31.12.08

Ketika ketiadaan Menteri KM. Memasak dan Membasuh.

Routine harian berubah. Sambil berjogging pagi tadi,(sejak bersara, riadah satu hingga dua jam sehari, sudah jadi kebiasaan) saya fikir apa yang saya nak buat hari ni. Bila "ditinggalkan" isteri, rutin harian akan berubah.

Sejak semalam, saya "ditinggalkan" isteri. Saya menghantar isteri untuk mengurus anak yang baru bersalin. (Saya dapat cucu ke-dua, lelaki [comel macam atuk dia--gurauan isteri saya]- syukur alhamdulillah, semuanya selamat).

Tinggal tiga beranak di rumah. "Bergotong-royong" apa yang patut dibuat ketika ketiadaan "Menteri Kemas-Mengemas" yang sedang menguruskan anak dan cucu di Johor Bahru.

Dalam fridge masih ada lima ekor ikan kerisi. Tentu jadi lauk hari ini. Plan nak masak apa. Tengok benda-benda lain pun ada. Lada merah ada, bawang merah dan bawang putih ada. Serbuk kunyit ada. Dalam bekas plastik ada asam keping. Oh, ada ikan gelama kering. Minyak masak masih ada.

Buka pintu belakang tengok "kebun". Petik sehelai daun kunyit. Ambil sedikit daun kesum. Gali lengkuas. Petik dua biji terung panjang. Petik daun ulam raja. Ni boleh cicah sambal belacan. Petik cili padi segenggan cukup dah. Daun cekur manis dah banyak, esok boleh masak lemak. Pucuk ubi lebat juga. Kena celurlah lah tu. Esok lah.

Seronok juga memasak. Kalau nak senang beli aje.Taklah susah-susah. Tapi kepuasan dan keenakan lebih terasa jika dapat masak sendiri.

Tengahari ni makan nasi lauk asam pedas ikan kerisi campur terung. Ulam raja dan sambal belacan. Ikan gelama kering, digoreng.

Di bilik air, mesen basuh sedang berputar!

28.12.08

Rindu, Cucu, Blog, Buku, Warga Asing dan Adab.

Beberapa hari tidak saya kunjung blog rakan-rakan kerana saya berada di Johor Bahru. Mahu bersama anak dan cucu, mengubat rindu.

Johor Bahru sibuk seperti biasa. Saya sempat singgah di Pasaraya Angsana dalam perjalanan pulang. Di situ memang sibuk . Warga negara lain sama ramainya dengan warga tempatan. Barangkali Hari Minggu, pekerja warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, China diberi cuti oleh majikan.

Tempat melepak yang popular, tentunya di supermarket. Warga Singapura pula memang berbelanja di Johor Bahru. Anak saya sempat berkata,
"Abah, kalau kita campak seulas kacang dari tingkat atas, tentu akan kena kepala warga asing!"

Jika saya singgah di pasaraya, tempat yang pasti saya kunjungi ialah kedai buku. Terdapat judul baru terjual. Pasaran buku tampaknya laris juga. Kedai buku memang sentiasa ramai. Atau memang tahap pembacaan sudah meningkat.

Hari ini saya membeli 3 buah buku:
"Kesantunan Orang Melayu oleh Noriati A.Rashid"; "Law of Attraction oleh Michael J.Losier" dan "Writing in General and The Short Story In Particular oleh Rust Hills".

Beberapa hari tidak membersihkan peti E-mail, inbox sarat. Ada juga maklumbalas rakan-rakan yang tidak gemar memberi maklum balas melalui blog (sebab tak ada blog - tak tahu kenapa).


Banyak juga "sampah" yang masuk ke kotak e-mail. Apa nak dikata, "pejabat pos maya" dibuka 24 jam sehari; memang tiada waktu cutinya. Banyak e-mail "hampas" dalam bentuk iklan pujukan untuk melariskan jualan. Semuanya hendak dijual, apa sahaja yang boleh dijual: barangan maupun perkhidmatan. Yang sah maupun tidak sah.Yang halal, juga yang haram.

Yang percuma pun banyak juga.Yang dibimbangi ialah kiriman yang berisi perangkap virus. Jika dijangkiti, penyakit maya ini akan menular sehingga boleh merosakkan data komputer!

Hari ini juga saya menerima e-mail yang sangat menarik kandungannya. Antara kata-kata yang menarik yang ditulis oleh pengirimnya: ".... di dunia ini ramai yang nak jadi hero, nak jadi jaguh, nak jadi tokoh...nak jadi popular...nak tunjuk pandai... nak tunjuk terer...tapi ramai yang lakukannya dengan cara yang tidak beradab..."

