28.2.09

PPSMI: MANSUH SAHAJA...

1). Aduhai...Tampaknya sudah menjadi sukar dan rumit. Sebenarnya mudah. Mansuh sahaja. Mansuh bukan bermakna musnah!

2). Khalayak ramai mahu PPSMI dimansuhkan. Mansuhlah!

3). Apakah akan timbul suatu keaiban yang maha besar jika yang patut membuat keputusan itu mengambil tindakan memansuhkan PPSMI sekarang?

4). Mansuhkan! (Kini sudah tidak patut timbul: "Senang cakap dari buat", "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul", "Jatuhlah 'air muka'", "Jangan meludah ke langit", "Jangan menjilat ludah sendiri"). Mansuh sahaja.

5). Selepas PPSMI dimansuhkan, semua yang terlibat dengan gerakan pemansuhan perlu terus mengambil tanggungjawab membantu kerajaan merancang bagaimana pelajar-pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.

6). Pada masa yang sama semua yang terlibat dengan gerakan pemansuhan perlu juga membantu kerajaan merancang bagaimana Bahasa Melayu diletakkan pada tempatnya yang wajar.

7). Tanggungjawab ini lebih besar! Jangan nanti sampai kepada "yang dikejar dapat, yang dapat berciciran!"

25.2.09

HEBAT SUNGGUH!


ISU pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan isu baru, malah sekarang makin menjadi-jadi. Kes pergaduhan dan mencederakan rakan semacam sudah sinonim dengan alam persekolahan.

Antaranya:

1). Kereta guru dibakar.
2). Kereta guru dibaling ‘bom petrol’

Sebelum itu:

3). Isnin 16.2.09: Di Negeri Sembilan seorang pelajar Tingkatan Empat Meninggal dunia setelah dibelasah 24 lelaki dipercayai juga pelajar menggunakan besi dan topi keledar dalam kejadian jam 9.30 malam dipercayai akibat berebut teman wanita.

4). Selasa: 17.2.09: Di Kelantan, seorang pengawas sekolah menengah cedera diserang 10 pelajar yang tidak berpuas hati terhadap tindakannya menegur seorang daripada mereka kerana bising dalam kelas selepas waktu persekolahan. Serangan terhadap pelajar Tingkatan Empat itu berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika dia bersama seorang rakannya berjalan pulang pada hari terakhirnya di SMK tersebut kerana diterima masuk ke Sekolah Menengah Teknik.

5). Khamis: 19.2.09: Di Perlis, seorang pelajar Tingkatan Satu cedera parah pada pinggul akibat ditikam ketika diserang sekumpulan remaja berhampiran sekolahnya .

6). Ahad: 1.2.09 : Di Terengganu, seorang pelajar tingkatan empat cedera terkena libasan pedang ketika ‘pertarungan’ dan pergaduhan ‘ala samurai’ membabitkan 15 hingga 18 orang pelajar di padang sekolah berkenaan. Difahamkan, pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham ekoran kecurian sebiji bateri telefon bimbit. Sebelum ini pernah digemparkan dengan kejadian membaling bom mercun ke kawasan sekolah itu.

7). 1.10.09 : Di Perak, seorang pelajar lelaki hampir putus pergelangan tangan kiri akibat ditetak dengan senjata tajam dalam pergaduhan melibatkan 22 pelajar. Ia berpunca apabila salah seorang pelajar berada terlalu lama di dalam tandas dan apabila pelajar itu keluar berlaku pertengkaran dan cabar mencabar antara satu sama lain.

8). 29.8.08: Di Melaka, sekumpulan kira-kira 20 pelajar tingkatan empat dan lima bergaduh dengan menggunakan kerusi kayu di dalam kelas sehingga menyebabkan seorang pelajar cedera. Pergaduhan dikatakan berpunca daripada tindakan salah seorang pelajar tingkatan empat yang menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pelajar tingkatan lima di kantin sewaktu rehat pada kira-kira pukul 10 pagi.

Ini berita dan dapat “dihidu”oleh pemberita akhbar. Mungkin kejadian yang berlaku lebih banyak daripada yang dilaporkan.

Hebat sungguh pelajar-pelajar sekarang ini!

