Showing posts with label isu. Show all posts
Showing posts with label isu. Show all posts

25.11.09

SBP? - NERACA PEMILIHAN.



  • Selepas keputusan UPSR diumumkan, beberapa orang kenalan menelefon memaklumkan anak mereka mendapat 5A.
  • Yang menelefon juga, bertanya kalau-kalau saya dapat membantu mereka supaya anak mereka dapat ditempatkan ke mana-mana sekolah berasrama penuh.
  • Saya mengucapkan tahniah kerana kejayaan anak-anak mereka. Tentang membantu mendapatkan tempat di asrama penuh itu, tidak pula saya janjikan apa-apa.
  • Tahun 2009: Murid yang mendapat semua A dalam UPSR berjumlah lebihkurang 40,000.
  • Daripada jumlah itu, yang akan diterima ke sekolah berasrama penuh lebihkurang 6,000. Pastinya ramai yang tidak akan berpeluang.
  • Awal tahun 1980-an, anak saya juga mendapat 5A dalam UPSR. Pada masa itu tidak ramai yang mendapat 5A. Di tempat anak saya bersekolah, hanya 4 murid yang mendapat 5A.
  • Sekolah berasrama penuh pun tidak banyak pada masa itu.
  • Konsep penubuhan sekolah berasrama penuh pada masa itu ialah bagi menampung pelajar-pelajar miskin yang layak berdasarkan keputusan UPSR.
  • Walaupun anak saya mendapat 5A tetapi dia tidak ditawarkan ke sekolah berasrama penuh.
  • Tiga rakannya yang mendapat 5A ditawarkan ke asrama penuh. Kemudiannya saya tahu ada juga yang mendapat 4A1B ditawarkan di sekolah itu.
  • Saya memujuk anak saya dengan menyatakan bahawa rakan-rakan mereka itu patut diberi peluang kerana pendapatan ayah mereka (petani dan nelayan) lebih rendah daripada pendapatan saya (guru). Sesuailah dengan konsep penubuhan asrama penuh.
  • Syukur Alhamdulillah, akhirnya anak saya juga berjaya walaupun tidak ke sekolah berasrama penuh. Dapat juga dia sampai ke peringkat lebih tinggi, malah melebihi daripada sesetengah rakannya yang ditawarkan ke sekolah berasrama penuh.
  • Ketika menjadi pengetua di sebuah sekolah berasrama penuh, saya semakin insaf bahawa golongan pendapatan rendah memang patut diberikan tempat. Insaf juga saya melihat ada penjaga yang menunggang motorsikal kapcai sejauh 60 km. membawa anaknya untuk mendaftar di sekolah itu.
  • Apakah sekarang ini golongan itu berpeluang lagi dan dipilih ke sekolah berasrama penuh?
  • Setelah bersara), pada tahun lepas saya menolong seorang kenalan menghantar anaknya ke sekolah berasrama penuh (dia tidak mempunyai kereta untuk membawa segala keperluan anaknya itu).
  • Saya terkejut apabila melihat lebih ramai yang menghantar anak-anak untuk mendaftar dengan kereta yang “menjalar dan berjenama”! Saya fikir pendapatan bulanan mereka mungkin mencecah RM 10,000 atau lebih.
  • Apakah Kementerian Pelajaran sudah mengubah konsep asalnya dalam pemilihan ke asrama penuh? (Konsep Pendemokrasian pendidikan?)
  • Atau memang tahap hidup seluruh rakyat Malaysia sudah melepasi garis kemiskinan?
  • Saya mengucapkan tahniah , berdoa serta berharap agar anak-anak miskin yang berjaya melepasi “neraca” pemilihan (dan memang bernasib baik) ke sekolah berasrama penuh itu agar tidak merasa “lebih miskin” apabila berhadapan dengan rakan-rakan mereka yang “lebih mewah” itu.

6.11.09

PGSM: Mohon Maaf.




(Gambar salinan surat jaminan bertulis yang diberikan oleh PGSM untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik semua tuduhan terhadap Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.)

Bkt Mertajam (6 Nov 2009): Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menunggu sehingga jam 7 malam ini (6 November 2009) untuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menunaikan janji menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya melalui permohonan maaf secara terbuka seperti yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.

Posting ini dipetik daripada blog "Minda Tajdid"

7.7.09

n@m@n dan master

n@m@n (http://naman0807.blogspot.com)selalu berkunjung ke blog saya. Selalu juga menulis dalam shoutbox di blog saya.