E-mail itu saya jawab dengan ringkas sahaja:....."kalau begitu, adabkanlah mereka!"

23.12.08

Kancil

Hantar jam sembilan pagi, janji siap jam tiga petang. Sampai jam enam petang, tidak juga siap. Esok pula katanya.


Pagi tadi pergi lagi ke bengkel. Belum juga siap. Hanya jam empat petang tadi barulah siap. Semalaman kereta Kancil isteri saya tidur di bengkel.


Selepas saya bayar ongkosnya, isteri pandu pulag Kancil. Sampai di rumah, saya dapati seperti ada sesuatu yang tidak kena. Bunyi enjinnya kuat berdengung, tidak seperti asalnya. Macam semakin teruk selepas dibaiki. Padahal, sudah dibuat top-overhaul, ganti pelincir, minyak gear, spark plug, contact point, gasket, oil filter dan petrol pump.


Saya pandu Kancil kembali ke bengkel.


“Ah Pok, lu tengok saya punya kereta, sudah o k ka?” ,


“Eh, ini bunyi sangat kuat la,” , kata si Ah Pok, tuan punya bengkel berbadan gempal dan sedikit rendah itu.


“Hei, Mat, macam mana lu bikin ini kereta?”, spontan sahaja si Ah Pok bertanya kepada salah seorang pekerjanya. Terpinga-pinga si Mamat tetapi tidak berkata apa-apa.


“Lain kali bikin kerja betul-betul, jangan kasi susah sama orang, lu bukak kasi bikin semula.” , Ah Pok memarahi kulinya itu. Tergesa-gesa si Mamat mengambil peralatan.


Saya fikir Ah Pok memarahi kulinya itu kerana ingin, “mengambil hati” saya.


“Ah Pok, lu tak boleh marah sama dia. Lu yang tidak betul. Masa dia bikin saya punya kereta, lu panggil dia bikin lain punya kereta. Ada kereta masuk, lu panggil dia bikin. Saya punnya kereta pun belum siap. Itu macam, dia sudah lupa apa dia sudah bikin pada saya punya kereta .Itu pasal sudah silap!” saya jelaskan kepada Ah Pok apa yang saya perhatikan semalam. Rasa jengkel kepada Ah Pok sudah mula terasa.


Itu karenah pengusha bengkel membaiki kereta. Saya perhatikan si Ah Pok ini ada taktiknya. Apabila ada kereta masuk ke bengkelnya, dia terus melayan pelanggannya itu. Kemudian dia meminta beberapa pekerjanya membuka beberapa skru, atau bahagian peralatan yang diminta baiki oleh pelanggan. Selepas itu pekerjanya akan kembali kepada kerja asalnya. Demikianlah setiapkali kereta masuk ke bengkelnya. Walau sebanyak mana pun kereta yang masuk, semuanya diterima. Buka beberapa sekeru atau tayar dan pelanggan tak dapat kemana-mana atau mencari bengkel lain. Kena tunggu.


Inilah masaalahnya. Banyak kali kereta saya “ditinggalkan” dalam proses dibaiki itu. Ketika inilah berlaku kesilapan. Kerja-kerja baikpulih terhenti / tergendala. Apabila si Mamat kembali ke kereta saya, diapun sudah lupa apa yang dilakukan sebelum itu dan apa yang patut dibuat seterusnya


Ketika ulang baikpulih itu, saya tunggu si Mamat bekerja sehingga siap. Ah Pok hilang entah ke mana. RM 490.00 bukan sedikit bagi orang pencen sperti saya.


21.12.08

Decision Making - A Mental Process -Keputusan Yang Silap... buruk padahnya

Best Decision Making. A cognitive process.

Jika anda ingin menjadi pemimpin yang berkesan, anda perlu mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang baik.

Membuat keputusan boleh dianggap sebagai suatu hasil daripada proses kognitif. Hasil proses mental ini akan menjurus seseorang itu membuat tidakan; berdasar kepada beberapa pilihan.

Pelbagai teori dikemukan oleh ahli akademik berkaitan kaedah membuat keputusan. Walaupun kadang-kadang kita membuat sesuatu keputusan itu dengan segera, tetapi proses mental tetap juga berlaku.

Walaupun kita perlu membuat keputusan segera, jika kita mempunyai pengetahuan dan kefahaman berkaitan teori membuat keputusan, sudah tentulah kita mempunyai peluang yang lebih untuk membuat keputusan yang baik.

