1.Merdeka!, Merdeka!, Merdeka!, Bukan setakat tiga kali teriakan itu sahaja. Berkali-kali, entah berapa kali.
2.Itu Nostalgia. Saya masih terdengar-dengar suara teriakan itu. Suara budak-budak sebaya saya (6 – 10 tahun), setiap kali menyambut ulangtahun kemerdekaan negara.
3.Meriahnya ketika itu, kami budak-budak sanggup berjalan kaki sejauh tiga batu, teruja untuk melihat 'merdeka', yang disambut di bandar setiap 31 Ogos.
4.Sambutan dua hari dua malam, biasa. Kadang-kadang berlarutan sehingga 3 atau 4 hari.
5.Paling menarik perarakan kereta berhias. Selain perarakan pertunjukan kebudayaan pelbagai kaum, pelbagai replika aneka bentuk diarak dengan kenderaan yang siap dihias.
6.Hasil pertanian seperti buah-buahan, haiwan ternakan dijadikan replika besar dan diarak mengeliling bandar. Bergemerlapan dipancar cahaya neon. (Di kampung cahaya pelita sahaja!)
7.Kenderaan dihias dan dibentuk berupa kapal, kereta, lori, kereta kebal, unta, beca, ikan dan sebagainya.Yang paling cantik akan menang pertandingan dan dapat hadiah.
8.Di padang besar didirikan pentas bangsawan, wayang kulit, pancaragam, nyanyian, berbalas pantun dan sebagainya yang dipersembahkan oleh pelbagai kaum. Riuh rendah dengan aneka bunyi-bunyian.
9.Ada pertunjukan pencak silat, kuda kepang, joget, zapin dan macam-macamlah.
10.Pelbagai tema pertunjukan, kebanyakannya berkaitan perjuangan dan patriotisma membebaskan negara dari belenggu penjajahan.
11.Seantero kampung keluar berhimpun di bandar sejak pagi hingga ke larut malam.
12.Pasukan polis dan tentera membuat pertunjukan berarak dan berkawad serta pancaragam. Cantiknya ,ketika itu apabila semua lampu di padang dipadamkan. Hanya tinggal "lampu" yang dipakaikan pada tangan anggota polis dan tentera yang sedang mengadakan persembahan. Keseragaman pergerakan "lampu-lampu" itu dalam kegelapan itu, memang mengasyikkan!
13.Sebagai budak-budak ketika itu, semuanya mengasyikkan. Semuanya hendak dilihat.
14.Ketika itu, bila terdengar laungan "Merdeka!" dari pembesar suara, kami juga akan laungkan "Merdeka!", tidak kira berapa kali, sambil menggengam tangan dan luruskannya tegak ke atas! atau berdiri tegak tanpa bergerak sehingga lagu "Negaraku" selesai berkumandang!
15.Ketika tenggelam dalam keseronokan itu, tidak pula terfikir sejauh mana penghayatan kemerdekaan sebenarnya.