21.2.09

WOODBALL, POLITICS AND THE BLOG


Selepas bermain woodball petang tadi, saya bertemu seorang rakan lama yang datang dari Pekan untuk bermain woodball.


Banyak perkara yang kami bualkan setelah lama tidak berjumpa. Kami berbual tentang permainan woodball , pendidikan, rakan-rakan lama, politik dll.


Dia memberi tahu saya bahawa dia pernah membaca coretan saya di blogsimantanguru.


Katanya, kenapa blog saya tidak ramai pengunjungnya. Saya menyatakan bahawa memang tidak ramai orang yang suka membaca hal-hal yang berkaitan pendidikan.

Dia mencadangkan suapaya saya menulis hal-hal politik. Mesti ramai yang minat membaca. Katanya tulislah hal-hal yang kontroversi dan kritikan kepada parti pemerintah. Tentu akan ramai pengunjung blog saya.


Saya menyatakan bahawa saya tidak berminat menulis tentang politik dan isu-isu yang kontroversi begitu. Saya tidak mahu berkongsi sebagai penyumbang kepada perpecahan Bangsa Melayu di negara sendiri..


Tidak mengapalah kalau blog saya tidak dikunjungi. Biarlah saya memberi sumbangan dengan cara yang lain.

17.2.09

TOLONG CARI ORANG HILANG.



Tolong saya.

Saya mencari orang. Orang hilang. Hilang entah ke mana. Ke mana entah perginya. Perginya sudah lama. Lama tiada khabarnya. Khabarnya dia sudah kembali. Kembali ke daerah ini. Ini orang yang bahaya. Bahaya kepada kita. Kita cari sampai jumpa.

Oh siapa namanya.? Namanya si KITUL.!

Jika berjumpa, minta dia padamkan unggun api yang dinyalakannya itu!.

Tolong beritahu saya jika apinya sudah padam.

14.2.09

V day ?


Cinta dan kasih sayang tidak terikat dengan tarikh tertentu. Cinta dan kasih sayang sentiasa semarak sepanjang waktu.

11.2.09

KARPAL MAHU MENYAMAN, KAPAL SUDAH BERLANGGAR.


Selepas membaca berita utama tentang keberanian Karpal Singh yang berhasrat menyaman KDYMM Sultan Perak, saya membaca pula berita perlanggaran kapal tangki dan kapal kontena di perairan Dubai.


Kedua-dua berita itu tiada perkaitannya. Namun kedua-dua berita tersebut tetap berlegar-legar dalam fikiran saya.


Saya lebih teruja memikirkan hal berkaitan berlanggaran kapal itu.

Saya fikir perlanggaran kapal itu ialah kerana perubahan haluan. Perubahan itulah yang mengakibatkan kapal-kapal itu berlanggar. Dan perubahan itu ialah perubahn yang salah haluannya.


Demikianlah jika kita ingin melaksanakan sesuatu perubahan, misalnya di sekolah atau di mana-mana pun. Jika haluannya salah, maka akibatnya, padah.


Apatah lagi jika perubahan itu tidak dirancang dan “sekadar ingin berubah”. Malah lebih teruk jika perubahan itu tidak dikenalpasti matalamatnya. Lebih buruk lagi jika perubahan itu kerana "ada udang di sebalik batu".


Ingatan kepada sesiapa yang ingin melaksanakan perubahan: “Kita ingin berubah dan boleh berubah, tetapi jangan sampai tersalah haluan dan karam dalam gelombang nafsu yang tidak terkawal!”

8.2.09

Bual-bual Politik 'kotor' Dan 'masaalah' Pendidikan.

Jarang sekali saya menulis tentang politik. Tetapi saya sentiasa mengikuti perkembangan politik. Sengaja saya tidak mahu menulis tentang politik. Saya ingin mengurangkan bilangan orang Melayu yang memang suka bermain politik! Biarlah saya memberi sumbangan kepada negara melalui cara lain.

Petang tadi saya bertemu dengan seorang rakan (Cina). Dulu kami sama-sama mengajar di sebuah sekolah menengah. Kini dia Pengetua. Biasalah, bila bertemu banyak yang dibualkan. Topiknya sekolah dan pendidikan. Dia memberitahu bahawa menjadi pengetua berbangsa cina di sekolah yang majoritinya pelajar cina sama masalahnya seperti sekolah lain juga.