Barangkali kita boleh belajar beberapa teori berkaitan membuat keputusan, misalnya:

1. Pareto Analysis – Membuat pilihan apa yang perlu diubah.

2. Paired Comparison Analysis – Pentingnya menentukan pilihan yang berbeza.

3. Grid Analysis – Membuat pilihan berdasarkan pelbagai faktor.

4. Decision Trees – Membuat pilihan berdasarkan pelbagai perkara.

5. PMI Menimbangtara pro dan kontra sesuatu keputusan.

6. Force Field Analysis – Membuat anilisis tentang tekanan kepada perubahan.

7. Six Thinking Hats – Melihat keputusan daripada pelbagai perspektif.

8. Cost/Benefit Analysis – Melihat sama ada keputusan sesuai dari segi kewangan.

Perlu diingat, teori-teori tersebut hanyalah untuk membantu kebijaksanaan dan budubicara anda. Kebijaksanaan dan budubicara adalah aset utama yang anda ada dan membantu anda membuat keputusan yang baik.

Kesilapan membuat keputusan akan memberi kesan negatif berpanjangan!

20.12.08

Nikah Mawi-Ekin : Popular, Glamorous and Trendy

Pernikahan Mawi - Ekin, tampaknya amat popular dan glamourous. Media massa, sebelum ini amat ghairah memberi publisiti dan mewar-warkan episod penting dalam kehidupan mereka ini.

Saya percaya, persiapan pernikahan Mawi ('ikon celebrity') akan menjadi gelombang 'trendy' (kalau tidak pun tsunami). Sudah tentu ramai yang menginginkan majlis yang gilang gemilang seperti majlis Mawi-Ekin ini..

Soal persiapan untuk mendirikan rumahtangga celebrity selalu menjadi terndy. Ia ingin diikuti; daripada gaya majlis pertunangan, pernikahan dan kenduri perkahwinan yang gilang gemilang.

Kadang-kadang perceraian dan tuntutan nafkah oleh celebrity di mahkamah juga menjadi trendy!

17.12.08

X sensitif.


Tajuk posting kali ini "x sensitif" yang mungkin bermakna "tidak sensitif".

Rupa-rupanya dalam alam siber, x bukan sahaja bermaksud 'tidak' atau 'bekas' (ex). Baru-baru ini saya buat blog yang saya namakan "X Student Blog". Saya gunakan 'X' untuk menggantikan perkataan "bekas pelajar' (ex-student).

Untuk posting pertama blog itu, saya hanya tulis : Welcome !. Blog tu belumpun siap sepenuhnya. Tetapi banyak comment yang masuk kerana tajuk X pada blog itu. Siap dengan link untuk lihat gambarnya sekli. Dalam alam siber, rupa-rupanya X juga bermaksud perkara-perkara yang berkaitan dengan sex dan pornografi.

Saya delete blog tersebut. Dalam berblogging, jangan gunakan X sewenanang-wenangnya (sebagai blog name). Kita sahaja yang maknakan X sebagai 'tidak / bekas". Orang lain tidak memahami maksud kita dan memberi makna yang lain pula.







16.12.08

PPSMI tidak sah? Kesusasteraan Melayu Dalam Bahasa Inggeris.?

Ingin saya catat 2 petikan akhbar hari ini berkaitan PPSMI:

1. Petikan daripada Akhbar Utusan Malaysia:

... Kegunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains pada pendapat saya adalah tidak sah dari segi undang-undang....


(Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas Pengarah Urusan Malaysian Airlines [MAS] memberi hujahan berdasarkan: Seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996; Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan; Seksyen 18(2) akta 550).


2. Petikan daripada Sinar Harian:

...saya fikir begini: untuk mempelajari sains dan matematik, bahasa apapun dapat digunakan dengan baik...jika kita hendak mengaitkan kebolehan berbahasa dengan subjek subjek tertentu, bukanlah sains dan matematik subjeknya...

...inilah suara baru: Ajarkan Kesusasteraan Melayu dengan bahasa pengantarnya Inggeris.

(RAHMAN SHAARI)

14.12.08

Ilmu Kira-kira (Matematik), Tawarikh (Sejarah)... Ilmu Alam (Geografi)...

Saya mula "masuk" sekolah ketika berusia enam tahun, iaitu pada tahun 1957. Saya mengikut kakak yang juga baru masuk sekolah ketika berusia tujuh tahun. Saya dikira "menumpang" dalam darjah satu (kerana belum cukup usia tujuh tahun). Tetapi seingat saya,ketika kakak naik ke darjah dua, saya juga ikut naik darjah dua. Ketika itu, "menumpang" itu hilang begitu sahaja.

