang sampai one thousand. Saya ajar bbagaimana menyebut kiraan wang. Saya ajar menyebut nama-nama hari dan bulan dengan betul. Saya ajar greetings. Yang mudah-mudah sahaja. Saya ajar vocab (nama-nama benda yang terdapat di persekitaran kehidupan mereka) dan pronounciation (bezanya ejaan dan sebutan antara BI & BM). Saya ajar simple sentences. Itu sahaja. Kaedahnya? Senang sahaja. Latihtubi dan minta mereka gunakan dalam kehidupan seharian. Tidak ikut silibus pun.


Peperiksaan bagaimana? Apa peduli dengan peperiksaan!. Ikut silibus, tidak dapat apa pun dan gagal BI. (Sebab sejak Tahun Satu, silibus tidak dapat diikuti & mereka tidak pernah lulus BI pun). Apa gunanya. Membazir masa dan tenaga. Dalam keadaan gawat begitu, ajar apa yang mereka mampu dan perlu.


Kalau Jemaah Nazir atau JPN datang memantau, tahulah saya menjawabnya. Pokoknya saya mengajar BI, dan pelajar dapat gunakan apa yang saya ajar!.


3) PULAU TIOMAN:-
Saya selalu ke Pulau Tioman. Saya kagum dengan kesungguhan Pak Chik dan Mak Cik yang berusaha berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris dengan pelancong mat salleh yang menginap di chalet atau singgah di restoren yang mereka usahakan. Mereka mahu dan mereka boleh! Untuk survival!


Demikianlah Bahasa Inggeris. Demikianlah bangsa kita. Dalam keadaan terpaksa, kita boleh. Untuk survival, kita boleh.


Apakah dalam terpaksa dan diwajibkan, barulah kita boleh. Jika demikian, wajibkanlah! Paksalah. (SPM?)


Generasi sekarang, tidak dapat, sesungguhnya tidak dapat “merasa” perlunya Bahasa Inggeris itu. Sesungguhnya tidak ada rasa tekanan untuk survival! Dalam keadaan demikian, bagi mereka, apa perlunya Bahasa Inggeris!

Dan hairanya, ramai juga yang melancarkan pelbagai jenis "roket dan peluru penangkis"!

10.6.09

JANGAN SALAH LANGKAH

1. Menteri pelajaran sudah membuka ruang pendapat tentang wajib lulus Bahasa Inggeris pada peringkat SPM.


2. Posting dalam blog saya pada 11.03.2009 ada menyebut tentang hal ini.

( http://blogsimantanguru.blogspot.com/2009/03/bahasa-inggeris-wajib.html )


[posting saya itu telah mendapat comment daripada beberapa blogger seperti: su, Seri Suryati, P'Su, Hashimme, Anonymous...]


3. Menteri juga meminta pendapat umum tentang penekanan kepada penguasaan tatabahasa dalam P&P BI, bukan sekadar pengajaran untuk berkomunikasi sahaja.


4. Sudah tentu pelbagai pendapat daripada pelbagai pihak yang akan dapat dijadikan garis panduan untuk merumuskan keputusan.


5.Pasti ada pro dan kontranya.


6. Mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada khalayak mungkin suatu strategi untuk mengelakkan “salah langkah”.


7. Semua orang layak memberi pendapat. Tetapi pendapat terbaik ialah pendapat guru yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris. Apa pun, yang diharapkan ialah yang terbaik.


3.6.09

TERJUN SUNGAI

Hoorey!

Cuti!

Banyak baca blog rakan-rakan yang cerita pasal cuti. Cuti sekolah. Pergi melancong. Bawa anak-anak ke tempat-tempat peranginan atau balik kampung. Macam-macam aktiviti nak isi masa cuti.


Wah seronoknya!


Saya tak pergi bercuti.Tapi masih boleh cerita pasal cuti. Cerita cuti masa saya budak-budak dulu lah . (Ni cerita antik nih, 50 tahun dulu ampunya cerita.)


Di kampung, masa cuti memang ‘tak cukup’ hari. Taklah pergi melancong. Tapi seronok dengan kawan-kawan. Kalau ayah tak ke sawah atau ke laut, “cuti gila”lah hari tu, sebab tak perlu tolong ayah kerja.

Pagi-pagi, masa matahari tengah naik, kumpul kawan-kawan. Lima enam orang. Pakat-pakat nak pergi mana.


Sarapan pagi tak kisah. Apa yang ada yang mak buat. Jejemput pisang ke, rebus ubi atau keledek ke, “coconut pancake” ( lempeng kelapa lah!), tak kira, asal kenyang.


Aktiviti ikut sempat je. Tak payah rancang. Kalau lalu kat sungai, rasa nak mandi sungai, terjun je, mandilah ramai-ramai. Berkubanglah beberapa jam pun, sampai penat. Sampai keruh air sungai. Main-main, gurau-gurau, sakat-menyakat . Mana yang belum berkhatan tu, beranilah mandi telanjang (18 SX nih!). Yang dah ’potong’ tu taulah malu. Mandi pakai seluarlah. Nanti, kalau budak pompuan lalu, malulah!


Masa mandi sungai tu, kena jaga-jaga juga. Takut cikgu lalu. Kalau cikgu lalu, semua kena menyorok dalam semak. Tapi cikgu pandai, dia tau ada budak-budak mandi kalau dia tengok air sungai keruh. Kalau kena tangkap, siap. Naik sekolah, peritlah punggung. Cikgu dah pesan, jangan mandi sungai. Nanti lemas.

Kalau rasa nak memancing. Pakat-pakatlah memancing. Bawalah joran buluh. Umpan cacing. Puyu, haruan dan keli, banyak.


Kalau nak pergi melastik burung, boleh jugak. Pungut anak batu isi penuh kocek seluar kiri kanan. Buat peluru lastik. Bawa pisau ‘Nacet’ cap buaya. Bawa mancis sekotak. Senyap-senyap masuk belukar. Carilah pokok rendang. Tunggulah, merbah atau kelicap. Nasib baik punai hinggap. Dapat punai seekor dua tu kira lumayanlah. Yang cekap melastik, biasanya tak miss. Menggeleparlah merbah atau punai jatuh ke tanah.


Cepat-cepat sembelih dengan pisau nipis. Sebelum mati. Yang dah berkhatan sahaja jadi tukang sembelih. Baca bismilah molek-molek, Allahuakbar 2 kali (sebab burung ada dua kaki). Bila dah dapat hasil yang memadai, bolehlah makan burung panggang. Buang kulit, buang isi perut. Bakar. Buat unggun api, bila dah masak, makan ramai-ramai.


Huh, sedapnya.


Bila matahari dah tegak di kepala, pakat-pakat baliklah. Lambat balik, jawabnya kena belasahlah. Mak ayah marah sangat kalu balik lambat. Pergi bermain dengan kawan-kawan tak apa, tapi jangan balik lewat. Di rumah perlu tolong angkut air dari perigi isi dalam tempayan atau cari kayu api.


Kalau lewat juga kerana asyik berenang atau lastik burung , pandai-pandailah ambil hati mak ayah kat rumah. Masa balik tu, pungutlah pucuk paku di tepi belukar, secekak dua, buat lauk makan malam nanti. Atau bawa balik ikan haruan atau keli. Mak bapak taklah marah sebab si anak “ingat kat rumah”.


Esok masih cuti, pakat-pakatlah nak buat apa pulak.

Inilah cerita sehari dalam cuti sekolah, masa saya budak-budak dulu. Kalau nak cerita, takkan habissssss….


Wah seronoknya….