30.9.08

AIDILFITRI

Tahniah kerana telah berjaya merentasi segala dugaan ketika menunaikan ibadah puasa. Selamat menjalani ibadah Aidilfitri pula. Semoga kita dapat melepasai dugaan ibadah Aidifitri ini. Semoga kita di dalam perlindungan rahmat Allah s.w.t. :

Selamat

Melaksanakan

Ibadah Aidilfitri,

Maaf

Zahir & Batin

Nak Raya, Kereta Rosak ?

Raya dah dekat. Semua dah ready. Rasanya dah cukup keperluan untuk raya. Dah pun plan hari raya pertama dan kedua nak pergi mana. Rumah adik beradik, saudaramara dan rakan-rakan nak dikunjungi.

Malam kelmarin, balik dari solat tarawih, kereta pulak buat hal. Tengah driving nak balik rumah, enjin mati. Stat, hidup. Tak kisahlah, mungkin minyak tersumbat. Baru lima tahun pakai, rasnya taklah teruk sangat kalau rosak pun.

Pagi esoknya, stat kereta. O k pulak. Macam biasa. Tapi sebagai persediaan, pergilah ke bengkel nak check. Pomen kata, plug dan petrol filter yang bermasaalah. Plug boleh ganti. Tapi petrol filter tak tak ada. Kena order. Tunggu sampai pukul lima setengah petang baru sampai. Pukul enam lebih, siap dah.

Bila siap, pomen pergi test drive. Saya tunggu di bengkel. Puas tunggu, lepas lima belas minit, kereta tak balik ke bengkel. Pukul enam setengah nampak kereta saya “merayap”.
Tersengguk-sengguk. Mesti ada yang tak kena dengan kereta saya. Lebihkurang 200 meter daripada bengkel, kereta saya dah tak bergerak. Start pun dah tak mau hidup. Pomen kata, masa test drive tu, 6 kali kereta saya, mati enjin. Start hidup. Tapi kalau slow, mati enjin. Kalau lebih laju, enjin mati juga.

Pomen kata “ Lu punya keleta, macam itu olang tatak betul kepala punya”.
Saya tanya kenapa jadi macam tu. Dia kata, rosak bahagian letronik. Pomen kata, kereta saya kena tarik (towing) hantar pada ejen. Dia tak boleh bikin. Kena check pakai komputer.

Alamak ! lusa dah nak raya. !

Esok dah tentu tak sempat. Nak buat persiapan raya. Raya Rabu. Macam mana ye?

Raya dah dekat. Kereta tersadai di bengkel. Lepas raya baru tarik ke ejen. Jauh pulak tu.

Hari raya macam mana? Tak taulah macam mana. Macam tu lah….

29.9.08

Selamat Hari Raya

Pengunjung bcw & seluruh umat Islam,


Selamat

Hari Raya

Aidilfitri

Maaf

Zahir & Batin



28.9.08

Macam Emak Saya

Dia guru. Pagi itu, pada hari pertama selepas cuti panjang, dia berdiri di depan kelas Darjah Lima, dan membohongi pelajar-pelajarnya.

“Saya menyayangi kamu dan saya akan bersikap adil kepada kamu semua.” Guru perempuan itu bersuara sambil pandangannya melepasi tingkap.

Tetapi itu mustahil kerana di barisan belakang kelas, duduk seorang murid bernama Abdul Wahab.

Guru perempuan itu, telah memerhati akan gelagat Abdul Wahab. Dia suka bersendirian. Tidak suka bergaul dengan murid-murid lain. Bajunya agak comot, tidak kemas dan tampak dirinya tidak terurus. Sesungguhnya Abdul Wahab tidak disenangi.

Beberapa bulan seterusnya Guru perempuan itu agak teruja apabila membuat tanda pangkah dengan pen berdakwat merah di dalam setiap buku latihan Abdul Wahab. Agak ghairah dia menulis markah dengan angka kosong yang sengaja dibesarkan, berwarna merah dalam kertas jawapan Abdul Wahab. Oleh sebab Abdul Wahab seorang murid yang pendiam, maka tiada siapa pun yang peduli.

Apa pun yang dilakukan oleh Guru perempuan itu untuk mengajar murid-muridnya, Abdul Wahab, jika diberi peranan, pastinya menunggu giliran terakhir.

Ketika Guru perempuan itu ingin mencatat maklumat dalam kad 001 (Kad Maklumat diri murid) Abdul Wahab - pastinya selepas mencatat rekod murid-murid lain – ada sesuatu yang telah dicatat oleh guru-guru lain sebelumnya.