Pada ketika itu, pergi ke sekolah amat menyeronokkan. Saya tidak tahu mengapa. Tetapi, setiap hari saya amat teruja untuk bersama kakak ke sekolah. (Nanti, jika ada peluang ingin saya ceritakan keseronokan bersekolah pada zaman itu.)

Di sekolah kami belajar matapelajaran: Bacaan, Tulisan, Ilmu kira-kira dan congak, Ilmu Kejadian, Ilmu Alam, Ilmu Tawarikh, Ilmu Kesihatan dan Senaman.

Saya tidak ingat, bila matapelajaran-matapelajaran tersebut kemudiannya "ditiadakan" ataupun ditukar namanya.

Matapelajaran Kira-kira dan Congak kemudiannya ditukarnama kepada Ilmu Hisab dan kemudiannya ditukar pula kepada Matematik.

Ilmu kejadian ditukarnama kepada Ilmu sains dan Ilmu Alam kepada Geografi.

Saya tidak ingat bila Ilmu Tawarikh sudah ditiadakan tetapi kemudian muncul kembali di sekolah menengah dan diberi nama matapelajaran Sejarah.

Saya fikir perubahan-perubahan dalam sistem pendidikan banyak dipengaruhi oleh keperluan semasa dan juga keperluan politik negara kita. Ia banyak meninggalkan kesan * dalam diri saya.

Pada thun 2009 matapelajaran Sejarah akan diadakan (kembali) di sekolah rendah.

*
http://blogsimantanguru.blogspot.com/search?q=lompat+si+katak+lompat


13.12.08

Berita: Empat belas maut...

Empat terkorban. Beberapa Banglo di Bukit Antarabangsa musnah menggelongsor. Berselerakan ke bawah cerun. Tanah runtuh! Sepanjang minggu ini, berita keruntuhan itu belum berhenti. Semua media menjadi ghairah. Entah bila paparan berita tersebut akan berakhir.

Sepuluh terkorbn. Kemalangan ngeri. Bas ekspress berkecai di lebuhraya. Berita mengenainya sudah lama tamat!

Takziah kepada semua yang terlibat.

10.12.08

Mantera Bukit Kepada Orang

Wahai orang...
Aku bukit pasak bumi,
Lama sudah aku disakiti, ditarahgondol, dibebani!
Wahai orang...
(tarah sana, tarah sini, gondol kiri, gondol kanan)
Dengan berkat hujan lebat, maka aku runtuh!
Wahai orang...
kaurasakanlah, jangan kau bergaduh!

9.12.08

Nenek Hebat.





1. Maimun Yusof (89 tahun): Bekas calon Pilihanraya Ke-12, kawasan K. Terengganu. (685 Undi).

2. Wook Kundur (106 tahun): Pernah bernikah 22 kali. Suami sekarang: Mohd Noor Musa (37 tahun).
Hebatnya nenek-nenek Malaysia ni... Apa rahasianya?

6.12.08

Memo Arah atau Memo Marah (Kejadian Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa)

Memo:

1. BENA 2. RUNTUH 3. MAUT 4. STOP !

Tapi, kepada siapa saya nak bagi memo ni?

5.12.08

PS dan KM sudah pupus?

Sepanjang perkhidmatan sebagai guru, lebih lama saya menjadi guru Pendidikan Seni (PS) dan Kesusasteraan Melayu (KM). Kadang-kadang, mengajar juga Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, jika diperlukan. Pernah juga saya mengajar Geografi dan Matematik.

Ketika mula-mula mengajar, saya diberikan subjek Pendidikan Seni (PS) dan Kesusasteraan Melayu (KM), tidak Bahasa Melayu (BM). Barangkali pada ketika itu guru BM, masih ramai. Di maktab perguruan, saya mengkhusus Pendidikan Seni dan Bahasa Melayu (PMPS). Ketika saya di universiti, pengkhususannya ialah Penulisan Kreatif Dan Deskriptif. .

Ketika mengajar PS dan KM itu, banyaklah saya menimba pengalaman dan membina kosep tentang seni, kerana kedua-dua matapelajaran tersebut memang melibatkan unsur-unsur seni. Tidak dapat tidak, untuk mengajar PS dan KM, perlulah saya tahu tentang seni. (Apa yang saya peroleh ketika mengkhusus PM dan PS memang tidak mencukupi untuk menjadi guru PS dan BM yang baik, apatah lagi untuk menjadi guru KM) .