Senario politik negara tidak terlepas daripada skop perbualan kami. Kami bertukar-tukar pendapat berkenaan perkembangan politik tanahair.

Ada beberapa pemikiran yang menarik diutarakan oleh sahabat saya itu. Saya rumuskan begini:

1) Orang Melayu memang hebat berpolitik. Perkara-perkara yang lebih penting dalam kehidupan, tidak dipentingkan.

2) Orang cina berpolitik apabila keadaan memerlukan sahaja. Banyak perkara lain yang perlu diusahakan untuk mempertingkatkan mutu kehidupan.

3) Adalah lebih baik memikirkan soal survival menghadapi kegawatan. Krisis ekonomi global sudah mula mengancam kehidupan. Apakah perancangan dan persiapan kita? Apa yang boleh kita dapat dengan melayani karenah politik yang tidak berkesudahan?

4) Politik di negara ini sudah teruk tercemar. Kegawatan ekonomi sudah kian menular.

Saya juga mengutarakan pendapat saya.

Sampai sekarang, saya masih memikirkan apa yang diutarakan oleh sahabat saya itu.

3.2.09

BERGADUH LAGI...


Bergaduh lagi!

Itu yang mula-mula menerjah fikiran saya. Bunyi bergaduh itu menyentuh pancaindera saya petang tadi ketika saya sedang mencuci kereta. Sebelum ini, pergaduhan itu telah berlaku berulang kali. Biasanya tidak lama. Apabila masing-masing melarikan diri, dan bulu yang tegak meremang sudah kembali seperti sediakala, hilanglah jerit pergaduhan itu.

Apa yang berlaku di depan mata saya, seringkali tidak berlalu begitu sahaja. Terlekat sejenak dalam fikiran, minta dicerna.

Mengapa dua ekor kucing jantan itu seringkali bergaduh, bercakaran?. Seekor putih. Seekor hitam. Seperti hukum karma, yang hitam kelihatannya lebih ganas, macam tentera Israel!. Tetapi yang putih selalu memenagi perkelahian!.

Apakah yang menjdi rebutan? Ketika itu, tiada pula kucing betina yang mungkin hadirnya akan mencetuskan perebutan dan menaikkan syahwat untuk mengawan.

Jika kita gemar memerhati, haiwan kucing ini, banyak yang dapat kita ketahui. Dulu kucing anak saya beranak tiga, dua jantan seekor betina. Gembiranya anak saya dapat bermain-main dengan anak-anak kucing yang comel itu.

Selang beberapa hari selepas itu, anak saya menangis sedih. Dua ekor anak kucingnya mati. Leher anak kucing itu berlumuran darah. Ada dua lubang di leher, bekas tusukan (macam dracula). Saya pasti itu angkara si bapak kucing jantan, yang seringkali mencuri masuk ke rumah dan melarikan diri apabila terserempak.

Si bapak kucing jantan itu “membunuh” anak kucing jantan. Yang betina, tidak! Barangkali tidak mahu ada kucing jantan lain yang nanti akan mencabarnya sebagai “ketua wilayah takluknya”. Gila kuasa!

Seringkali juga kucing jantan itu “memancut” di tempat-tempat tertentu pilihannya. Barangkali juga si jantan itu sedang menanda, menetapkan “sempadan wilayah” dengan ‘trademak’ hancingnya supaya tidak diceroboh oleh jagoan lain.
(Mungkin semakin hancing, semakin berkuasa dan digeruni!. Kadang-kadang ada juga si jantan "memancut" ke tayar kereta. Itu mungkin untuk "mengeksport" kuasa dan untuk war-warkan "tanda kewujudannya").

Sebab itulah anak kucing jantan itu dibunuh kerana “menceroboh” wilayah takluknya. Sebab itulah juga, seringkali nekad berperang dengan kucing jantan putih itu yang juga sedang mengawal sempadan takluknya.

Gayanya seperti Israel menceroboh wilayah Gaza!

Untuk meleraikan pergaduhan petang tadi, saya sembur kedua-duanya dengan air! Mengganggu saya mencuci kereta! Janganlah hendaknya ada manusia yang meniru perangai kucing jantan ini!