Di bawah ni saya paste ‘perbualan’ saya dengan n@m@n.


7 Jul 09, 15:51
n@m@n: salam..apa pendapat mantan..sejauh mana kepentingan master dlm bidang kita..sbb sy tgk rmai mbr2 dh further kpd master

7 Jul 09, 16:01

mantan: n@m@n, Itu satu persoalan yang bagus. Ada pro dan kon nya. Banyak yang boleh saya bagi pendapat ttg tu. Boleh buat satu posting baru dlm blog ni. Cuma utk saat ini saya nak jawab camni je n@m@n. ... :...."Tuntutlah Ilmu walaupun ke Negara China".

7 Jul 09, 16:26
n@m@n: a'ah..betul tu..cuma nk tau apa benefit dia..kt sekolah sy ada cikgu pHD..hehe..dh nk pencen bru naik 44..jgn lupa buat post ye..hehe .

n@m@n Tanya ttg benefit buat master. Saya faham tentang benefit apa yang n@m@n maksudkan tu.

Benefitnya tetap ada. Beberapa tahun mencari dan menambah ilmu, tentu ada benefitnya. Hanya yang mengalaminya saja yang tahu.

Banyak pro dan kontra tentang faedah yg guru dapat kalau buat master. Sampai sekarang pun tetap jadi isu. Tapi ramai juga cikgu yg further study.

Anak saya yg jadi guru pun pernah minta pendapat tentang hasratnya nak buat master matematik. Saya galakkan dia buat.

Nak cerita ttg DG berapa utk master dan phd pun, apa gunanya. Mereka yang bertungkus lumus belajar, tetap menunggu benefit yang diharapkan, seperti menunggu buah yang tak gugur.

Saya pernah menghadiri temuduga untuk buat master. Ketika itu usia hampir 45 tahun. Baru beberapa tahun jadi Pengetua.

Yang menemuduga saya, salah seorangnya ia Prof. M***** A**** S****.

Saya masih ingat, selepas hampir setengah jam ditemuduga, Prof. Itu berkata “ Awak ni dah tua, bagilah peluang orang-orang muda di luar sana buat master”. Temuduga saya tamat di situ. Saya tak tahu kenapa Prof tu berkata begitu. Dan saya tak berjaya nak buat master.

Kalau ada peluang, sekarang pun saya nak buat master. Mungkin ada benefitnya.

Kepada rakan-rakan guru, saya bersetuju kalau semua orang dapat buat master. InsyaAllah ada benefitnya.

16.4.09

TO X IC



TOKSIK I:
1. Tidak kita sedari, setiap hari tubuh kita dicemari bahan toksik!

2. Udara, bahan makanan dan persekitaran tercemar , dan tanpa kita sedari tubuh kita menjadi stor simpanan pelbagai penyakit.

3. Keadaan ini diambil peluang oleh pembuat pelbagai jenama ”ubat”, ”alat”, ”suplemen” dan ”makanan” nyah-toksik.

4. ”Nyah-toksik” sudah menjadi satu industri. Iklan pelbagai jenama disebarkan seluas-luasnya.

5. Orang kampung juga sudah mengerti apa itu toksik mengikut kefahaman yang diberi oleh pengiklan.


TOKSIK II:
1. Tidak kita sedari, setiap hari perasaan kita juga dicemari toksik. Toksik dalam perhubungan!. Toksik jenis ini lebih berbahaya!.

2. Orang lain boleh mencemari perasaan kita dengan pelbgai cara sehingga ada jiwa yang tercedera.

3. Ada yang menanggung perasaan sehingga menjadi sedih, stres dan murung berpanjangan.

4. Toksik dalam perhubungan ini boleh berlaku di mana-mana, di rumah maupun di tempat kerja.

5. Ada seorang ibu memberi gelaran ”anak gajah” kepada anak perempuannya, berusia lima belas tahun. Dan anaknya itu obesiti!.

6. ”Pergi panggil anak gajah, ajak makan sama”, kata si ibu mengarahkan anak lelakinya memanggil si kakak. Aduhai, itu toksik menyerang jiwa, merundung perasaan.

7. Itu sekadar satu contoh yang saya lihat dan dengar sendiri.

8. Ada yang mengalami toksik pencemaran dalam perhubungan (rumahtangga, keluarga, di tempat kerja, dalam masyarakat dll.) ini bertahun-tahun lamanya. Penderaan emosi!. Namun ada yang sudah menjadi lali.