Sehingga sekarang, masih saya percaya bahawa seni itu berkaitan dengan bakat. Walaupun seni dapat dipelajari, melalui pengalaman mengajar, saya tetap percaya bahawa sesiapa yang mempunyai bakat lebih menyerlah dalam penghasilan karya seni. .

Mungkin ada yang bertanya: Bakat itu apa? Secara literal perkataan bakat hanya membawa makna “ kebolehan semulajadi sesaorang melakukan sesuatu dengan baik”.

Jadinya, sesaorang yang boleh menghasilkan karya senilukis maupun karya sastera yang baik, bolehlah dikatakan mempunyai bakat dalam bidang senilukis dan sastera. Jadi bolehkah sesaorang yang dapat melukis sebuah garisan dan mencipta serangkap pantun dikatakan berbakat seni?. Bolehkah mereka ini menjadi guru PS dan KM yang baik?

Ketika menjadi guru PS dan KM, seringkali saya menyoal diri. Apakah seorang guru PS itu semestinya seorang pengkarya seni(lukis)? Apakah seorang guru KM itu semestinya seorang pengkarya seni(sastera)? .

Di sekolah, matapelajaran PS dan KM tampaknya semakin “pupus”! .

2.12.08

SURAT INGATAN UNTUK C PET DAN AWANG BUNGSU

Kecoh isu hak istimewa orang Melayu. Saya tidak percaya kalau orang Melayu tidak merasa apa-apa. Selembut mana hati nurani orang Melayu, sampai pada suatu tahap kita kena ambil tindakan juga. Ini soal maruah. Kita ada peranan dan cara kita sendiri. Bertindaklah. Ikut kemampuan masing-masing. Yang penting ada tindakan persepadu. Janganlah kita membutakan mata, memekakkan telinga dalam isu ini.

.........................................................................................................

Surat (1): SURAT AWANG SULUNG KEPADA C PET:.


Salam sejahtera.


C Pet,

Gua kasi tulis ini sulat, mau kasi ingat sama lu maa..

Apa pasal lu sekalang hali-hali cakap pasal itu ketuanan Melayu?

Apa lu ingat, gua mau gaduh sama lu? Hali-hali lu mau cakap pasal itu

Melayu. Itu sudah cerita dalam pelembagaan, apa lu mau bising-bising. Apa pasal lagi mau celita ha?

Gua tatak bikin salah sama lu. Gua tak ada kacau sama lu. Gua tatak kasi susah sama lu.

Lu ingat lu sudah kaya, lu boleh kasi hantam gua punya saudala, takada wang punya orang? Sama olang miskin pun, apa pasal lu mau sakit hati?


C Pet,

Apa semua lu mau, ini Malaysia sudah bagi sama lu. Dulu, itu merdeka punya jam, sampai sikalang, apa lu mau, semua sudah bagi. Apa Melayu punya, apa melayu dapat, apa pasal lu mau bising?

Hei, lu tau, itu celita hak Melayu bukan kelana gua sengkek punya olang!. Itu celita hak olang Melayu, apa pasal lu mau kacau-kacau. apa pasal lu mau bikin bising ?

Gua ingat ini lu bikin bising-bising, lu ada mau lain punya . Lu cakap itu, lu cakap ni, apa lu mau ha?

Gua cakap sama lu ha, gua dan olang Melayu , apa-apa pun lu cakap, mesti mau pegang itu “tuan melayu”.Lu mana tau… Lu tatak paham ma…


C Pet,

Itu celita tuan melayu, raja punya cerita. Lu mau kacau sama raja ka? Gua cakap ha, lu jangan cali susah ma...

Gua bukan mau jadi tuan sama lu. Gua bukan mau lu jadi gua punya kuli…

Lu olang sudah kaya. Lu ingat wang lu punya raja ka? Lu kaya pun ha, olang Melayu kasi untung lu meniaga. Lagi lu mau ingat, belapa ramai gua punya sedara, mau dapat satu libu satu bulan pun manyak susah lo…


C Pet,

Gua bagi tau sama lu ha, melayu punya ekonomi, tatak boleh lawan sam lu. Lu jangan takut la. Lu ingat itu melayu punya politik sudah tatak kuat la, lu boleh ugut ka? Aiya lu mau kasi hantam ka?


C Pet,

Jangan itu macam la. Gua tatak mau gaduh sama lu ma… Itu mesti mau ingat… Ini bumi lu pijak, itu langit lu mesti mau taluk kepala atas ma…


Terima kasih


Yang benar,

………………

( AWANG SULUNG )

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

Surat (2): SURAT AWANG SULUNG KEPADA AWANG BUNGSU.