Guru Tahun Satu menulis: “Abdul Wahab ialah pelajar yang cerdik, mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi dan suka berjenaka dengan rakan-rakannya. Kerjanya kemas. Kelakuannya baik. Ramai yang gemar berkawan dengannya”.

Guru Tahun Dua menulis: “Abdul Wahab ialah pelajar yang pintar, digemari oleh rakan-rakan sekelasnya, tetapi dia menghadapi masalah kerana ibunya seringkali sakit. Barangkali keadaan ibunya itu akan mengganggu kehidupannya”.

Guru Tahun Tiga menulis: “Abdul Wahab ingin terus berusaha dengan bersungguh-sungguh tetapi kematian ibunya menjadikan hidupnya tertekan. Dia cuba berusaha sedaya upaya tetapi ayahnya tidak menunjukkan minat untuk membantu. Kehidupanya akan lebih tertekan sekiranya sesuatu tidak dilakukan untuk membaiki keadaan”.

Guru Tahun Empat menulis:”Abdul Wahab ketinggalan dalam pelajaran dan nampak tidak berminat bersekolah. Dia tidak suka berkawan. Kadang-kadang dia tidur di kelas. Dia pelajar lembam dan bermasalah.”

Barulah Guru perempuan itu tahu masalah Abdul Wahab.

Pada sambutan Hari Guru, ramai murid menghadiahi Guru itu dengan hadiah yang dibungkus cantik dan diikat riben. Abdul Wahab turut memberi hadiah yang dibalut kertas surat khabar lama kepada Guru perempuan itu.

Murid-murid lain ketawa apabila guru membuka balutan hadiah yang diberikan oleh Abdul Wahab, sehelai kain tudung putih dan seutas gelang diperbuat daripada plastik. Seluruh kelas terdiam apabila guru itu memakai tudung dan gelang yang diberikan oleh Abdul Wahab. “ Cikgu pakai tudung putih dan gelang tu, macam mak saya”, kata Abdul Wahab memberitahu guru itu. Kelihatan guru itu senyum, tetapi tidaklah begitu manis senyumannya.

Selapas murid-murid pulang, guru itu tidak dapat lagi menahan air matanya. Menangislah dia sepuas-puasnya. Esoknya dia hadir untuk mendidik; tampak manis dengan tudung putih dan gelang plastik itu.

26.9.08

Kelakuan Agresif


Di sekolah bukan mudah bagi guru menangani masalah kelakuan negatif murid. Ada pelbagai macam kelakuan murid. Kadang-kadang guru tiada pilihan melainkan mengatasi masalah tersebut dengan segera. Jika tidak, akan berlarutanlah, menjadi gangguan.

Dalam ketidaktentuan mengambil tindakan terhadap pelajar yang agresif, kadang-kadang tanpa disedari, guru bertindak mengikut emosi. Jika demikian tindakannya, pelajar akan merasa bangga kerana guru dianggap “kalah”. Pelajar bermasalah memang suka menakut-nakut kan guru.

Lebih baik jika guru bertindak lebih intelektual. Gunakan akal, tinggalkan emosi ketika bertindak.

Contohnya, bagaimanakah menanangani masalah pelajar yang suka merayau-rayau, mengganggu pelajar lain di dalam kelas ketika guru sedang mengajar. Jika mengikut emosi, katahati guru berkenaan akan bertanya: Kenapa “si kaki rayau” ini tidak menumpukan perhatian atau tidak membuat kerja? Apakah anggapan guru lain, seolah-olah saya tidak berupaya mengawal kelas? Akan timbul perasaan geram dan marah. Apabila emosi telah menguasai fikiran, mungkin secara spontan murid akan dihukum dengan keras tanpa memikirkan risikonya.

Lain pula keadaannya jika kita dapat menggunakan akal fikiran. Guru akan berfikir kenapa pelajar enggan mengikut arahan. Guru akan berfikir bahawa gelagat pelajar itu, bukanlah salah dirinya. Kelakuan pelajar demikian, adalah pilihan pelajar itu sendiri. Guru akan menyoal diri, dan berfikir apakah yang patut dibuat. Guru mungkin membuat keputusan untuk memberi amaran. Jika tidak berhasil, dendalah pelajar itu mengikut prosedur sekolah.