Kita manusia berhak hidup sihat sejahtera dan bahagia. Kita mahu diri dan perasaan kita bebas-toksik. Mana penawar nyah-toksiknya?

11.3.09

BAHASA INGGERIS: WAJIB?


Agaknya apa yang akan terjadi jika:

Tiga tahun akan datang Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus dengan kepujian sebagai syarat mendapat sijil bagi peperiksaan PMR, SPM dan STPM?

7.3.09

PPSMI: Pendirian saya.

1) Saya setuju PPSMI dihapuskan.

2) Saya setuju ada gerakan pembasmian PPSMI.

Tetapi:
3) Saya TIDAK SETUJU gerakan pembasmian PPSMI dilakukan dengan cara DEMONSTRASI JALANAN dan MELANGGAR UNDANG-UNDANG.

4) Saya setuju PPSMI dihapuskan bukan kerana PPSMI akan menghakis Bahasa Melayu tetapi PPSMI menyebabkan MURID-MURID LUAR BANDAR KETINGGALAN dalam matapelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris!.

5) Saya setuju PPSMI dihapuskan bukan kerana saya dipengaruhi oleh mana-mana parti politik atau kerana saya terpengaruh dengan orang-orang yang gila kuasa.

6) Saya berpendirian bahawa memansuhkan PPSMI bukan bermakna memusnahkan PPSMI.

5.3.09

SITUASI DAN DILEMA

Hari ini saya diminta bertugas sebagi guru (GSK)* menggantikan guru yang bertugas di luar sekolah..

Saya catatkan satu situasi yang dialami oleh pelajar dan guru:

MASA :11.20 pagi


TARIKH: 05.03.09

TEMPAT: SMK Felda.

KELAS: Tingkatan 4 Sains

PELAJAR: Perempuan: 13, Lelaki: 2

AKTIVITI: Penilaian Tahap 1

BAHAN : Physics Question Paper 2 dan Helaian panduan rumus (Dwi-bahasa)

GURU: Guru Bahasa Melayu sebagai Guru ganti, menggantikan guru Physics yang bertugas di luar sekolah.

KERTAS SOALAN: Seluruhnya dalam Bahasa Inggeris.

Guru mengedarkan kertas soalan dan kertas kosong untuk menjawab soalan bahagian B.

DIALOG
Guru: You can start now.

Murid 1: Cikgu, boleh jawab dalam BM?

Murid 2: Cikgu, jawab dalam ‘mix dewi’ boleh tak? (Maksudnya dwi-bahasa)

Guru: Thank you for the questions. Can you answer in English?

Pelajar-Pelajar : No.

Guru: Do you like to answer in English.?

Pelajar-pelajar: No

Guru : Try your best to answer in English but you can still answer in BM.

Situasi Ketika Ujian :
Pelajar gelisah. Ada yang menguap. Ada yang melentokkan kepala di meja.

Seorang pelajar datang ke meja guru dan bertanya: Ini apa maknnya dalam BM?. Dia menunjuk kepada Question 7(a)(iii): What is meant by: Equilibrium of forces.

Guru: I am sorry, I cannot give you the answer. If I give you the meaning, that means I have answered the question for you.

Majoriti pelajar menjawab dalam Bahasa Melayu. Lima pelajar menjawab dalam dwi-bahasa. Seorang pelajar masih belum menjawab walaupun masa sudah berlalu 1 jam.

Selepas ujian tamat: Ramai yang masih dilema…
tak rasa mana tau…

*GSK = Guru Simpanan Kebangsaan.

28.1.09

HIPOTESIS ANAK REMAJA MENJADI DEWASA


Pada kali ini ingin saya tulis tentang persekitaran tempat belajar dan pengaruhnya kepada guru.

Suatu ketika selepas mesyuarat PPD bersama GB dan Pengetua, seorang sahabat menyatakan sesuatu tentang tingkahlaku dan gelagat ahli-ahli ketika bermesyuarat pada hari itu.

Saya tidakiah mengiyakan pendapat sahabat saya itu. Bagi saya pendapatnya itu belum tentu benar.

Memahami maksud sahabat saya itu, saya dapat membuat hipotesis sahaja; bukan rumusan. Untuk menentukan kebenarannya dan rumusannya, hipotesis ini perlu kajian dan pembuktian.

Hipotesis I: Guru-guru di sekolah rendah berkelakuan "keanak-anakan" kerana dipengaruhi oleh persekitaran murid-murid (kanak-kanak) yang diajar oleh mereka.