Assalamualaikum,


Awang Bungsu,

Aku tulis surat ni, bukan apa; Cuma nak ingatkan kau saja.

Kau macam aku jugak, bila orang sebut pasal hak Melayu, kita melenting. Memanglah kan? Itu hak kita.

Tapi masalahnya kau banyak cakap je. Banyak hujah je. Banyak retorik je. tapi apa hasilnya? Membazir air liur basi je…


Awang Bungsu,

Kau sesama sendiri pun bertelagah. Bergaduh. Kata-mengata. Nampak sangat kita tak bersatu. Orang lain tengok kelemahan kita. Orang lain ambik kesempatan.

Bila timbul je isu hak orang Melayu, melaung melalak lah sana sini. Nak jaga hak kita, konon. Macam kata orang, nafsu kuat tapi tenaga habuk pun tarak. Lembik.

Apa tindakan bersepadu yang kau orang buat? Apa yang dibuat supaya Melayu ni jadi bangsa kuat?. Jadi bangsa hebat? Perlembagaan pun dah sebut. Hak istemewa orang Melayu. Tapi cuba kau tengok, berapa kerat saja orang melayu yang bertuah dapat menikmati keistimewaan tu?


Awang Bungsu,

Cuba kau tengok dan tanya diri kau. Berapa ramai melayu yang menjadi anak tiri, merempat di bumi sendiri? Ini kenyataan. Kau pun tau.


Awang Bungsu,

Aku pun rasa sedih tengok bangsa aku sendiri. Ada juga yang menolak ketuanan Melayu. Ada bangsa aku yang tidak percaya pada hak istimewa orang Melayu yang ada dalam perlembagaan tu.

Tapi yang aku kesal sekali, orang-orang nilah yang sudah jadi kaya raya kerana dasar tu.


Awang Bungsu,

Cukuplah beretorik dengan air liur basi tu. Semarakkan semula ketuanan Melayu yang sedang dibanjiri kebencian ni. Kembalikan kekuatan bangsa Melayu. Kembalikan maruah Bangsa Melayu. Kembalikan kehormatan bangsa Melayu. Sepadukan tenaga kita.

Jangan asyik nak berbalah sesama sendiri je. Konon nak tunjuk kepala batu. Keras keng.

Jadikan bangsa Melayu bangsa yang disegani, sehingga tiada kaum yang berani memperlekeh bangsa Melayu.

Jangan biarkan mereka mempersoalkan hak Melayu yang akan terus menerajui tampuk pemerintahan negara ini.


Awang Bungsu,

Ajaklah Melayu bersatu. Bersungguhlah melaksanakan agenda untuk membangunkan Melayu.


Terima Kasih,


Yang benar,

………………………..

(AWANG SULUNG)

C Pet dan Awang Bungsu kena selalu diberi ingatan kerana mereka memang mudah lupa. Bagilah nasihat kepada mereka ni.

30.11.08

Shah Jahan menangis, cintanya hancur berderai...



Bersemaraknya cinta Shah Jahan kepada permaisurinya Mumtaz. Kukuh, teguh, tersergam Taj Mahal, lambang sejarah cintanya terbina di bumi Agra.


Jika Shah Jahan masih hidup, bersama Mumtaz, terus bersemaraklah sejarah cintanya. Taj Mahal berada di mana-mana, terpinjam dan terukir namanya. Taj Mahal menjadi jenama dan ikon, lambang sejarah nafas cintanya.


Dan jika Shah Jahan, bersama Mumtaz, hari ini, masih hidup, runtuh luluh bahagianya, melihat sungai darah di bumi Mumbai. Bedilan peluru dan bom meledak, api benci menggelegak. Mayat bergelimpangan, hancur berkecai. Nafsu permusuhan sudah memuncak.


Bisik Shah Jahan kepada Mumtaz : “Roh cinta kita tiada lagi di sini”.

29.11.08

Demonstrasi bogel / telanjang (bulat) - pornorama baru Malaysia



Itu Gerakan Reformasi Rakyat mahu bikin demonstrasi telanjang (bulat ?) Bercadang diadakan di Negeri Selangor, Disember ini.

Itu lintasan fikiran pencadangnya. Jadi atau tidak jadi?. Dalam fikiran, memang sudah terjadi. Fikiran yang sudah diliwat oleh sang Iblis.

Jika jadi, ayuh ramai-ramai kita saksikan. Ini nanti jadi bahan porno rakyat Malaysia yang suka akan reformasi begini.

Bayangkan bagaimana "bayi-bayi tua" itu terkinja-kinja melaung suara protes, sambil mengikat bendera reformasi pada 'anu' masing-masing.

Nanti ramai yang amat bangga seraya melaung suara melihat demonstrasi telanjang bulat:

"Ini reformasi rakyat!", Sambil mengangkat tangan yang mengenggam semangat.
............................................................................................................
"Oh, ada pornorama baru di Malaysia! Itu abang saya!. Itu bapa saya!. Itu anak saya!. Itu datuk saya!. Itu saudara saya!. Itu kawan saya!. Itu jiran saya!. Itu guru saya!. Itu rakan blogger saya!. Itu bangsa saya!. Itu rakyat saya!. Itu seagama dengan saya!. Dan itu saya sendiri yang juga telanjang bulat!".

Lalu sang iblis bertanya:"Itu siapa di sana?"

"Itu kakak saya? Itu adik saya?.Itu ibu saya? Itu nenek saya? Itu rakan saya berlainan bangsa?. Berlainan agama?". Mereka juga dijemput menjadi saksi.

27.11.08

YOGA


Kecoh jadinya jika ramai yang tidah faham.

Petikan daripada:
http://www.islam.gov.my/portal/yoga_Bm.php

1. "Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga.

2. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

3. Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

4. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.

5. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

6. Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(i) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(ii) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
(iii)perbuatan.

7. Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis.


Jika kita baca ulasan oleh orang persaorangan atau organisasi tentang fatwa berkaitan Yoga yang disiarkan di akhbar dan blog, terbukti bahawa masih ramai yang tidak faham. Atau sengaja buat-buat tidak faham?

26.11.08

Q, (queue),Jangan Tunggu Lama-Lama




Tadi, ketika melintasi Pejabat Pos, terlihat ramai yang berbaris sehingga ke kaki lima. Menunggu giliran. Agaknya ada kaunter yang kosong. Mungkin pegawai bercuti. Atau ada kaunter yang mengiklankan notis “Sila Ke Kaunter Sebelah”. Demikianlah Pejabat Pos; lumrahnya bilangan kaunter melebihi bilangan pegawai bertugas.


Huruf Q melintasi fikiran. Abjad Rumi ke-17 itu istimewa juga, rupanya. Kita gunakan Q sebagai akronim yang bermaksud “berbaris panjang menunggu giliran untuk mendapatkan sesuatu”. Tentunya diambil daripada bahasa Inggeris “queue”. Di Britain akronim QC merujuk kepada “Queen’s Council”; penasihat Ratu atau Permaisuri. (Di negara kita, QC bermaksud “Queen Control”). Dalam matematik, Q.E.D memberi makna “ sesuatu yang perlu dibuktikan, sudah dibuktikan”. Dalam perkhidmtan, akronim Q.C.C (Quality Control Circle ?) selalu digunakan / (diamalkan?). Mungkin ada yang lain lagi? Q Haidar?


Berbaris panjang menunggu giliran sudah membudaya dalam masyarakat kita. Baguslah begitu. Suatu kesan pendidikan nilai-nilai murni di sekolah. Sejak hari pertama masuk sekolah, murid-murid sudah dilatih beratur /berbaris.

­


Sekarang ini budaya berbaris sudah diganti dengan budaya duduk dan menanti panggilan.(nombor giliran dicetak di kupon, tunggu sehingga terpapar di skrin digital). Apakah budaya berbaris dan beratur di sekolah nanti akan diganti juga?. Ada sekolah yang sudah mengajar murid-muridnya menggunakan “kad kredit” untuk membuat bayaran di sekolah! Budaya berhutang?


Teknologi memudahkan kehidupan manusia!. Yang masih menjadi rungutan di kaunter perkhidmatan ialah, karenah manusia. Tentu ramai yang telah merasai pengalaman berhadapan dengan karenah manusia ini.


(Iklan: Robot ASIMO yang boleh berjalan dan berlari serta mencetuskan inspirasi; sudah mula digunakan di Jepun – bagi saya teknologi canggihnya itulah. Robot anak dinosaur yang peka kepada persekitaran juga telah menjadi teman kanak-kank!). Janganlah kita pula yang menjadi robot!


Sudah lama saya tidak Q di Pejabat Pos. Sesekali Q di bank. Di Pasaraya, memang Q lah. Urusan bayaran bil, transaksi wang dan lain-lain yang berkaitan dengannya, dibuat dari rumah sahaja. Sudah banyak perkhimatan on-line. Bank on-line, Pos On-Line dan banyak perkhidmatan lain – tidak perlu lagi Q di kaunter!