Bersin / (Sneeze)


Siapa yang tidak pernah bersin? Di seluruh dunia orang bersin. Banyak sebab orang bersin. Ada pelbagai macam cara orang bersin. Ada yang berpendapat bahawa bersin boleh memberi pelbagai kesan.


Dalam kalangan masyarakat dunia, ada kepercayan tertentu berkaitan bersin. Ada yang dikatakan bahawa bersin membawa tuah, dan tidak kurang juga bersin membawa petanda keburukan. Untuk menyesuaikan keadaan itu, bersin pun mempunyai cara-cara tertentu.

Orang Islam dituntut mengucapkan “Alhamdulillah” selepas sahaja bersin. Ini menandakan kesyukuran dengan nikmat Allah kerana bersin juga dikaitkan dengan kesihatan.

Bunyi bersin itu barangkali hampir sama sahaja bagi setiap bangsa. Tahukah anda bagaimanakah bunyi bersin itu diungkapkan dengan perkataan?:


“Achum !” (Orang Malaysia)

“Atchoum !” (Orang Perancis)

“Atjo !” (Orang Sweden)

“Hatschie !” (Orang Jerman)

“Hapsu !” (Orang Turki)

“Hakushon !” (Orang Jepun)

“Atchoo !” (Orang Inggeris)


Bagaimana pula bunyi bersin Nabi Adam a.s., manusia pertama di dunia ini……?

22.9.08

BISING DAN DIAM


Bising Dan Kesihatan
Di England, pada tahun 1995, akhbar Daily Mirror melaporkan bahawa dalam tempoh enam tahun, terdapat lebih daripada 16 orang mati dibunuh ataupun mati membunuh diri. Kejadian ini adalah kesan daripada pencemaran bunyi yang kronik.

Kajian yang dilakukan oleh Donnerstein dan Wilson pada tahun 1976 mendapati bahawa pencemaran bunyi boleh mendorong sesaorang bertindak ganas.

Diam Dan Ibadah
Allah berfirman, maksudnya:
“Apabila al-Quran dibaca, dengarlah dan diamlah, semoga kamu dirahmati”
(al-A’raf ayat 204).

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepadat Allah dan hari kiamat hendaklah ia bercakap sesuatu yang baik ataupun sekiranya tidak, hendaklah dia diam”.
(Riwayat Bukhari – Muslim).

“Apabila imam sedang menyampaikan khutbah dan kamu bercakap kepada kawanmu walaupun dengan perkataan “diam” sekalipun, luputlah pahala Jumaat kamu”
(Riwayat Bukhari – Muslim).

“Apabila kamu marah, diamlah!”
(Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

21.9.08

SUP TULANG BCW



Ada rakan-rakan yang minta resepi sup tulang yang selalu saya masak setiap hari raya. Sup tulang ini saya pelajari daripada arwah ibu saya. Untuk tidak menghampakan rakan-rakan saya coretkan resipinya di sini. Selamat mencuba.

Bahan A :
1.5 kg tulang rusuk lembu… .(potong, bersihkan, tuskan)
1 inci halia………………… (buang kulit, tumbuk kasar)
1 sudu besar lada hitam ….....( tumbuk)
1 sudu besar gula batu

1 sudu teh garam kasar
5 liter air

Bahan B:

1 labu bawang besar………....(dihiris halus )

3 batang kulit kayu manis
3 biji bunga lawang
5 biji buah pelaga

7 biji cengkih

Bahan C……………................(kisar / tumbuk semuanya):

1 labu bawang besar
1 inci halia
1 sd besar jintan manis
1 sd besar lada hitam
5 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih

Bahan D:

1 labu bawang besar ………..(dihiris halus )

3 batang kulit kayu manis
3 bunjut rempah sup tulang

3 biji bunga lawang
5 biji buah pelaga

7 biji cengkih

Bahan E :

15 biji cili api …………………..(dibelah-belah)

5 biji kentang ………………....(dibelah-belah)
3 biji tomato besar …....…….(dibelah empat)
1 batang lobak merah……….(dipotong-potong)

3 sd besar sos tiram -------(jika suka)
3 sd besar sos ikan --------(jika suka)
1 sd besar garam…………… (atau secukup rasa)
1 biji limau nipis ...................(ambil jus )

½ sd teh serbuk perasa… (jika suka )

¾ cawan minyak

Bahan F:

9 biji bawang merah.............(dihiris nipis)

Caranya:
Rebus tulang bersama air, halia, gula batu, garam kasar, lada hitam tumbuk dan halia. Api jangan terlalu besar. Rebus sehingga 5 jam .