Hipotesis II: Guru-guru di sekolah menengah berkelakuan "keremajaan" kerana dipengaruhi oleh persekitaran murid-murid (remaja)yang diajar oleh mereka.

Hipotesis III: Tenaga pengajar di IPT berkelakuan "kedewasaan" kerana dipengaruhi oleh persekitaran penuntut-penuntut (dewasa) yang diajar oleh mereka.


Benarkah persekitaran tempat tugas mempengaruhi gelagat dan tingkahlaku kita?

18.11.08

ISU SENSITIF: BABI


Semua orang tahu agama Islam mengharamkan babi.

Tetapi islam tidak melarang orang bukan Islam menternak atau makan daging babi.


Di negara kita, isu yang berkaitan dengan babi memang sensitif. Berkaitan ini, sensitiviti orang Melayu memang diketahui oleh rakyat Malaysia yang lain.


Bagi orang Melayu, babi memang najis dan jijik. Sedangkan melihat gambar babi sudah meloyakan apatah lagi jika melihat daging babi , bangkai babi atau isi-perut babi..


Tetapi bagaimanpun jijik dan loyanya, orang Melayu tetap memyembunyikan rasa jijik dan loya mereka kerana “menjaga hati” rakan-rakan mereka rakyat Malaysia yang makan daging babi. Barangkali kerana itu juga, perkataan babi itu, suatu ketika dahulu ditukar kepada khinzir; bimbang sebutan perktaan babi itu menjadi sensitif kepada pendengaran orang lain.


Barangkali ini juga dikatakan toleransi budaya antara kaum di negara kita.

Tetapi sesetengah rakyat Malaysia masih belum cukup diajar tentang sesitiviti orang Melayu tentang babi ini. Malah ada yang sengaja menduga sensitiviti orang Melayu dengan tindakan-tindakan yang provokatif menggunakan babi sebagai alatnya..


Semoga tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini hanya kerana babi.

BELUM SELESAI ISU PPSMI

Isu PPSMI belum selesai; mungkin tidak akan selesai.


Ada pendapat yang pro dan kontra. Sesiapa sahaja boleh memberi pandangan, bergantung kepada penilaian dan persepsi masing-masing.


Saya ada pendapat juga:


Perancangannya: Cetusan idea PPSMI bermula Oktober, 2002. Perancangaan agak mendadak. Kurang penelitian.


Pelaksanaannya: Mula dilaksanakan pada Januari 2003. Terlalu awal selepas cetusan idea. Semua belum bersedia.


Keberkesanan Proses Pelaksanaannya: Perbezaan ketara antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar. Banyak masalah di semua peringkat.


UPSR: Analisis yang belum lengkap. Agak tergesa-gesa. Analisis bukanlah bukti keberkesanan pelaksanaan PPSMI.


PPSMI diteruskan? Boleh diteruskan dengan "overhaul" serta perubahan perancangan dan strategi.


PPSMI dibatalkan? Boleh dibatalkan dengan syarat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus dan syarat pensijilan pada peringkat UPSR, PMR, SPM dan STPM. Ini dilaksanakan setelah dibuat perancangan yang teliti.

10.11.08

Nasi Lemak O Nasik Lemak

Syukur Alhamdulillah, harga minyak turun. Ramai yang lega. Tetapi ramai lagi peniaga yang tidak pernah merasa lega.
Pagi tadi saya membeli nasi lemak yang sudah siap dibungkus. Kuih-muih untuk sarapan memang banyak dijual di situ. Pembuat kuih menghantar kuih.. Peniaga mengambil dalal.
Nasi lemak sebungkus, seringgit. Sebut seringgit, ramai yang kata murahlah.
Bagi saya yang menentukan murah mahalnya ialah kualiti dan kuantitinya.
Saya bukan berkira sangat. Tapi nasi lemak sebungkus yang pagi ini memang tidak memuaskan hati. Melihatkan kuantitinya, sebelum makan sengaja saya sukat.
Nasinya: 5 sudu (tentunya beras paling murah) . Sambalnya: lebihkurang setengah sudu. Ikan Bilis: Seekor belah empat. Ada 6 (Ertinya- satu ekor setengah). Timun: setengah hiris (Sekeping dibelah dua). Telur: Satu perempat biji.(Tentunya Gred C - Mujurlah tak ada gred D).
Mahal atu murah?
Nasi lemak yang pagi ini tidak terasa sedapnya. Tidak terasa nasinya. Tidak terasa lemaknya!
Kalau nelayan nak turun ke laut, nak makan nasi lemak, berapa bungkus nak dimakan?

5.11.08

MENGGODA

Selepas membeli barang di pasaraya, terus pulang. Tinjau blog. Ada entry nak saya masukkan dalam blog ini.

Tadi, sampai di tingkat dua pasaraya, terkejut juga melihat gelagat pekerja di pasaraya tersebut. Nak ditegur, nanti dikata "busy-body", jaga tepi kain orang atau cemburu.

Wah, bukan main lagi pekerja-pekerja perempuan (Remaja/Melayu/Islam) melayani, bermesra, menggoda "mat bangla" dan "mat nepal" yang turut bekerja di situ !. Agaknya kalau boleh, mereka tu nak duduk atas riba "mat bangla" dan "mat nepal" tu. Tak ada rasa segan-silu kepada pengunjung. Cuit-cuit, sentuh-sentuh, pegang-pegang sambil gelak ketawa dah jadi mainan. Pekerja perempuan tu nampak macam "kebulur" sangat.

Itu yang dapat dilihat. Yang tidak dapat dilihat, entah macamana.

Kalau dah macam tu, tak dapatlah nak menyalahkan guru yang mendidik (masa mereka tu bersekolah dulu).

Teringat saya berita tentang gadis-gadis remaja yang dilarikan oleh "mat indon" ke Lombok, Indonesia.

3.11.08

HARGA BARANG = HARGA MINYAK

Harga minyak turun. Harga barang keperluan harian bagaimana?

Harga barang kawalan memang sudah turun. Selaraskah penurunannya dengan turunnya harga minyak? Di pasaraya, bagaimana? Di kedai runcit pula bagaimana?

Berkaitan turunnya harga barang ini, saya mendapat pengetahuan / pengalaman yang menarik. Saya pergi ke  kedai runcit tempat selalu saya membeli barang. Jika ke kedai saya selalu bandingkan harganya.. 
Semenjak harga minyak naik, harga sebungkus barang  yang saya beli harganya RM 11.20 (harga asal cuma RM 9.90). Apabila kali pertama harga minyak turun, harga barang yang sama turun kepada RM 10.90. O.K lah semua orang gembira, harga turun. 

Beberapa hari sebelum diumumkan harga minyak akan turun lagi, saya dapati harga barang  yang sama tiba-tiba naik kepada RM 11.30. lebih mahal daripada harga asal sebelum harga minyak turun. 

Apabila diumumkan harga minyak akan turun lagi dan pekedai disarankan menurukan harga barang, saya lihat harga barang yang sama menjadi RM 11.20 pula. Berapa peratus harga barangan tersebut turun jika dibandingkan dengan harga asal ketika harga minyak dinaikkan?

Saya memang tak pandai matematik!
Harga asal sebelum harga minyak (hm) naik      RM    9.90
Harga  ketika hm naik                                    RM  11.20
Harga ketika hm turun                                          RM  10.90
Harga sebelum hm turun lagi                          RM  11.30
Harga selepas hm turun lagi                           RM  11.20

Berapa sen harga barangan tersebut turun???
Barangan lain tak tahu bagaimana.




2.11.08

NYATA DIBIAR, SEMBUNYI DICARI

Hari minggu: Pagi beriadah bersama rakan-rakan. Tengahari membaca akhbar. Biasanya, pada hari minggu membaca sekurang-kurangnya dua akhbar mingguan.

Hari ini, ada rencana menarik yang saya baca.

"Kita cari yang tersembunyi. Kita biar yang nyata". Itulah rumusan rencana setengah mukasurat yang saya baca, ditulis oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis.

Rencana tersebut berjudul "Bila yang nyata dibiar, yang tersembunyi dicari".
Kandungannya, antara lain, penulis mengkritik tentang orang-orang tertentu yang sengaja mengintip dan mendedahkan aib dan rahsia peribadi orang lain. Kata penulis, akhirnya hasil daripada sikap suka mengintai dan mendedahkan perkara dalam 'kain orang lain' sekalipun pelakunya cuba menyembunyikannya, maka penyakit ini merebak dalam pelbagai sektor kehidupan.

Katanya, sesetengah media memang suka berita sensasi tentang maruah orang lain untuk dielong. Namun Islam menentang cara yang demikian.

Amat dukacita bagi masyarakat kita, katanya, jika kita sibuk mendedahkan maksiat yang tertutup yang disuruh oleh prinsip Islam agar kita tidak membukanya, dalam masa yang sama kita membiarkan berleluasa maksiat yang terbuka yang dilakukan atas pentas, dalam filem dan dijual dengan harga yang mahal.