Q, queue, berbaris maupun menunggu giliran, bukan hanya untuk perkhidmatan di kaunter sahaja. Dalam hidup, tiada siapa pun yang tidak pernah menunggu giliran. Apakah yang sedang anda tunggu sekarang ini? Menunggu gaji ?, naik pangkat?, naik haji? menjadi calon? anak pertama? menunggu disuruh? makan tengahari? menunggu rumah baru siap? Banjir reda?. Tunggulah apa-apa sahaja yang patut ditunggu. Kita memang berhak menunggu. Tetapi jangan tunggu lama-lama…

20.11.08

e-mail

Petang tadi saya mendapat input yang bagus melalui e-mail yang dikirim oleh seseorang. Walaupun penulisnya tidak saya ketahui (tetapi mungkin telah saya kenali), ingin saya ucapkan ribuan terima kasih.


Antara lain yang ditulis ialah:


1. Dia selalu log masuk membaca posting dan comments di blog cikgu wahab.


2. Katanya dia tidak mahu menulis comment di blog cikgu wahab kerana bimbang saya “kecik hati”.


3. Isu untuk posting, katanya, bagus tetapi kadang-kadang sukar difahami kerana saya menggunakan bahasa yang berat. Katanya, ada ketikanya tulisan saya membosankan.


4. Dia memberikan beberapa cadangan: Gunakan bahasa yang mudah sahaja. Misalnya, bagi perkataan dua sukukata, pendekkan menjadi satu sukukata sahaja. Jika tiga sukukata, jadikan dua sahaja. Dia memberikan contohnya. Lebih mudah gunakan tak atau x, nak, jom, mau, gi, (untuk menggantikan perkataan tidak, hendak, marilah, mahu dan pergi). Bagi perkataan tiga sukukata, dia memberi contoh supaya gunakan perkataan: saja, tahu, sorang (menggantikan: sahaja, mengetahui, seseorang). Tujuannya ialah untuk menjimatkan masa, ruang dan tenaga.


5. Dia cadangkan supaya saya gunakan ayat yang pendek-pendek sahaja.

Saya tidak membalas e-mailnya itu. Saya harap dia membaca posting ini.


a) Terima kasih kerana sudi menjengah blog saya.


b) Terima kasih juga kerana memberi panduan bagaimana menulis posting dengan bahasa yang sesuai untuk blog.


c) Jika dapat saya ikuti panduannya, mungkin saya dapat menjimatkan masa, ruang dan tenaga.

Penulis e-mail itu juga memberi ilmu kepada saya. Tahulah bahawa saya perlu mengambil kira siapa pembaca blog saya. Tidak semua orang faham apa yang saya tulis, seperti yang saya harapkan. Fahaman orang lain mungkin berbeza.


Soal “kecik hati” tidak timbul. Setiap ilmu wajar dihargai. Setiap teguran ikhlas wajar diterima.

19.11.08

I NEED YOU

Terkejut saya.

Tiba-tiba saja dia kata: "I need you. I'm proud of you".

Apa saya nak jawab. Tak terkata apa-apa. Saya tak kenal pun suara tu.

Nasib baik, lepas tu dia kata: "Sorry, wrong number".

Macam-macam manusia ni...

18.11.08

ISU SENSITIF: BABI


Semua orang tahu agama Islam mengharamkan babi.

Tetapi islam tidak melarang orang bukan Islam menternak atau makan daging babi.


Di negara kita, isu yang berkaitan dengan babi memang sensitif. Berkaitan ini, sensitiviti orang Melayu memang diketahui oleh rakyat Malaysia yang lain.


Bagi orang Melayu, babi memang najis dan jijik. Sedangkan melihat gambar babi sudah meloyakan apatah lagi jika melihat daging babi , bangkai babi atau isi-perut babi..


Tetapi bagaimanpun jijik dan loyanya, orang Melayu tetap memyembunyikan rasa jijik dan loya mereka kerana “menjaga hati” rakan-rakan mereka rakyat Malaysia yang makan daging babi. Barangkali kerana itu juga, perkataan babi itu, suatu ketika dahulu ditukar kepada khinzir; bimbang sebutan perktaan babi itu menjadi sensitif kepada pendengaran orang lain.


Barangkali ini juga dikatakan toleransi budaya antara kaum di negara kita.

Tetapi sesetengah rakyat Malaysia masih belum cukup diajar tentang sesitiviti orang Melayu tentang babi ini. Malah ada yang sengaja menduga sensitiviti orang Melayu dengan tindakan-tindakan yang provokatif menggunakan babi sebagai alatnya..


Semoga tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini hanya kerana babi.