Selepas tulang direbus, dalam bekas lain panaskan setengah cawan minyak dan tumis semua bahan B dan kacau.

Masukkan bahan C. Tumis hingga garing (pastikan tidak hangus). Masukakan rempah sup bunjut . Kacau sebentar dan masukkan 1 senduk air rebusan tulang.

Tuang bahan tumis ini ke dalam periuk rebusan tulang dan didihkan kembali. Masukkan garam, serbuk perasa, sos tiram dan sos ikan, tutup dan biarkan sehingga mendidih. Masukkan kentang, didihkan hingga kentang empuk.

Masukkan cili api, hirisan daun sup dan lobak merah, didihkan 10 minit dan masukkan tomato. Padamkan api. Tuang jus limau dan kacau.

Bahan F (bawang merah) dihiris nipis . Gunakan bekas lain, goreng dengan suku cawan minyak masak. Goreng sehingga agak garing (tapi jangan sampai hangus). Segera tuangkan minyak bersama bawang goreng ke dalam periuk sup (hati-hati jangai sampai terperecik sup panas). Siap.

20.9.08

BAGAIMANA AJAL SANG TUPAI


Seorang petani amat marah akan tupai yang makan buah mangga di belakang rumahnya. Hendak ditembak, senapang tiada. Diletak racun, tidak dimakannya. Hendak dikejar, tidak terdaya.

Hatinya marah, semarak membara. Geramnya menyebak dada. Dalam marahnya itu, sempat jua dia menyiapkan sebuah perangkap. Dipasang segera di dahan pohon mangga tempat laluan sang tupai.

Petang itu, hampir waktu maghrib, perangkapnya mengena. Seeokar tupai terlompat-lompat di dalam perangkap. Namun hatinya masih belum puas selagi dendam kesumat belum terlepas, selagi sang tupai belum terhapus.

Dalam marahnya, si petani menyirami badan sang tupai dengan minyak tanah. Melompat-lompat, berdecit-decit sang tupai dibasahi minyak. Tanpa banyak fikir lagi, sang petani mencucuh api ke badan sang tupai.

Menjerit sang tupai kebakaran. Akhirnya, dalam rontaannya, sang tupai melepaskan diri. Tidak keruan lompatannya, sepantas kilat memanjat bumbung atap nipah rumah si petani.

Malam itu, terang semarak lidah api menjilat rumah si petani hingga menjadi abu.

11.9.08

BAGAIMANA KASUT YB ?


Ketika Yang Berhormat Wakil Rakyat melangkah memasuki pintu keretapi, kasut yang di kaki kirinya terlucut dan terjatuh di tepi landasan. Tidak sempat diambilnya kasut itu kerana keretapi sudah mulai bergerak. Penumpang keretapi kehairanan melihat YB itu dengan selambanya menanggalkan kasut yang sebelah kanan dan mencampak kasut itu ke tepi landasan, berhampiran kasut yang terlucut. Seorang penumpang bertanya kenapa dia berbuat begitu. YB berkata: “Jika ada orang miskin yang menemui kasut itu, tentulah dia boleh memakainya”.

10.9.08

BAGAIMANA LEMBU TERLEPAS?


Ada lembu jatuh ke dalam perigi yang dalam (tetapi cetek airnya). Menjeritlah sang lembu, berjam-jam lamanya, sementara si petani, tuannya itu memikirkan apa yang patut dibuat. Akhirnya, dia dapat membuat keputusan. Biarlah lembu itu mati. Lembu tua. Tidak berbaloi diselamatkan. Timbus sahaja perigi itu. Petani itu pun meminta pertolongan raka-rakan sekampungnya. Datanglah mereka membawa cangkul dan penyodok tanah. Mulalah mereka menimbus perigi yang di dalamnya sang lembu tua itu.

Semua haiwan di ladang itu amat marah dengan kejadian itu. Lembu itu sahabat mereka. Mereka tidak berdaya untuk membantu. Mulanya apabila sang lembu tahu dia akan ditimbus hidup-hidup, menjeritlah ia sekuat-kuatnya. Kemudian, dia terus senyap - menghairankan petani-petani di situ. Selepas penat menimbus perigi dan lembu tua itu, petani-petani itupun menjenguk ke dalam perigi, dan yang dilihat mereka, menimbulkan kehairanan yang amat.