Katanya lagi, amatlah dukacita jika penguatkuasa agama ada masa yang cukup untuk pergi mengintip sampai sanggup tunggu pukul 2, 3 pagi mengintip pasangan berkhalwat tetapi tidak cukup masa untuk membantah majalah-majalah yang terang-terang siang dan malam dijual yang mempamerkan aksi-aksi panas pasangan yang tidak berkahwin.

Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata ...

31.10.08

26.10.08

Naik dan Turun

Sudah lama tidak membeli lauk yang siap dimasak. Hari ini kena belilah. Isteri tiada di rumah. Tinggal seorang. Nak masak, malas. Tanak nasi sajalah.

Selepas membeli surat khabar, singgah di kedai makan. Beli lauk siap dimasak. Ikan dan sayur, cukuplah.

Si penjual, peramahnya: Ikan di pasar pun mahal, katanya. Beli sayur peria di pasar pun mahal, katanya. Harga santan pun dah melampau, katanya. Semua naik, katanya.

Saya bayar harga lauk, seperti yang disebut. Memang terasa amat mahalnya.

Harga minyak semakin turun, harga barang siap diproses, semakin mahal.

21.10.08

NILAI MURNI DALAM PENDIDIKAN MORAL


NILAI-NILAI MURNI yang diajar dalam matapelajaran Pendidikan Moral:

PERKEMBANGAN DIRI (Self Development)
Kepercayaan kepada Tuhan (Belief in God)
Amanah (Trust)
Harga diri (Self esteem)
Tanggungjawab (Responsibility)
Hemah tinggi (Venerable)
Toleransi (Tolerans)
Berdikari (Independence)
Kerajinan (Deligence)
Kasih sayang (Love)
Keadilan (Fairness)
Rasional (Rational)
Kesederhanaan (Moderation)

KEKELUARGAAN (Family Life)
Kasih sayang terhadap keluarga (Love for the family)
Hormat dan taat kepada anggota keluarga (Respectful and loyal to family members)
Mengekalkan tradisi kekeluargaan (Continuation of family traditions)
Tanggungjawab terhadap keluarga (Responsibility towards family)

ALAM SEKITAR (The Environment)
Menyanyangi dan menghargai alam sekitar (Love and appreciation of the enviroment) Keharmonian antara manusia dan alam sekitar (Harmony between humans and the enviroment)
Kemapanan alam sekitar (Stability of the enviroment)
Peka terhdap isu-isu alam sekitar (Sensitive towards enviromental issues)

PATRIOTISME (Patriotism)
Cinta akan negara (Love for the country)
Taat setia kepada raja dan negara (Loyal to the King and Country)
Sanggup berkorban untuk negara (Willing to sacrifice for the country)

HAK ASASI MANUSIA (Human rights)
Melindungi hak kanak-kanak (Protecting the rights of children)
Menghormati hak wanita (Respecting women’s rights)
Menghormati hak golongan kurang berupaya (Respecting the rights of the disabled)
Melindungi hak pekerja (Protecting workers’ rights)
Melindungi hak pengguna (Protecting consumer rights)

DEMOKRASI (Democracy)
Mematuhi peraturan dan undng-undang (Abaiding by laws and regulations)
Kebebasan bersuara (Freedom of speech)
Kebebasan Beragama (Religious freedom)
Pengelibatan dalam pembangunan negara (Involment in the country’s development)
Sikap keterbukaan (Openness)

KEAMANAN DAN KEHARMONIAN (Peace and harmony)
Hidup bersama secara aman (Coexistance)
Saling membantu dan bekerjasama (Helpful and cooperative)
Saling menghormati antara negara (Mutual respect between countries)

20.10.08

17.10.08

Kebuluran



Kanak-kanak itu
kebuluran, merangkak, layu...
khemah makanan PBB
satu kilometer dari situ...
setianya burung nasar menunggu...
rezekinya begitu...

15.10.08

Apa halnya selepas PMR?

Program selepas PMR sudah tersedia.


Dalam mesyuarat, ketika merancang program, seringkali yang difikirkan ialah, “apa yang perlu dilakukan oleh sekolah untuk mencapai objektif program”.


Ketika proses pelaksanaannya, yang seringkali dilupai ialah “apa yang patut diperolehi oleh pelajar; dan apa yang patut dibuat oleh pelajar untuk mendapatkannya”.


Benarkah begitu?