Showing posts with label Ceringkas. Show all posts
Showing posts with label Ceringkas. Show all posts

28.9.08

Macam Emak Saya

Dia guru. Pagi itu, pada hari pertama selepas cuti panjang, dia berdiri di depan kelas Darjah Lima, dan membohongi pelajar-pelajarnya.

“Saya menyayangi kamu dan saya akan bersikap adil kepada kamu semua.” Guru perempuan itu bersuara sambil pandangannya melepasi tingkap.

Tetapi itu mustahil kerana di barisan belakang kelas, duduk seorang murid bernama Abdul Wahab.

Guru perempuan itu, telah memerhati akan gelagat Abdul Wahab. Dia suka bersendirian. Tidak suka bergaul dengan murid-murid lain. Bajunya agak comot, tidak kemas dan tampak dirinya tidak terurus. Sesungguhnya Abdul Wahab tidak disenangi.

Beberapa bulan seterusnya Guru perempuan itu agak teruja apabila membuat tanda pangkah dengan pen berdakwat merah di dalam setiap buku latihan Abdul Wahab. Agak ghairah dia menulis markah dengan angka kosong yang sengaja dibesarkan, berwarna merah dalam kertas jawapan Abdul Wahab. Oleh sebab Abdul Wahab seorang murid yang pendiam, maka tiada siapa pun yang peduli.

Apa pun yang dilakukan oleh Guru perempuan itu untuk mengajar murid-muridnya, Abdul Wahab, jika diberi peranan, pastinya menunggu giliran terakhir.

Ketika Guru perempuan itu ingin mencatat maklumat dalam kad 001 (Kad Maklumat diri murid) Abdul Wahab - pastinya selepas mencatat rekod murid-murid lain – ada sesuatu yang telah dicatat oleh guru-guru lain sebelumnya.

Guru Tahun Satu menulis: “Abdul Wahab ialah pelajar yang cerdik, mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi dan suka berjenaka dengan rakan-rakannya. Kerjanya kemas. Kelakuannya baik. Ramai yang gemar berkawan dengannya”.

Guru Tahun Dua menulis: “Abdul Wahab ialah pelajar yang pintar, digemari oleh rakan-rakan sekelasnya, tetapi dia menghadapi masalah kerana ibunya seringkali sakit. Barangkali keadaan ibunya itu akan mengganggu kehidupannya”.

Guru Tahun Tiga menulis: “Abdul Wahab ingin terus berusaha dengan bersungguh-sungguh tetapi kematian ibunya menjadikan hidupnya tertekan. Dia cuba berusaha sedaya upaya tetapi ayahnya tidak menunjukkan minat untuk membantu. Kehidupanya akan lebih tertekan sekiranya sesuatu tidak dilakukan untuk membaiki keadaan”.

Guru Tahun Empat menulis:”Abdul Wahab ketinggalan dalam pelajaran dan nampak tidak berminat bersekolah. Dia tidak suka berkawan. Kadang-kadang dia tidur di kelas. Dia pelajar lembam dan bermasalah.”

Barulah Guru perempuan itu tahu masalah Abdul Wahab.

Pada sambutan Hari Guru, ramai murid menghadiahi Guru itu dengan hadiah yang dibungkus cantik dan diikat riben. Abdul Wahab turut memberi hadiah yang dibalut kertas surat khabar lama kepada Guru perempuan itu.

Murid-murid lain ketawa apabila guru membuka balutan hadiah yang diberikan oleh Abdul Wahab, sehelai kain tudung putih dan seutas gelang diperbuat daripada plastik. Seluruh kelas terdiam apabila guru itu memakai tudung dan gelang yang diberikan oleh Abdul Wahab. “ Cikgu pakai tudung putih dan gelang tu, macam mak saya”, kata Abdul Wahab memberitahu guru itu. Kelihatan guru itu senyum, tetapi tidaklah begitu manis senyumannya.

Selapas murid-murid pulang, guru itu tidak dapat lagi menahan air matanya. Menangislah dia sepuas-puasnya. Esoknya dia hadir untuk mendidik; tampak manis dengan tudung putih dan gelang plastik itu.

20.9.08

BAGAIMANA AJAL SANG TUPAI


Seorang petani amat marah akan tupai yang makan buah mangga di belakang rumahnya. Hendak ditembak, senapang tiada. Diletak racun, tidak dimakannya. Hendak dikejar, tidak terdaya.

Hatinya marah, semarak membara. Geramnya menyebak dada. Dalam marahnya itu, sempat jua dia menyiapkan sebuah perangkap. Dipasang segera di dahan pohon mangga tempat laluan sang tupai.

Petang itu, hampir waktu maghrib, perangkapnya mengena. Seeokar tupai terlompat-lompat di dalam perangkap. Namun hatinya masih belum puas selagi dendam kesumat belum terlepas, selagi sang tupai belum terhapus.

Dalam marahnya, si petani menyirami badan sang tupai dengan minyak tanah. Melompat-lompat, berdecit-decit sang tupai dibasahi minyak. Tanpa banyak fikir lagi, sang petani mencucuh api ke badan sang tupai.

Menjerit sang tupai kebakaran. Akhirnya, dalam rontaannya, sang tupai melepaskan diri. Tidak keruan lompatannya, sepantas kilat memanjat bumbung atap nipah rumah si petani.

Malam itu, terang semarak lidah api menjilat rumah si petani hingga menjadi abu.

11.9.08

BAGAIMANA KASUT YB ?


Ketika Yang Berhormat Wakil Rakyat melangkah memasuki pintu keretapi, kasut yang di kaki kirinya terlucut dan terjatuh di tepi landasan. Tidak sempat diambilnya kasut itu kerana keretapi sudah mulai bergerak. Penumpang keretapi kehairanan melihat YB itu dengan selambanya menanggalkan kasut yang sebelah kanan dan mencampak kasut itu ke tepi landasan, berhampiran kasut yang terlucut. Seorang penumpang bertanya kenapa dia berbuat begitu. YB berkata: “Jika ada orang miskin yang menemui kasut itu, tentulah dia boleh memakainya”.

10.9.08

BAGAIMANA LEMBU TERLEPAS?


Ada lembu jatuh ke dalam perigi yang dalam (tetapi cetek airnya). Menjeritlah sang lembu, berjam-jam lamanya, sementara si petani, tuannya itu memikirkan apa yang patut dibuat. Akhirnya, dia dapat membuat keputusan. Biarlah lembu itu mati. Lembu tua. Tidak berbaloi diselamatkan. Timbus sahaja perigi itu. Petani itu pun meminta pertolongan raka-rakan sekampungnya. Datanglah mereka membawa cangkul dan penyodok tanah. Mulalah mereka menimbus perigi yang di dalamnya sang lembu tua itu.

Semua haiwan di ladang itu amat marah dengan kejadian itu. Lembu itu sahabat mereka. Mereka tidak berdaya untuk membantu. Mulanya apabila sang lembu tahu dia akan ditimbus hidup-hidup, menjeritlah ia sekuat-kuatnya. Kemudian, dia terus senyap - menghairankan petani-petani di situ. Selepas penat menimbus perigi dan lembu tua itu, petani-petani itupun menjenguk ke dalam perigi, dan yang dilihat mereka, menimbulkan kehairanan yang amat.

Setiap cangkulan tanah singgah di belakangnya, sang lembu tua melakukan sesuatu yang menakjubkan. Sang lembu akan segera menggerak-gerakkan badannya setiap kali terasa tanah menimpa belakang. Sang lembu akan memijak tanah yang semakin menimbusi perigi itu. Begitulah dilakukannya berulang-ulang, setiap kali timbunan tanah menimpa belakangnya. Akhirnya semua petani kehairanan. Lembu tua itu, sampai ke birai perigi di atas timbunan tanah dan berjalan menuju ke arah rakan-rakannya.

Dalam kehidupan kita, seringkali akan ditimbuni masalah – pelbagai masalah. Tetapi setiap kesukaran boleh menjadi batu loncatan. Apa yang berlaku tidaklah sepenting bagaimana kita bertindak mengatasinya. Kita boleh menghadapi pelbagai masalah hanya dengan tidak berputus asa.!

28.8.08

BAGAIMANA RAMA-RAMA TERBANG....


Dia terjumpa sebuah kepompong rama-rama tergantung di dahan. Pada suatu hari dia melihat ada lubang kecil pada kepompong itu. Beberapa jam dia asyik memerahatikan rama-rama itu berhempas-pulas untuk keluar melalui lubang kecil itu. Selepas itu, dia melihat rama-rama itu tidak bergerak lagi.
Dia ingin membantu sang rama-rama. Diguntingnya kepompong itu, dengan harapan mudah bebas daripada kepompongnya.
Sesungguhnya, dengan mudah, rama-rama itu dapat keluar. Tetapi badan rama-rama itu masih kelihatan membengkak. Sayapnya juga kelihatan masih kecil dan lemah.
Dia terus memerhati rama-rama itu. Dia mengharapkan pada bila-bila masa sahaja, sayap rama-rama itu akan membesar dan dapat menampung badannya yang akan mengecut.
Tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku. Malah rama-rama itu menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan merayap sahaja dengan badannya yang bengkak dan sayapnya yang kecil. Rama-rama itu tidak pernah berupaya untuk terbang.
Dalam belas kasihan dan keikhlasan untuk membantu, dia tidak faham bahawa kepompong yang sempit itu dan kudrat serta susah-payah rama-rama itu untuk keluar daripada lubang halus kepompongnya adalah kententuan ciptaan Allah. Usaha rama-rama itu akan memaksa cairan daripada bandannya mengalir ke arah pembesaran sayapnya. Dengan cara itu badannya akan mengecut. Hanya dengan demikian, rama-rama itu barulah bersedia untuk terbang setelah membebaskan dirinya daripada kepompong itu.

29.7.08

PENJENAYAH: TEGAR TEGAK KERAS


Penjenayah Viagra: Tegar, Tegak, Keras.

Si XYZ didapati bersalah. Mencuri lima puluh ribu pil viagra. Ketika merumuskan keputusan, hakim berkata adalah jelas pesalah memang seorang penjenayah tegar. Keadilan perlu ditegakkan. Tiada pilihan lain melainkan dia dikenakan hukuman keras.

(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati)

27.7.08

CERINGKAS: ULAS-ULAS NASI

Nasi:

Suatu petang, Awang melihat anaknya memungut ulas-ulas nasi di lantai dan menelannya satu demi satu. Awang amat sedih….


(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati)

25.7.08

CERINGKAS: PEMBEDAHAN


Pembedahan
Awang menjalani pembedahan pundi-pundi kencing. Doktor tertinggal secebis kain di dalam pundi kencingnya. Doktor berjanji kesilapan itu tidak akan berlaku lagi. Pembedahan dijalankan semula untuk mengeluarkan kain tersebut. Kali ini doktor tertinggal dua cebisan kain dan sebilah gunting dalam pundi kencing Awang. Doktor berjanji kesilapan itu tidak akan berulang lagi. Awang dibedah lagi untuk mengeluarkan dua cebisan kain itu dan gunting . Pada pembedahan ini, doktor tertinggal tiga cebisan kain dan sebilah pisau. Dia berjanji kesilapan itu tidak akan berulang lagi…Satu pembedahan lagi akan dilakukan…

(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati)

24.7.08

Ceringkas: Semut Terbakar


Segerombolan semut berarak ke arah sehelai daun yang baru gugur. Semut-semut itu akan menghancurkan daun dan memindahkannya ke dalam sarang di tepi rumah. Daun itu akan dijadikan simpanan makanan. Sekumpulan budak lelaki bermain api dan membakar sarang semut itu. Matilah semut-semut itu. Di dalam rumah, dua orang perempuan sedang berbual tentang apa yang betul dan apa yang tidak betul. Kemudian rumahnya terbakar menjadi abu.

(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati)

23.7.08

Ceringkas: Pulang


Pulang ke kampung

Taraf hidup di Kuala Lumpur semakin melonjak. Apakah Awang masih sanggup tinggal di bandaraya itu. Awang mengambil keputusan berhenti kerja. Dia mahu segera pulang ke kampung. Diapun berkemas. Ketika itu dia terjumpa sekeping gambar hitam-putih. Gambar dirinya sewaktu kecil, duduk di ribaan ayahnya. Melihat gambar itu, Awang menahan sebak kerana tidak tertahan rasa hendak menangis. Akan pulangkah dia ke kampungnya…


(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati)

Ceringkas: GUSAR


GUSAR

Seorang petani tua di Kampung Raja sangat gusar. Anak semaiannya lambat membesar. Satu demi satu dia mencabut anak padi yang baru tumbuh di tapak semaian. Dia pulang keletihan.
“Saya penat hari ini. Saya usahakan supaya anak semaian lebih cepat membesar. Harap-harapnya kita tidak perlu lagi membeli beras yang semakin mahal” dia memberitahu keluarganya.
Tergesa-gesa anak lelakinya ke sawah untuk mengutip hasilnya. Melihat semaian padi yang telah layu, di berkata kepada dirinya: benarlah kata ayah, cepatnya membesar padi ini. Tidak sempat dituai sudah kecut dan layu.
Dia pulang ke rumah dan terasa amat lapar.
(cerita ini hanya rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang masih hidup atau yang sudah mati)

22.7.08

Ceringkas:_Oh Cikgu


Cerita Ringkas (Ceringkas)


“Awak cikgu?” dia bertanya. “Siapa yang awak ajar?”

“Pelajar pintar semuanya,” sambil tersenyum saya memberi jawapan.

“Er… maksud saya, bangsa mereka?” dia bertanya lagi.

“Kebanyakannya, orang mendatang, terpaksalah saya belajar banyak bahasa

supaya saya dapat terus bekerja.” saya menjawab dan senyum lagi.

“Oh!”

Ada juga Bangla dan Kampuchea..” saya terus memberitahu.

“Ah…”

Myanmar dan Nepal pun ada..” saya maklumkan sambil senyum.

“Uh…”

“Orang Indon pun ramai juga..” dengan suara yang lebih jelas saya khabarkan.

“Ya.. ke begitu… tapi tak ada lagi ke orang Melayu yang hendak diajar?” dia bertanya dan terus pergi.

Tidak sempat saya memberi jawapan.


{cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan mereka yang masih hidup atau yang sudah mati}