Setiap cangkulan tanah singgah di belakangnya, sang lembu tua melakukan sesuatu yang menakjubkan. Sang lembu akan segera menggerak-gerakkan badannya setiap kali terasa tanah menimpa belakang. Sang lembu akan memijak tanah yang semakin menimbusi perigi itu. Begitulah dilakukannya berulang-ulang, setiap kali timbunan tanah menimpa belakangnya. Akhirnya semua petani kehairanan. Lembu tua itu, sampai ke birai perigi di atas timbunan tanah dan berjalan menuju ke arah rakan-rakannya.

Dalam kehidupan kita, seringkali akan ditimbuni masalah – pelbagai masalah. Tetapi setiap kesukaran boleh menjadi batu loncatan. Apa yang berlaku tidaklah sepenting bagaimana kita bertindak mengatasinya. Kita boleh menghadapi pelbagai masalah hanya dengan tidak berputus asa.!

6.9.08

BAGAIMANA PPSMI ?


Kementerian Pelajaran telah menjalankan kajian tentang guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, di beberapa sekolah terpilih.

Hasil kajian mendapati 35% guru Sains dan Matematik lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris.

Hasil kajian ini, mengejutkan. Jika 35% guru tidak menguasai Bahasa Inggeris untuk mengajar matapelajaran tersebut, berapa peratus pula murid yang dapat menguasi matapelajaran Sains dan Matematik yang diajar oleh guru terbabit.?

Timbalan Menteri Pelajaran berkata, murid-murid mempunyai potensi untuk belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tetapi sesetengah guru tidak menunjukkan dedikasi dan kurang berupaya mengajar matapelajaran itu?.

Katanya, walaupun mereka mendapat Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk membeli buku rujukan atau menghadiri tuisyen Bahasa Inggeris, tetapi mereka tidak memanfaatkan BISP untuk tujuan tersebut..

Apakah yang patut dilakukan lagi supaya program PPSMI ini mencapai matlamatnya?

4.9.08

BAGAIMANA PUTUS CINTA...


Ramadan tiba tanpa mungkir. Bersamanya dibawa sekian banyaknya nostalgia. Kenangan "putus cinta" dengan kekasih menggamit kembali. Meskipun, lima belas tahun berlalu, kenangan perpisahan itu tidak mungkin dapat dihambat pergi. Mana mungkin dapat dilupai saat kemesraan selama sepuluh tahun memadu kasih.

Sejarah detik tercambahnya kasih bersamanya seakan terpaksa. Dorongan rakan-rakan yang tampaknya hebat dan bergaya bersama kekasih masing-masing memang sesuatu yang terasa amat mendesak.

Bersamanya selama sepuluh tahun itu, meninggalkan kesan suka duka yang sukar dinilai.

Ada beban cinta yang dibawa bersama. Ada beban resah jika ketiadaannya. Ada beban siksa yang sukar ditafsir.

Ada karenah melayani kehendaknya. Apatah lagi jika si dia tiada di sisi. Hujan ribut petir pun seakan mahu diusir. Pekat gelap malam diredah. Asalkan bersamanya – selama sepuluh tahun itulah – melayani segala kehendaknya.

Suatu Ramadan, lima belas tahun yang lalu, entah bagaimana detik mulanya, tiba-tiba hadir rasa benci di hati ini. Rasa benci yang sukar dimengerti tafsirannya. Barangkali rasa itu hadir bersama hikmah Ramadan Al-Mubarak itulah.

Dengan sekali lafaz, kuucapkan kata-kata perpisahan selepas waktu berbuka puasa, ketika dia mauku hampiri, setelah seharian kecanduan rindu...

Tentu dia masih ingat kakta-kataku : “ Selamat tinggal ROKOK kerana kau menjadi beban hidupku selama sepuluh tahun !”

Begitu menggunung terima kasihku kerana semenjak saat itu, dia seperti tidak mahu hadir lagi dalam hidupku.

2.9.08

BAGAIMANA ADAB PUASA (iii)


Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan dalam posting terdahulu menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

Terima Kasih Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin , http://dramaza.com/


1.9.08

BAGAIMANA ADAB BERPUASA (ii)


Adab Berpuasa: (ii)

Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:
“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”
(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):
“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”
(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

Terima Kasih Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin, http://dramaza.com/

BAGAIMANA ADAB BERPUASA (1)

Adab Berpuasa:(i)

Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

Terima Kasih Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin , http://dramaza.com/

SELAMAT BERPUASA

"Wahai orang-orang yang beriman,telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang beriman"

Surah Al-Baqarah, ayat 183.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK